Wednesday, July 27, 2011

Belum tahu status tanah

BUKIT SELAMBAU – Status pemilikan tanah di Kampung Rusa Bukit Selambau yang berada dalam penguasaan pemegang amanah yang sepatutnya menjalankan tanggungjawab dengan baik masih lagi belum diketahui.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Selambau, S Manikumar berkata, status pemilikan tanah penduduk yang menetap sejak kemerdekaan negara masih lagi belum dapat diselesaikan dan berada dalam penguasaan pemegang amanah.

:Menurutnya, pihaknya kini melakukan dokumentasi bagi mengenal pasti pemegang amanah yang menguruskan status pemilikan tanah penduduk di kampung itu yang masih belum selesai hingga kini.

“Saya sebenarnya terkejut apabila aduan penduduk Kampung Rusa memberitahu bahawa urusan status tanah yang mereka beli masih belum selesai sepenuhnya dan berada dalam penguasaan pemegang amanah,” katanya ketika menghadiri perayaan tahunan di sini.

Menurutnya, pihaknya akan cuba mencari resolusi dengan menyediakan dokumentasi selengkapnya sebelum membawa perkara itu kepada Pihak Pentadbir Tanah Daerah Kuala Muda.

“Bagaimanapun, saya akan cuba mencari penyelesaian terhadap aduan tersebut berhubung pemilikan tanah kira-kira 50 penduduk di kampung ini yang masih tidak diketahui statusnya,” katanya.

Beliau berkata, selain masalah berkenaan, beberapa aduan berhubung pelupusan sampah, masalah berkaitan jabatan tertentu dan melibatkan pemimpin juga ada diadukan dalam perjumpaan sama.

Menurutnya, perayaan yang disambut kira-kira 1,000 penganut dari sekitar kawasan Bukit Selambau itu bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan pemimpin dan masyarakat tetapi mampu menjadi jambatan bagi kedua-dua hubungan.

Katanya, dalam perayaan itu, upacara sembahyang dari pagi hingga malam diadakan bagi menzahirkan ucapan terima kasih kepada Tuhan yang memberi kesejahteraan kepada kehidupan masyarakat.

“Saya juga menyumbangkan khemah, kerusi dan meja kepada penduduk bagi mereka jalankan aktiviti dengan lebih baik dan lancar,” katanya.

No comments:

Post a Comment