Wednesday, July 27, 2011

Ulama Umno macam habis madu sepah dibuang

Wahabi: Ulama Umno macam habis madu sepah dibuang, kata Pemuda PAS

July 27, 2011

KUALA LUMPUR, 27 Julai – Dewan Pemuda PAS pusat melahirkan rasa simpati terhadap 40 ulama muda Umno yang dikaitkan dengan fahaman Wahabi dan aktiviti pengganas walaupun “gigih mempertahankan kerajaan.”

Ketuanya Nasrudin Hasan berkata langkah Putrajaya melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengaitkan ulama muda Umno itu membuktikan usaha yang dilakukan kumpulan itu selama ini tidak dihargai.

“Tidak semena-mena setelah ulama muda Umno mengerahkan segala keringat, ilmu dan masa untuk mempertahankan kerajaan dan memburukkan Himpunan Bersih 2.0 kini mereka pula disenaraikan sebagai Wahabi dan lebih malang dikatikan pula sebagai pengganas.

“Ternyata usaha ulama muda Umno langsung tidak dihargai, kedudukan mereka kini seperti habis madu sepah dibuang merata-rata dan saya tidak pasti apakah benar matlamat mereka menyertai Umno ini adalah untuk menyelamatkan diri mereka daripada terus dilabel sebagai Wahabi dan pengganas atau tidak,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelas Nasrudin, sekiranya benar MKN telah mengarahkan para mufti dan agensi agama untuk memantau pergerakan ulama muda Umno, kumpulan itu boleh disifatkan sebagai sangat malang.

“Andai benarlah bagai yang dikata saya sungguh bersimpati dengan nasib 40 ulama muda Umno ini, sudahlah mereka jatuh terperosok dalam perangkap Umno kini mereka pula tertimpa tangga yang mereka panjat sendiri untuk mencari ruang selesa dalam Umno parti yang mereka sangka mampu menyelematkan kedudukan mereka.

“Andai maklumat umum yang saya terima itu tiada kebenarannya, maka atas dasar dan asas apa sekalipun 40 ulama muda yang menyertai Umno tempoh hari, setelah dipuja dan dijulang sebagai pembawa rahmat dan manisan buat Umno, kini usaha mereka dibalas racun berbisa apabila mereka terus dilabel sebagai Wahabi dan pengganas,” katanya.

Selain 40 ulama muda yang menyertai Umno tahun lalu, bekas mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin juga disenaraikan sebagai pihak yang perlu dipantau oleh para mufti dan agensi agama.

Bagaimanapun sehingga kini belum ada pengesahan rasmi daripada MKN berhubung perkara itu.

Nasrudin juga menyindir Pemuda Umno kerana tidak membela tidak membela kumpulan itu walaupun dalam masa sama mempertahankan Asri.

“Apakah Pemuda Umno merasakan ulama muda Umno ini menjadi saingan mereka lalu membiarkan mereka dipalit label pengganas?” soalnya.

Bagaimanapun, Nasrudin yang mengakui mengenali sebahagian anggota ulama muda Umno berkata, melalui raut wajah dan sosok tubuh, tidak tergambar di fikirannya bagaimana mereka boleh tersenarai sebagai pengganas.

“Kini saya termenung di anjung musolla sambil mengenang isu ini dan hati saya berdetik, kalaulah 40 ulama muda itu menyertai PAS lalu berganding memperjuangkan Islam, membasmi kejahilan, menentang kezaliman, membenteras kemungkaran dan menegakkan syariat, alangkah manis dan indahnya.

“Berbaloi digelar ‘pengganas’ oleh kerajaan Umno dan BN kerana menentang mereka,” katanya.

Beliau juga bersyukur apabila Asri tidak “terpedaya” walaupun dihulur “bantal empuk” menyertai Umno bersama kumpulan ulama muda Umno.

No comments:

Post a Comment