Thursday, August 4, 2011

Dunia kapur barus dan kain kapan

oleh SRI DIAH

http://www.iluvislam.com/v1/includes/jscripts/tiny_mce/plugins/imagemanager/library/mati.jpg

Baru-baru ini saya terbaca mengenai kisah Imam Ghazali Rahimahullah diriwayatkan mendapat tanda-tanda kematiannya sehinggakan beliau mampu menyediakan dirinya untuk hadapi sakaratulmaut sendirian.

Beliau menyediakan dirinya dengan segala persiapan termasuk mandinya, wuduknya serta kafannya sekali cuma ketika sampai bahagian tubuh dan kepala sahaja beliau telah memanggil abangnya iaitu Imam Ahmad Ibnu Hambal untuk menyambung tugas tersebut. Adapun tanda-tanda kematian mengikut ulama adalah benar dan wujud, cuma amalan dan ketakwaan kita sahaja yang akan dapat membezakan kepekaan kita kepada tanda-tanda ini.

Rasulallah SAW diriwayatkan masih mampu memperlihat dan menceritakan kepada keluarga dan sahabat secara langsung akan kesukaran menghadapi sakaratulmaut dari awal hinggalah akhirnya hayat Baginda.

Tulisan ini merujuk kepada beberapa kematian yang berlaku dalam kalangan sahabat-sahabat terdekat, jiran-jiran dan kenalan jauh yang tidak pernah bersua rupa, namun kita kenal melalui perkhabaran tentang kebaikan mereka, kemurnian hati dan baik budi pekerti mereka.

Padahal mereka itu baru sahaja kita jumpa dan bertanya khabar. Kita rasa akan ada lagi peluang untuk bertemu, namun tahu-tahu sahaja kita mendapat perkhabaran si polan telah pergi dulu.

Ramai yang percaya kepada beberapa tanda kematian, ada juga yang menyebut `buang tebiat’ apabila sedar dengan tanda-tanda itu. Biasanya orang yang akan pergi dulu tidak merasainya tetapi orang keliling tahu. Tanda-tanda diberikan agar kita dapat bertaubat dan bersedia dalam perjalanan menghadap Allah SWT.

Kami adik-beradik memang biasa dengan kematian kerana bapa saya menjalankan tanggungjawab sebagai tukang mandi jenazah dalam kariahnya. Pintu rumah kami selalu diketuk tidak kira subuh, pagi, tengah hari, petang atau malam. Malah sebagai orang lama bapa seperti dapat menghidu jika akan berlaku sesuatu kematian.

Dia tidak akan meninggalkan rumah. Dia payah diajak tidur di rumah anak-anak yang jauh. Dia akan memberi pelbagai alasan padahal isu kematian itulah yang mulai dia rasai tetapi tidak diberitahu kepada sesiapa.

Kami membesar dalam dunia kapur barus, sintok, air mawar, kain kapan dan segala keperluan menguruskan jenazah dan pantang bagi bapa saya – jangan bertanya tentang jenazah yang dia sudah uruskan. Dia sama sekali tidak akan menceritakan aib jenazah.

Sehari dua ini apabila menerima berita kematian sahabat kita tersentak, alangkah mudahnya mereka pergi. Sahabat saya Datin Amelia meninggal dalam tidur. Begitu juga bagi penulis terkenal Liana Afiera Malik, juga pergi tiba-tiba. Sebelum itu Dr Lo’ Lo pergi dengan tenangnya. Seorang rakan saya meninggal dunia sebaik selesai solat Subuh, sedar-sedar sahaja sudah tiada nyawa.

Sesungguhnya janji Tuhan tidak mengira masa. Sedikit pun tidak tercepat atau terlewat. Kata orang, seratus hari sebelum kematian hanya akan disedari oleh mereka yang dikehendaki-Nya. Walau bagaimanapun semua orang Islam akan mendapat tanda ini cuma sama ada mereka sedar atau tidak sahaja.

Tanda ini akan berlaku lazimnya selepas waktu Asar. Seluruh tubuh - dari hujung rambut sehingga hujung kaki akan alami getaran atau seakan-akan menggigil, contohnya seperti daging lembu yang baru disembelih di mana jika diperhatikan dengan teliti kita akan mendapati daging tersebut seakan-akan bergetar.

Bagi mereka yang tidak diberi kesedaran atau mereka yang hanyut dengan kenikmatan tanpa memikirkan soal kematian, tanda ini akan lenyap begitu sahaja tanpa sebarang manfaat. Bagi yang sedar dengan kehadiran tanda ini maka ini adalah peluang terbaik untuk menggunakan masa yang ada bagi mempersiapkan diri dengan amalan.

Namun bagi saya, tidak kira 100 hari atau 40 hari sebelum kematian, hendaklah kita sentiasa bersedia. Bertaubatlah setiap hari. Bermaafanlah setiap ketika. Berlapang dada, ikhlaskan hati dengan sesiapa sahaja. Lagi bertambah usia kita, lagi dekat tarikh kematian kita.

No comments:

Post a Comment