Tuesday, August 16, 2011

Tunggu....15,000 risalah Ramadan akan disebarkan...

ALOR SETAR - Dewan Pemuda Pas Kedah menyasarkan untuk mengedarkan sekurang-kurangnya 15,000 risalah panduan amalan bulan Ramadan kepada orang awam di setiap tapak bazar Ramadan di seluruh negeri Kedah bagi menyeru umat Islam memanfaatkan kemuliaan bulan itu dengan mempertingkatkan amalan.



Ketua Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar, Mohd Azam Awang berkata, kempen pengedaran risalah yang menyelitkan fadilat dan perkara yang ditegah sewaktu bulan Ramadan sudah dimulakan di bazar Ramadan Jalan Stadium di sini minggu lalu apabila lebih kurang 1,000 risalah diedarkan.



Menurutnya, kempen pengedaran risalah panduan bulan Ramadan itu akan diteruskan Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar di setiap bazar Ramadan di sini pada setiap hari dan diikuti kesemua Dewan Pemuda Pas kawasan yang lain.



“Kempen pengedaran risalah bulan Ramadan merupakan aktiviti tahunan Dewan Pemuda Pas Kedah sejak dua puluh tahun lalu bagi mendekatkan diri dengan masyarakat di samping menyampaikan mesej dakwah kepada mereka.



“Pada masa sama, risalah yang disampaikan tidak berbaur politik dan hanya bertujuan mengingatkan umat Islam tentang kemuliaan dan fadilat bulan Ramadan. Justeru, penerimaan orang awam terhadap kempen kami amat baik,” katanya kepada Sinar Harian sewaktu bersama-sama Jawatankuasa Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar mengedarkan kira-kira 1,000 risalah panduan amalan bulan Ramadan di Bazar Ramadan Taman Wira, di sini semalam.



Mohd Azam berkata, selain itu, Dewan Pemuda Pas kawasan Alor Setar di bawah Dewan Pemuda Pas Kedah akan mengadakan program Ihya Ramadan dan Nuzul Al-Quran bagi mengajak umat Islam di sini mengimarahkan masjid dan memuliakan bulan Ramadan.

1 comment: