KARANGAN - Tindakan mencurigakan lapan sekeluarga yang menyewa di sebuah rumah tumpangan di Taman Desa Aman dekat sini, terbongkar apabila mereka dipercayai terlibat dengan kegiatan mencuri sarang burung walet, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Ghuzlan Saleh berkata, pemilik rumah tumpangan di mana suspek berusia antara 16 hingga 60 tahun itu menginap menghubungi Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM), Khor Eng Khim, apabila mendapati keluarga berkenaan berkelakuan mencurigakan.
Menurutnya, Eng Khim mengarahkan ahli PPKM yang membuat rondaan untuk datang ke tempat kejadian dan mengepung kawasan itu sebelum memaklumkan kepada polis kira-kira jam 3.30 pagi.
“Polis yang datang ke tempat kejadian kemudiannya membuat pemeriksaan dan ternampak dua kereta milik suspek berada di hadapan rumah tumpangan. Polis kemudiannya membuat serbuan dan menemui beberapa peralatan untuk melakukan jenayah pecah rumah antaranya tangga, tali, gergaji, pengumpil besi, pemutar skru dan kuku kambing yang disorokkan di atas siling rumah,” katanya.
Ghuzlan berkata, selain lapan beranak berkenaan, polis turut menemui seorang perempuan berusia 20-an dan dua bayi dipercayai isteri dan anak kepada seorang suspek yang ditahan.
Katanya, dari maklumat diterima, ini bukanlah kali pertama keluarga itu melakukan jenayah mencuri sarang burung walet.
“Modus operandi yang digunakan suspek ialah mereka sengaja menyewa rumah tumpangan yang berada kira-kira 40 meter dari bangunan di mana sarang burung walet diusahakan bagi memudahkan mereka merangkak di dalam siling untuk pergi ke bangunan hujung sarang burung diusahakan,” katanya. Polis berjaya merampas kira-kira 13 kilogram sarang burung walet bernilai hampir RM30,000 yang diletakkan di dalam dua beg plastik berasingan dan disorokkan di atas siling bilik di mana mereka menginap. Polis terpaksa memanjat dan memecahkan siling untuk mengeluarkan sarang burung dicuri,” katanya.
Ghuzlan berkata, kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim dan kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri di dalam bangunan.
“Dengan tertangkapnya keluarga ini, polis berjaya menyelesaikan beberapa kes kecurian sarang burung walet yang berlaku di sekitar Kulim,” katanya.
No comments:
Post a Comment