Saturday, July 28, 2012

Apa hangpa buat dengan gaji pertama..???

Gaji pertama satu kepuasan
Wartawan Sinar Harian
28 Julai 2012
Gaji pertama satu kepuasan
Bagaimana membelanjakan wang gaji pertama yang diperolehi.
 
SEBERANG PERAI UTARA - Fitrah manusia menginginkan kehidupan sempurna dari semua segi, termasuk mendapat apa yang dihajati sepanjang hidup mereka.

Namun, semua keinginan itu akan terbatas jika tidak mempunyai pendapatan mencukupi dan disebabkan itu semua orang perlu bekerja untuk mendapatkan wang yang menjadi elemen penting mencapai keinginan masing-masing.

Dewasa ini, sebagai golongan terpelajar, pekerja yang baru terjun ke dalam dunia pekerjaan tidak lagi begitu teruja mendapat gaji pertama kerana masing-masing tahu ke mana ianya mahu dibelanjakan.

Sinar Harian mendekati golongan pekerja ini untuk mendapat sedikit gambaran bagaimana dan ke mana wang gaji pertama mereka dihabiskan.


Beli motosikal

Anuar Omar, 28, dari Mak Mandin berkata, dia tidak dapat melupakan kenangan kali pertama mendapat gaji selepas sebulan bertugas sebagai pembantu jurutera di sebuah kilang sembilan tahun lalu.

“Selepas tamat pengajian di sebuah Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA), saya bekerja di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,600 sebulan.

“Gaji pertama saya gunakan sepenuhnya untuk membayar duit muka membeli motosikal untuk digunakan berulang alik ke tempat kerja. Ini kerana jarak antara rumah dan kilang jauh,” katanya.

Anuar berkata, dia hanya sempat memberi RM100 kepada ibunya untuk gaji bulan pertama kerana tidak cukup wang untuk berbuat demikian berikutan habis digunakan untuk membeli motosikal.
“Ibu saya sendiri yang beria-ia menyuruh saya menggunakan semua duit gaji itu untuk membeli motosikal supaya memudahkan pergerakan saya berulang alik kerana ketika itu pengangkutan awam seperti bas mengikut waktu tertentu sedangkan saya bekerja mengikut syif.
“Bulan kedua baru saya menyerahkan semuanya gaji yang diterima kepada ibu, tetapi ibu memulangkan semula kepada saya dengan alasan saya lebih memerlukan duit kerana baru bekerja,” katanya gembira.
Beri pada ibu

Bagi Mohamad Fahmi Omar, 27, dari Rumah Hijau Mak Mandin berkata, gaji pertamanya diperolehi semasa bekerja di sebuah kantin sekolah sekitar 2007 lalu.

“Pendapatan sebanyak RM600 itu diberikan semuanya kepada ibu dan dia memberikan saya RM400 untuk digunakan.

“Namun, disebabkan mempunyai ramai adik yang masih bersekolah, wang itu kemudiannya susut kerana saya membiayai perbelanjaan seharian mereka bersekolah dan belum cukup bulan, semua wang gaji saya habis,” katanya yang memikul tanggungjawab sebagai abang sulung membantu bapanya yang hanya bekerja sebagai buruh kasar dengan pendapatan yang tidak seberapa.


Berdebar-debar

Bekas pekerja pihak berkuasa tempatan (PBT), Saiful Anuar Sazali, 26, dari Penaga berkata, kali pertama mendapat gaji pertama RM1,000 hatinya berdebar-debar kerana sebelum itu tidak pernah menggenggam wang sebanyak itu.

“Masa itu gaji diberi dalam bentuk tunai oleh majikan menyebabkan saya gelisah dan segera menyerahkan kepada ibu kerana bimbang ia hilang. Bagi mendidik saya agar tidak boros, ibu hanya memberikan sejumlah wang yang diminta untuk dibelanjakan, manakala bakinya disimpan,” katanya.

Menurutnya, wang yang diserahkan kepada ibunya itu langsung tidak diusik atau dibelanjakan kerana semua kos sara hidup mereka empat beradik ketika itu ditanggung oleh ayahnya, yang juga berpendapatan tetap sebagai kakitangan kerajaan.

“Ibu menyimpan sebahagian daripada wang yang saya serahkan setiap bulan untuk saya gunakan sekiranya mengalami masalah kewangan. Ibu turut memaklumkan bahawa simpanan itu kelak bakal digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan saya bila tiba masanya,” katanya.


Bantu keluarga

Bagi Ronyzam Abd Ghaffar, 28, dari Bagan Ajam berkata, gaji pertamanya digunakan untuk membantu keluarga, termasuk adik-beradiknya yang masih sekolah.

Baginya, gaji pertamanya itu tidak seharusnya dinikmati sendiri, tetapi perlu dikongsi bersama ahli keluarga lain kerana mereka terdiri dari keluarga susah.

“Bapa hanya bekerja sebagai buruh kilang dan pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi menyara kami enam beradik ketika itu.

“Dengan bantuan bulanan gaji saya serta dicampur dengan pendapatan ibu mengasuh anak jiran, dapatlah kami sekeluarga hidup selesa berbanding sebelum saya mula bekerja dulu,” katanya yang pernah bekerja sebagai operator sebuah kilang sebelum menjalankan perniagaan sendiri sekarang.

Bagi Asmadi Abu Hassan, 40, yang kali pertama bekerja sebagai juruteknik di sebuah kilang dengan pendapatan RM1,400 sebulan berkata, dia banyak menghabiskan wang gajinya membeli peralatan motosikal untuk bergaya.

“Semasa saya mula bekerja, bapa telah lama berkecimpung dalam perniagaan membuatkan gaji pertama yang saya dapat tidak banyak dibelanjakan untuk keluarga kerana simpanan bapa lebih mencukupi.

“Ketika itu saya memang ‘gila’ motosikal Yamaha RXZ membuatkan saya banyak menghabiskan wang gaji untuk ‘make-up’ motosikal kesayangan, saya” katanya yang menetap di Teluk Air Tawar, di sini.

No comments:

Post a Comment