Saturday, July 28, 2012

Yang tersirat di sebalik cerita 'penahanan' Setiausaha Politik

oleh Zulkifli Yahaya


Berita panas dari Kedah minggu ini ialah cerita kononnya Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubungan penyelewengan yang bernilai RM1.3 juta. Kononnya beliau direman dan berada di pejabat SPRM.

Ramai kenalan yang menghubungi beliau sendiri untuk mempastikan kesahihan berita. Semua panggilan telefon dijawab dengan gelak ketawa oleh Sanusi, cukup untuk 'menjawab' bahawa beliau tidak ditahan. Mustahil orang yang direman boleh dihubungi oleh dunia luar. Tidak kurang pula yang risaukan keselamatan beliau jika benar ditahan SPRM. Mana tahu kalau ada pula terbang ikut tingkap.

Sehari selepas itu, beberapa buah akhbar harian menyiarkan penafian  beliau kononnya ditahan SPRM. Sebuah akhbar harian rasis turut menyiarkan berita penafian tersebut, bukan untuk membersihkan nama orang yang dituduh tetapi kerana mahu menimbulkan keraguan di kalangan orang ramai isu 'penyelewengan RM1.3 juta'. Orang akan tertanya-tanya projek apa? Duit apa? Bila ada orang bertanya maka ia adalah kejayaan bagi pempropaganda.

Mujur SPRM sendiri yang muncul membersihkan nama Setiausaha Politik Menteri Besar itu. Pengarahnya, Mohamad Yusoff Akobe berkata, SPRM tidak pernah memanggilnya untuk siasatan kes rasuah malah tidak menerima sebarang laporan mengenai kes rasuah yang mencecah RM1.3 juta."Setakat ini, SPRM tidak menyiasat kes rasuah seumpama itu."

Angka tersebut dan cerita penahanan Sanusi adalah direka oleh sebuah blog bernama Padi Jantan dan dipanjangkan oleh blog pro Umno yang lain. Ia sebuah nukilan fitnah. Saat Ramadhan ini Iblis sedang dirantai tetapi ada juga yang berminat menggantikan kerja Iblis.

Blogger pro Umno menyebar fitnah mengenai pemimpin Pakatan Rakyat bukanlah perkara luar biasa. Tetapi ada perkara menarik yang tersirat di sebalik fitnah rasuah RM1.3 juta itu.

Beberapa hari sebelum Ramadhan, pusat pentadbiran kerajaan negeri Kedah, Wisma Darul Aman dikejutkan dengan berita penahanan beberapa pegawai penting kerajaan negeri. Tiada kenyataan dari SPRM yang menafikan berita ini. Ia didakwa berkaitan dengan dakwaan penyelewengan yang berlaku dalam pembinaan Kompleks Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di zaman BN berkuasa dahulu bernilai RM46 juta. Berita seperti itu tidak pula dilaporkan dalam akhbar pro BN.

Apa pula kena mengena kes ini dengan Setiausaha Politik Menteri Besar? Jawapannya mungkin boleh diperolehi dari tulisan oleh kolumnis sebuah akhbar harian rasis, Utusan Malaysia yang mendedahkan kononnya wujud grand design oleh kerajaan PAS Kedah untuk kenakan KCS (pegawai tadbir kerajaan negeri). Kononnya menteri besarlah yang merancang supaya pegawai tertentu diambil tindakan oleh SPRM.

Hebat juga rupanya keupayaan seorang menteri besar dari PAS mampu mengatur penyiasatan atau tindakan oleh SPRM. Jika benarlah Ustaz Azizan Razak mempunyai keupayaan tersebut, lebih baik rasanya beliau mengenakan seorang pemimpin politik BN yang cuba mengumpan rasuah kepada ADUN KeADILan Kedah di sebuah hotel di Pulau Pinang pada November 2008. ADUN KeADILan itu mendedahkan dalam ceramahnya di Kompleks PAS Kedah bahawa pihak tertentu telah memasang kamera untuk memerangkap ADUN yang cuba menyogoknya, namun akhirnya segala kamera dan bukti pun terjun ikut tingkap SPRM. Mereka tidak bertindak pun.

Pelik juga kalau Ustaz Azizan digambarkan oleh kolumnis akhbar rasis itu seolah-olah anti KCS. Di satu pihak yang lain, beliau tidak disukai oleh sebahagian anggota PAS kerana kononnya lebih mendengar cakap KCS dari pandangan ahli PAS.

Saya teringat peristiwa hujung tahun 2006, sebagai kolumnis Harakah, telah mendedahkan beberapa salahlaku oleh beberapa KCS di samping memuji beberapa KCS yg menjalankan pentadbiran dengan baik. Akibatnya saya telah dimarahi oleh Ustaz Azizan. Dalam mesyuarat perhubungan dimaklumkan saya telah dibelasah habis-habisan oleh Pesuruhjaya PAS Kedah merangkap Ketua Pembangkang Kedah itu. Tidak cukup dengan itu beliau menghubungi pengurusan tertinggi Harakah minta saya 'dipecat' sebagai kolumnis, dan terpecatlah saya sebagai kolumnis Harakah untuk beberapa bulan.

Saya merasakan hubungan peribadi dengan Ustaz Azizan sudah tidak baik. Sehari selepas PAS menang 8 Mac 2008, saya keluar dari Kedah beberapa hari sehingga ke Melaka, tidak mahu ambil peduli apa yang berlaku di Kedah. Semua catatan panjang itu gara-gara saya mengkritik KCS. Maka pelik benar kalau orang yang bernama Azizan Razak dituduh mahu mengenakan KCS.

Menteri Besar sebenarnya tidak tahu menahu mengenai penyiasatan terhadap pegawai oleh SPRM tetapi ada pihak yang mengambil kesempatan untuk menangguk di air keruh. Mereka cuba cetuskan adu domba antara Menteri Besar dan KCS. Akhbar harian rasis tersebut telah dipergunakan. Mereka mengharap berlaku pertembungan besar dan mencananglah mereka seantero dunia kononnya kerajaan Kedah sudah tidak stabil. Ia seperti yang pernah berlaku di Kelantan tahun 90an dan di Selangor baru lalu dalam isu pelantikan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Serangan fitnah terhadap Setiausaha Politik adalah agenda terancang untuk memburukkan Menteri Besar, setelah tiada sekelumit penyelewengan pun dapat dijumpai pada ketua kerajaan negeri itu. Sanusi orang muda, maka adalah munasabah untuk segelintir orang mempercayai fitnah itu.

Di saat BN begitu terdesak untuk mengambil kembali Kedah mereka melakukan pelbagai percubaan. Alhamdulillah setakat ini penguasa politik PAS Kedah dapat membaca semua permainan itu. Berkat kesabaran di bulan Ramadhan dan tidak cepat melatah, menyebabkan perancang konspirasi jadi sasau sambil menggantung selipar di leher dan bercakap seorang diri di tepi jalan.


Zulkifli bin yahaya

No comments:

Post a Comment