ALOR SETAR – “Setiap tahun Ramadan datang dan setiap tahun kita mengerjakan ibadat puasa. Tetapi adakah kita sentiasa mempertingkatkan ibadah puasa kita dari setahun ke setahun? Kita perlu mengharapkan hidayah Allah agar puasa yang kita lakukan saban tahun dapat meningkatkan ketaqwaan kita terhadapNya,” kata Menteri Besar, YAB Dato’Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak ketika menyampaikan tazkirah sempena Majlis Berbuka Puasa warga kerja kumpulan Bina Darul Aman, di sini.
Sambungnya lagi, Al-Quran diturunkan oleh Allah SWT dalam bulan Ramadan untuk dijadikan rujukan kepada manusia dalam memilih yang mana hak dan yang mana batil. Di dalamnya juga terkandung peraturan yang wajib dipatuhi oleh manusia.
“Ibadat puasa wajib kepada semua orang Islam yang telah akil baligh, sama juga seperti sembahyang. Tapi antara sembahyang dan puasa ada bezanya. Sembahyang tidak ada pengecualian tetapi puasa ada kelonggaranya.
“Orang yang bermusafir contohnya, mereka boleh meninggalkan puasa sekiranya mereka mahu dan begitu juga dengan orang yang sakit. Tapi kalau sembahyang tak boleh. Kena kerjakan sembahyang walau di mana sahaja dan apa juga keadaan kita,” jelasnya lagi.
Diceritakan, ketika Rasulullah SAW dan para sahabat berada di Madinah, baginda telah didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenali. Lelaki berkenaan masuk ke rumah baginda lantas duduk rapat di sebelah baginda. Lelaki itu bertanyakan Rasullullah SAW, ‘apakah itu Islam?’. Lantas Rasulullah SAW menjawab, Islam itu mengucap dua kalimah syahadah, mendirikan solat, berpuasa di bulan Ramadan, mengeluarkan zakat serta mengerjakan haji di Mekah bagi yang berkemampuan.
“Dari lima jawapan yang diberi oleh Rasullullah SAW itu, sembahyang langsung tidak ada pengecualian tapi berpuasa dibolehkan, zakat hanya pada yang kaya, orang miskin tidak diwajibkan malah mereka pula antara orang-orang yang boleh menerima zakat. Haji pula pada yang berkuasa yakni sihat dan ada kemampuan kewangan.
“Oleh itu, apa saja yang kita lakukan perlulah atas dasar taqwa kepada Allah. Sifat taqwa ini boleh dilahirkan dalam bentuk tindakan dan hasrat. Kalau seseorang itu ada taqwa, apa saja yang dia lakukan akan menepati kehendak Islam,” sambung beliau.
Jesteru itu katanya, segala tindak tanduk tidak baik dan menyimpang dari landasan agama terjadi kerana tidak ada sifat taqwa. Manusia sanggup bergaduh, berbunuhan, dengki, khianat dan sebagainya kerana berpuca dari tiada sifat taqwa.
“Taqwa ertinya takut kepada Allah dan rasa Allah sentiasa memerhatikan kita tapi sekarang manusia lebih takut sesama manusia dari takut kepada Allah. Itulah sebabnya berlaku banyak kerosakan di bumi Allah ini,” katanya lagi.
Beliau mengharapkan sempena di bulan Ramadan yang mulia ini, agar sama-sama berdoa ke hadrat Allah agar diperkuatkan iman dan diberi petunjuk sepanjang kehidupan di dunia ini.
Sempena majlis tersebut seramai 35 orang anak-anak yatim dan kurang bernasib baik dari Tahfiz Madrasah Al- Farabi, Sik, diraikan dalam majlis berbuka puasa selain menerima sumbangan.
Majlis berkenaan diadakan di Dewan Seri Mentaloon, Alor Setar.
No comments:
Post a Comment