Oleh Amin Ahmad
Saya tertarik dengan cadangan yang dikemukakan oleh Rafizi Ramli untuk menurunkan harga kenderaan. Agak mengejutkan apabila cadangan ini ditentang oleh Khairy Jamaluddin, Ahli Parlimen Rembau yang juga merupakan Ketua Pemuda Umno (Baru).
Ada beberapa hujahan yang dikemukakan oleh Khairy untuk menjustifikasikan penolakannya, antaranya ialah 1) ia akan memberikan kesan negatif kepada pembuatan kereta nasional, 2) menjejaskan pendapatan kerajaan dan 3) lumpuhnya sektor pengangkutan awam.
Sekali lagi kedua-dua anak muda ini menunjukkan kesediaan mereka membawa politik baru dengan perdebatan idea.
Sebagai seorang yang meyakini dasar ekonomi pasaran terbuka (baca: liberalisasi), cadangan Rafizi sudah tentu sangat saya hargai. Sekilas membaca penghujahan Khairy, saya fikir ianya tidak lebih daripada jawapan klasik yang boleh ditemukan dalam sejarah pemikiran ekonomi. Ia segera mengingatkan saya kepada teks klasik “Petition of Candlemakers” (sudah diterjemah) yang ditulis oleh Frederic Bastiat, ahli Dewan Negara Perancis pada kurun ke-19. Petisyen Bastiat kepada Dewan Negara Perancis yang diterbitkan pada tahun 1845 itu berguna bagi membongkar kelemahan penghujahan Khairy.
:: Bosan dengan saluran TV anda sekarang? Jom cuba 30 saluran baru ni dengan hanya RM30 ::Pertama, kesan negatif kepada pembuatan kereta nasional.
Apakah kesan negatif yang dimaksudkan? Apakah Khairy memaksudkan harga kenderaan Proton tidak dapat menandingi harga kenderaan asing? Memandangkan Proton dibuat dalam negara sementara kenderaan lain perlu dibawa dari luar dan melibatkan kos pengangkutan, eloklah Khairy menjelaskan mengapa harga kenderaan Proton lebih tinggi.
Selain daripada itu juga agak mengejutkan apabila harga kenderaan Proton boleh dijual lebih murah sehingga hampir sekali ganda di sesetengah negara luar, bahkan dengan spesifikasi yang lebih baik. Persoalan ini memerlukan jawapan tuntas daripada Khairy, apakah selama ini rakyat Malaysia yang “menampung” kos jualan di luar negara ini?
Hujah kedua Khairy ialah ianya boleh mengurangkan pendapatan negara. Beliau mendakwa kutipan cukai sehingga RM4.6 billion boleh terjejas.
Saya mahu berterima kasih kerana beliau mendedahkan angka ini. Secara tidak langsung ia membantu kita untuk mengetahui sebanyak mana pendapatan rakyat Malaysia telah dialihkan oleh dasar yang lemah ini.
Sekadar makluman, harga kereta import yang dibawa ke Malaysia sebenarnya tidaklah begitu tinggi. Secara mudahnya, kebanyakan kereta yang dibawa masuk ke Malaysia adalah sekitar RM60 ribu. Bagaimana ia bertambah sehingga lebih sekali ganda?
Ia bertambah kerana pengenalan duti import, duti eksais dan cukai jualan oleh kerajaan. Jumlah yang dikenakan adalah pelbagai. Katakan duti import yang dikenakan 30 peratus, duti eksais 90 peratus dan cukai jualan 10 peratus, itu bererti harga jualannya akan mencecah lebih RM130 ribu. Harus diingat bahawa ini belum termasuk keuntungan pengedar dan sebagainya.
Mengapakah kita perlu membayar lebih untuk kenderaan yang boleh didapati dengan harga lebih murah? Maaf, saya tidak membeli hujah patriotisme di sini. Amatlah cetek sekali nilai patriotisme yang disandarkan kepada soal membeli kenderaan. Mungkin Khairy lebih layak untuk menjawab sama ada kenderaannya itu buatan tempatan dan beliau membelinya tanpa pengecualian cukai.
Saya mahu meminjam pendekatan Bastiat dalam melihat fenomena kedua ini. Bastiat dalam tulisannya yang lain, “What is Seen and What is Not Seen” (sudah diterjemah tetapi belum ada penerbit) menjelaskan kesilapan orang ramai dalam memerhatikan kesan dasar perlindungan.
Khairy menghujahkan bagaimana kerajaan kehilangan RM4.6 billion dalam pendapatannya. Ini adalah apa yang dapat dilihat. Namun Khairy tidak menjelaskan daripada manakah sumber wang tersebut. Ia tidak turun daripada langit. Ia didapatkan daripada orang ramai dengan cara mengenakan lebih bayaran terhadap sesuatu yang mereka patut dapat pada harga lebih murah. Bukan sahaja itu, bayaran lebih sekali ganda itu tidak memberikan mereka dua buah kereta yang sama tetapi hanya sebuah sahaja.
Jelas sekali, apa yang dilihat beliau sebagai pendapatan (boleh dibaca sebagai keuntungan oleh kerajaan) itu pada masa yang sama bermaksud kerugian di pihak pembeli, iaitu rakyat atau pengguna.
Selain persoalan pengguna dan penjual (atau kerajaan yang membuat pendapatan) ini, ada lagi pihak lain yang sering tidak dapat dilihat.
Katakan seorang pembeli kenderaan tadi dapat menjimatkan RM60 ribu daripada pembelian kereta yang beliau sanggup bayar. Jumlah ini tidak kecil. Untuk seorang yang berpendapatan sederhana, jika dapat menyimpan sebanyak RM10 ribu setahun, ia bermaksud enam tahun diperlukan untuk mendapat jumlah tersebut.
RM60 ribu ini tidak dibuang atau dibakar. Sebaliknya setiap pengguna ini tentu sahaja ada keinginan lain yang tersendiri untuk dipenuhi. Perbelanjaan mereka ke tempat lain berupaya mendorong produktiviti dalam sektor lain di mana wang tersebut digunakan. Proton atau mana-mana pengeluar kenderaan berhak bersaing untuk mendapatkan pembeli melalui kesanggupan membayar masing-masing, tetapi bukanlah dengan dasar perlindungan yang sebenarnya bukan sahaja menafikan hak individu untuk menikmati hasil produktivitinya tetapi turun memperlahankan keseluruhan produktiviti dalam negara.
Akhir sekali, hujah pengangkutan awam bagi saya tidaklah kukuh. Apakah selama ini dengan adanya dasar perlindungan menjadikan kesesakan di ibu kota berkurangan? Tidak!
Bagi saya isu pengangkutan awam adalah lebih besar dan pengguna tidak perlu dipaksa untuk menggunakan pengangkutan awam ketika ia belum siap, sangat padat terutama pada waktu puncak, tidak menuju ke sesetengah lokasi, menambahkan kos lain seperti masa serta lokasi yang menimbulkan kesesakan lain kerana orang ramai berpusu-pusu ke stesennya.
Saya fikir Khairy patut menyokong cadangan Rafizi dan berterima kasih kerana ianya cocok dengan dasar liberalisasi yang dikemukakan oleh Perdana Menteri.
Percayalah ramai yang menyokong penurunan harga kenderaan ini. Bagi yang tidak mahu dan ingin terus membeli Proton, mereka boleh terus berbuat demikian dan tidak perlu memaksa yang lain menurut cita rasa yang sama.
* Amin Ahmad adalah Pengurus Projek dan Operasi di IDEAS (www.ideas.org.my).
No comments:
Post a Comment