oleh 21Halim
Ekoran daripada cadangan hukum hudud, Umno disarankan membentuk sayap ulamaknya. Inilah topik dibincangkan oleh khalayak, satu dua hari ini. Seiring dengan itu, orang menyemak kembali sejarah awal penubuhan UMNO.
Sebahagian ulamak telah menarik diri daripada UMNO dan akhirnya membentuk parti baru yang kini menjadi seteru UMNO nombor satu iaitu PAS. Di bawah pimpinan Tengku , Tun Razak dan kini Najib, UMNO lebih menyerlah sebagai parti sekular.
Oleh yang demikian, tidak hairan jika UMNO menentang hudud dan teori Negara Islam yang dimajukan oleh PAS. Kelantan yang telah menyiapkan draf hukum hudud untuk dilaksanakan di Kelantan menerima ancaman dan kritikan Tun Mahathir.
Begitu juga Terengganu semasa diperintah PAS juga menerima kecaman. Hatta Ketua Polis Negeri juga enggan memberi kerjasama. Lalu, apabila Kedah jatuh ke tangan Pakatan Rakyat, isu hudud ini disenyapkan oleh Kerajaan Negeri.
Sebenarnya PAS masih konsisten dan terus mencari jalan untuk melaksanakannya. Malah, meskipun kini bersama DAP dan PKR di dalam Pakatan Rakyat, cita-cita tersebut masih kekal. Hanya istilah yang digunakan lebih lunak. Misalnya Negara Islam diganti dengan Negara Berkebajikan.
UMNO kini berasa, ia perlu jadi pemain utama dalam pelaksanaan syariah untuk menambat hati orang Melayu yang semakin ramai menyokong perjuangan PAS dan Pakatan Rakyat. UMNO mahu membuktikan bahawa ia parti yang membela Melayu dan Islam.
Hari ini, 24 Julai 2012, bertempat di Markaz Darul Taqwa, Kg Air Merah, Ustaz Nasarudin Tantawi, Ketua Dewan Pemuda PAS telah ditanya berkenaan penubuhan sayap ulamak di dalam UMNO. Beliau menyokong usaha tersebut tetapi dengan bersyarat. UMNO mesti menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya.
UMNO bertunjangkan sekular. Islam bukan dasar UMNO. Ini bermakna Alquran dan Sunnah bukan rujukan utama. Selama ini para ulamak hanya dicari untuk mengesahkan tindakan pemimpin.
Rakyat Johor tentu masih ingat, ketika Muhyiddin (MB Johor ketika itu) ingin menjadikan Ahad sebagai hari minggu, beliau menggunakan ulamak. Mantan guru agama yang menjadi ADUN Tambatan memetik Firman Allah yang menyuruh orang bertebaran bekerja selepas solat Jumaat. Maknanya, hari Jumaat boleh bekerja!
UMNO juga lazimnya mencalonkan tokoh-tokoh agama sebagai usaha untuk mengimbangi calon PAS. Apabila menang, mereka sekadar menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Jika kalah, mungkin dilantik pula menjadi Penasihat Perdana Menteri. Sejauh mana nasihat mereka digunapakai, tidak dapat dipastikan.
Oleh yang demikian, ura-ura menubuhkan sayap ulamak boleh dilihat sebagai bahan perbahasan semata-mata. Sebabnya, UMNO kini sudah ada Biro Agama. Adakah biro ini tidak berfungsi? Ulamak muda, melalui Sekretariat Ulamak muda, melalui Sekretarit Ulama Muda UMNO (ILMU) mungkin mendapati Biro ini tidak kuat justeru perlu dinaiktaraf menjadi semacam sayap yang setanding dengan Pemuda, Wanita dan Putri.
Barangkali, ulamak muda UMNO berkeyakinan bahawa jika golongan ulamak diberi kedudukan tinggi, usaha menarik lebih ramai golongan agama dan profesional Melayu hari ini akan menjadi lebih mudah.
Setakat hari ini, belum ada kepastian tentang sayap tersebut. Bagaimanakah kedudukan dan apakah peranannya? Apa yang sudah jelas ialah, Pengerusi Ilmu, Fathul Bari Mat Jahaya berkata, Ilmu tidak menolak kemungkinan bertanding dalam PRU 13 jika mendapat lampu hijau.
Sempatkah Sayap ulamak UMNO ini menjadi kenyataan? Takdir Allah akan menentukannya.
No comments:
Post a Comment