Wednesday, July 25, 2012

Semua pihak disedarkan pentingnya sijil Halal

ALOR SETAR – Penganjuran Seminar Pembangunan Halal Negeri Kedah setiap tahun bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak akan kepentingan dan keperluan kepenggunaan sijil halal Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, YB Dato’ Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, usaha gigih agensi kerajaan negeri dan pertubuhan pengguna Islam dalam mendidik pengguna Islam mengenai kepentingan mempunyai sensitiviti terhadap makanan disambut baik masyarakat awam.

“Pada masa sekarang, lebih dari separuh pemegang sijil halal terdiri daripada bukan bumiputera, hal ini menunjukkan bahawa peniaga bukan Islam mula mengambil berat akan keperluan pengguna Islam terhadap produk makanan halal.

“Sesungguhnya mencari yang halal itu adalah wajib bagi setiap muslim, yang mana hal ini bertepatan dengan hadis Rasulullah yang telah diriwayatkan oleh Imam Ahmad, bermaksud, tidak akan memasuki syurga daging yang tumbuh daripada yang haram,” jelas beliau.


Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Seminar Pembangunan Halal Negeri Kedah 2012, yang diadakan di Dewan Utama, Ukir Mall, di sini. Seminar ini dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) dengan kerjasama Institut Pembangunan Pengurusan Johor.
Tambah beliau, seminar ini juga mendedahkan kepada para peserta, seperti pengeluar, pengusaha, pembekal, pengedar dan penyelia makanan halal serta pengguna tentang insentif yang telah disediakan oleh kerajaan dalam pembangunan industri halal.

“Pihak penganjur turut menyediakn klinik usahawan dan kaunter informasi kepada peserta bagi mendapatkan maklumat untuk merungkai pemasalahan yang mereka hadapi selama ini.

“Para peserta boleh menggunakan kesempatan ini dengan sebaik mungkin, terdapat peluang-peluang pembiayaan bagi mereka yang berminat menceburkan diri dalam industri halal yang sedang berkembang pesat serta mendapat sambutan baik di kalangan masyarakat,” jelas beliau.

Bagi membantu para usahawan di negeri Kedah, kerajaan negeri melalui PKNK memberi bantuan kewangan, bimbingan, khidmat nasihat dan latihan berterusan.

No comments:

Post a Comment