Oleh ZULKIFLI YAHAYA
Semua tahu, sikap politik manusia secara umumnya adalah berasaskan persepsi bukan kebenaran. Sukar dicari manusia yang menentukan sikap politiknya berdasarkan kajian ilmiah. Oleh kerana dalam sistem demokrasi, nilai undi seorang yang buta huruf dan seorang professor adalah sama (satu undi setiap orang) maka usaha membina persepsi melalui ‘apa cara sekalipun’ yang efisien sangatlah penting.
Senario politik mutakhir di Malaysia menunjukkan bahawa pendirian kaum minoriti terbesar di negara ini (Cina) jelas memihak kepada Pakatan Rakyat. Itu pun semua orang tahu. Manakala di kalangan orang Melayu, majoriti yang memihak kepada BN adalah lebih tinggi dari Pakatan. Cuma perkara itu yang kalaupun ramai sudah tahu tapi ada pihak yang enggan mengaku.
Secara jujur biar kita mengakui bahawa jika PRU13 diadakan sekarang, PAS adalah parti dalam Pakatan yang menghadapi cabaran paling besar. Sebabnya secara tradisi PAS bertanding di kawasan majoriti Melayu yang tinggi, sedangkan persepsi sebahagian besar orang Melayu terhadap Pakatan (yang di dalamnya terdapat PAS) telah banyak dirosakkan oleh Umno.
Sepanjang empat tahun, pasca Tsunami politik 2008 terdapat empat perkara besar yang diyakinkan oleh Umno terhadap orang Melayu. Pertama, DAP anti Melayu dan Islam. Kedua, PAS tidak dominan dalam Pakatan, hanya menjadi pak turut. Ketiga, Anwar (sekaligus parti KeADILan) penuh dengan masalah. Keempat, Pakatan ditunggangi golongan tidak bermoral dan tidak beraqidah (LGBT, pluralisme). Jadi Umno yang mempunyai jentera propaganda yang besar dan lengkap secara istiqomah memainkan isu tersebut setiap hari. Saban waktu akan wujud ‘bukti-bukti’ baru untuk mengesahkan empat elemen tersebut.
Keempat elemen tersebut membentuk persepsi besar iaitu kemenangan Pakatan menawan Putrajaya akan mengancam kuasa Melayu dan agama Islam. Maka tugas besar Pakatan sekarang ialah bertindak menghancurkan persepsi jahat yang dibina Umno di kalangan orang Melayu itu.
Sukar sangatkah untuk membina persepsi negatif orang Melayu terhadap Umno? Tidak susah sebenarnya, jika setiap isu difokuskan dan semua pihak menjayakannya. Lihat bagaimana Umno lakukan. Mereka berjaya memberitahu sebahagian besar orang Melayu bahawa DAP anti Melayu/Islam dengan mengaitkan setiap tindakan DAP dari aspek perkauman dan kononnya tindakan ‘beragenda’. Sekali orang tidak percaya, mereka akan mengulang-ulangnya berkali-kali dalam pelbagai persembahan pula. Di saat rakyat sudah tidak percayakan Umno, mereka tidak menggunakan Umno untuk menjayakan setiap opera politik mereka, sebaliknya menggunakan pelbagai NGO yang berlainan nama tetapi hakikatnya semua itu lakonan budak-budak Umno.
Akhirnya, hari ini bukan setakat penyokong Umno bawahan yang yakin dengan propanda tersebut malahan golongan menengah dan terpelajar juga termakan dakyah tersebut. Saya melihat realiti ini apabila berkomunikasi dengan kalangan yang benar-benar bukan penyokong mana-mana parti politik. Mereka adalah orang akademik yang dulunya bebas, kini sudah senada dengan Datuk Dr. Hassan Ali dan Ustaz Kazim Elias.
Umno mempunyai rekod pengkhianatan terhadap Melayu dan Islam yang banyak, semuanya terbukti. Tindakan kerajaan pimpinan Umno melesapkan RM52 billion saham Bumiputera adalah isu besar. Ia jauh lebih besar dari RM3 billion yang kononnya dikawal Datuk Seri Anwar sewaktu jadi Menteri Kewangan. Jika cerita 'RM3 billion' 13 tahun lalu dicanangkan begitu sensasi oleh Umno maka agenda untuk isu kehilangan RM52 billion sepatutnya lebih besar.
Pengkhianatan Umno terhadap Melayu mudah diserlahkan dengan angka sebesar itu. Bagaimana kalau ia digerakkan dengan perancangan - memorandum dan laporan polis di seluruh negara. Atau himpunan raksasa mendesak Umno mengembalikan wang Bumiputera RM52 billion yang dihilangkan.
Kejayaan sesuatu isu bertahan dan mengubah persepsi ialah apabila ia difokuskan. Najib dan Umno akan menggelupur teruk jika imej Umno sebagai pembela Melayu dapat ditransformasikan kepada pengkhianat Melayu. Kehilangan RM52 billion itu sekadar satu contoh isu yang tidak disensasikan seperti sepatutnya. Banyak lagi isu berkaitan pengkhianatan Umno terhadap Melayu yang lain.
Baik isu ketidakadilan sistem pilihanraya, ISA, Felda, royalti minyak Kelantan, penyelewengan NFC – semuanya isu besar itu terbukti terkesan di hati rakyat apabila ia digerakkan secara besar-besaran. Ayuh, gerakkan isu pengkhianatan Umno terhadap Melayu ini secara besar-besaran.
No comments:
Post a Comment