Tuesday, July 24, 2012

Rugi jika sektor pertanian diketepikan

PENDANG – Tindakan kerajaan negeri membangunkan sektor pertanian amat baik serta mendapat sokongan daripada semua pihak kerana ianya amat berfaedah di masa akan datang.

Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan Ekonomi) Pendang, Iqbal Ahmad berkata, adalah rugi kepada mereka yang mengenepikan sektor pertanian kerana bakal menghadapi masalah apabila berlaku bencana kelak.

“Jangan pandang hanya pada negeri yang kaya dengan perindustrian, tetapi amat beruntung negeri yang juga bangunkan pertanian, kerana pertanian adalah sumber makanan manusia,” ujar beliau pada Majlis Perasmian Pelancaran Program Pemulihan Dusun Peringkat Daerah Pendang yang diadakan di Kampung Padang Durian, di sini.

Beliau yang juga pernah bertugas di Pejabat Tanah Padang Terap menasihati penduduk, adalah rugi kepada mereka (petani) yang mahu tukar status tanah pertanian kepada tanaman kelapa sawit mahupun getah.


“Kebanyakan penduduk Kampung Padang Durian mempunyai dusun buah durian, rambutan dan dokong, tetapi yang menjadi masalah sekarang mereka mahu tukar tanam kepada getah dan kelapa sawit.

“Kalau ikut pengalaman saya di Pejabat Tanah Padang Terap dulu, pada masa tu harga getah jatuh, jadi ramai yang datang ke pejabat tanah minta ubah syarat tanah daripada getah kepada kelapa sawit, setelah rujuk kepada agensi teknikal, mereka tidak setuju kerana tanah di sini tidak sesuai untuk kelapa sawit.

“Jadi nasihat saya agar semua penduduk mengikut nasihat Jabatan Pertanian kerana mereka telah buat kajian keatas kesesuaian tanaman mengikut tanah di kawasan kita,” jelas beliau.

Tambah beliau, program pertanian yang telah dirancang oleh Jabatan Pertanian memerlukan kerjasama dan sokongan penduduk untuk menjayakannya.

“Program-program yang dirancang amat perlukan kerjasama daripada penduduk, maka penduduk perlu ambil kesempatan sebaik mungkin supaya dapat tingkatkan sumber pendapatan.

“Program pemulihan dusun di peringkat daerah Pendang mendapat sambutan yang menggalakkan, maka Jabatan Pertanian akan meluaskan lagi program ini di mukim-mukim lain,” jelas beliau.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perumahan, Kerja Raya, Pertanian dan Industri Asas Tani, Bioteknologi, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah. Turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Pendang, YB Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Pengarah Pertanian Negeri Kedah, Ismail Salleh dan Pegawai Pertanian Daerah Pendang, Nor Hafizah Abd Rahman.

No comments:

Post a Comment