Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang
KUALA LUMPUR, 30 JULAI: DAP dan PAS bersatu tenaga untuk memerangi rasuah dan penyalahgunaan kuasa serta melaksanakan amalan integriti dalam kepimpinan yang berteraskan prinsip cekap, akauntabel dan telus.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, DAP bersetuju dengan usaha PAS memperjuangkan negara berkebajikan yang melindungi rakyat yang miskin, fakir, sakit dan sesiapa yang memerlukan bantuan.
“DAP dan PAS boleh dan harus bekerjasama untuk masa depan rakyat Malaysia berdasarkan prinsip bersama yang menyatukan kita daripada membiarkan perbezaan ini untuk memecahbelahkan kita.
“Untuk sebab ini, DAP dan PAS telah menandatangani “dasar bersama” yang menyatakan kerangka kerjasama kita dan dasar membina negara-bangsa kerajaan persekutuan Pakatan Rakyat pada masa depan.
“Jelas, “dasar bersama” tersebut tidak menyebut tentang perlaksaan negara Islam atau undang-undang hudud dalam kerajaan persekutuan PR masa depan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan membidas MCA dan Gerakan yang meneruskan serangan tidak bertanggungjawab dan tidak jujur kononnya DAP menyokong PAS dalam pelaksanaan undang-undang hudud dan penubuhan negara Islam serta serangan peribadi yang menampakkan keadaan terdesak mereka untuk meraih kembali sokongan yang sudah hilang.
“Saya ingin mengulangi sekali lagi pendirian DAP yang tidak menyokong pelaksanaan negara Islam di Malaysia dan pelaksanaan undang-undang hudud oleh PAS. Pendirian DAP ini konsisten dan tidak pernah goyah,” katanya, merujuk kepada penghormatan DAP kepada kontrak sosial dan Perlembagaan Persekutuan yang tidak membenarkan pelaksanaan hukum jenayah Islam itu serta penubuhan negara agama.
Katanya, MCA dan Gerakan seakan-akan menjadi orang bersalah yang menyerang orang lain terlebih dahulu dengan cubaan mereka untuk menutup kegagalan menuntut tindakan terhadap pemimpin-pemimpin UMNO yang menyokong pelaksanaan hudud ke atas orang bukan Islam.
Kepimpinan UMNO telah bercelaru apabila pemimpin seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menolak untuk melaksanakan hudud tetapi beberapa pemimpin UMNO lain mendesak hudud dilaksanakan untuk semua, termasuk orang bukan-Islam.
Menurut Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, UMNO Pulau Pinang yang telah menuntut pelaksanaan hudud di Pulau Pinang dan di serata negara.
“Bukan sahaja Ketua Pembangkang Pulau Pinang Dato’ Azhar Ibrahim tetapi Ketua Wanita UMNO Kepala Batas juga telah meluluskan ketetapan untuk menyokong undang-undang hudud untuk semua,” ujarnya.
Beliau menambah, ADUN UMNO Kemelah di Johor, Ayub Rahmat, pula telah menyeru agar Johor menjadi negeri pertama untuk melaksanakan “undang-undang hudud sebenar”, yang berbeza dengan versi PAS kerana “undang-undang hudud sebenar” UMNO akan merangkumi rakyat bukan Islam juga.
“Dalam erti kata lain, UMNO yang ingin melaksanakan undang-undang hudud ke atas bukan Islam adalah lebih ekstrem berbanding PAS yang hanya ingin melaksanakannya ke atas orang Islam.
“Saya tidak dengar pemimpin-pemimpin tertinggi Gerakan mengutuk UMNO ataupun Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek menggunakan kata-kata “sida politik” terhadap UMNO.
“Kenapa MCA atau Gerakan tidak meninggalkan BN atas sokongan pemimpin-pemimpin UMNO terhadap hudud untuk semua? DAP tidak akan menggunakan taktik jijik dan kotor yang digunakan oleh MCA dan Gerakan terhadap pemimpin-pemimpin DAP,” tambahnya.
Guan Eng berkata, DAP tidak pernah menyalah gunakan imuniti Parlimen untuk menonjolkan video seks Chua Soi Lek serta tidak menyerang Chua sebagai orang tidak bermoral yang mempimpin parti tidak bermoral.
Menurutnya, DAP juga tidak menjalankan kempen memburuk-burukkan sepertimana Gerakan lakukan terhadap dirinya dan keluarganya.
Sebaliknya, beliau menjelaskan, keberanian sedemikian tidak pernah ditunjuk oleh pemimpin-pemimpin Gerakan terhadap UMNO yang disokong penuh walaupun UMNO bagai tidak endah apabila gambar potret Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon telah dikoyakkan.
“Jangan kita lupa bahawa UMNOlah yang telah mengharamkan penggunaan kalimah “Allah” dalam kitab injil bahasa Melayu yang digunakan secara luas di Sabah dan Sarawak.
“Ini berbeza dengan PAS yang mengambil jalan sederhana yang membenarkan orang Kristian untuk menggunakan kalimah “Allah” seperti yang menjadi kelaziman selama beratus-ratus tahun di Timur Tengah dan Indonesia,” tambah beliau.
Menurut Guan Eng, jelas terdapat perbezaan di antara kerjasama DAP dan PAS, dengan kerjasama MCA atau Gerakan dan UMNO, apabila PAS dan UMNO dua-dua menyokong hudud dan negara Islam.
“PAS menyokong hudud secara terbuka dan tidak ingin melaksanakannya ke atas bukan Islam sementara UMNO hanya menyatakan usaha melaksanakan hudud untuk semua dalam media bahasa Melayu tetapi tidak dalam media bahasa Cina atau Inggeris.
“DAP bekerjasama dengan PAS atas prinsip bersama iaitu keadilan, kebebasan dan demokrasi dengan mata terbuka sedangkan MCA, MIC dan Gerakan menyerah diri kepada UMNO dengan mata tertutup,” tambah beliau. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment