Monday, July 30, 2012

Gejala Sosial - 55 Tahun UMNO Jaga Negara.. Inilah hasilnya

Menangani gejala sosial masa kini
TAKRIL TASUKI
31 Julai 2012















Orang Melayu dilihat mengungguli gejala sosial masa kini. Sebagai umat Islam, wajar mengambil iktibar daripada teguran dan ingatan daripada Sultan Selangor baru-baru ini. Baginda amat bimbang dengan penularan pelbagai masalah sosial kini yang perlu ditangani dengan segera dan berhemah.

Masalah orang Melayu kini bertambah kronik dengan ancaman pelbagai masalah termasuk isu perpecahan, cukup selesa, alpa dan pemikiran bercelaru yang melemahkan perpaduan sejagat, sehinggakan orang bukan Islam semakin berani melemparkan kritikan dan penghinaan terhadap agama Islam.

Orang Melayu perlu sedar, kekuatan mereka hanya bergantung kepada perpaduan. Kita tiada lagi kekuatan ekonomi, pendidikan malah moral. Kuasa politik yang dimiliki pula semakin tercabar. Orang Melayu sekarang umpama pepatah ‘jika pohon kelapa tumbang, kura-kura pun teringin memanjatnya’.

Pohon kelapa itu diibaratkan masyarakat Melayu dan ia baru condong. Tetapi pelbagai haiwan yang sebelum ini tidak berupaya memanjat pokok, kini begitu gagah tegak berdiri menanti tumbangnya pokok itu.

Orang Melayu turut dilemahkan dengan gejala sosial kalangan remaja yang boleh menggelapkan masa depan generasi muda. Peranan ibu bapa tetap menduduki tempat utama bagi membantu mengurangkan masalah tersebut. Ibu bapa perlu memberi perhatian serius terhadap tingkah laku, pergerakan, pergaulan anak di dalam dan luar rumah.

Pengaruh Internet kepada remaja umpama terselit racun yang berbisa. Mereka bebas melayari laman web yang berbentuk hiburan semata-mata dan meminggirkan masa belajar. Kesannya mereka ketinggalan dari segi akademik. Anak bukan Melayu terus cemerlang dalam akademik, tetapi anak Melayu makin jauh tertinggal di belakang.

Justeru, pihak berkuasa khususnya Kementerian Penerangan perlu menapis dan menyekat pengaruh negatif terutamanya bahan pornografi melalui Internet, sebagimana di negara maju seperti China, Britain dan Singapura.

Tarikan kafe siber kepada golongan remaja juga amat kuat. Kewujudan kafe siber yang tumbuh bagai cendawan lepas hujan wajar diberi perhatian. Di mana-mana tempat kita pergi terdapat kafe siber yang di dalamnya dipenuhi golongan remaja. Kita bukan menolak kewujudan teknologi maklumat di era globalisasi ini, tetapi kewujudannya wajar dikawal dan dipantau agar ia tidak disalah guna seperti budaya melepak dan gengsterisme.

Gejala sosial kalangan masyarakat begitu sukar dibendung kerana kurangnya pengetahuan mengenai gaya hidup yang positif. Bukan hanya kalangan remaja atau muda-mudi sahaja, malah sesetengah golongan tua atau warga emas tidak terkecuali. Kehidupan beragama yang mengamalkan kesederhanaan dalam segenap aspek dipinggirkan, sedangkan kegilaan terhadap hiburan amatlah melampaui batas yang dibenarkan oleh syarak.

Artis menjadi idola mereka, sedangkan alim ulama dipandang sebelah mata. Justeru, ustaz yang berdamping dengan masyarakat dan mengajar di surau atau masjid wajar mengupas dan memberi peringatan berkenaan bahaya gejala sosial masa kini yang boleh mendatangkan kesan buruk kepada kehidupan masyarakat.

Golongan ustaz juga perlu melihat sendiri apa yang ada dalam Internet, agar boleh dijadikan pengajaran bagi memberi peringatan kepada masyarakat.

Teh tarik sangat sinonim dengan restoran mamak. Kita lihat di mana-mana sahaja kedai mamak penuh dengan pengunjung remaja, muda-mudi atau golongan tua untuk menikmati keenakan teh tarik di samping melepak sehingga larut malam dan ada kalanya sampai pagi.

Restoran mamak bukan sahaja dibuka 24 jam tetapi menyediakan skrin besar untuk menyaksikan perlawanan bola dan sebagainya. Restoran mamak yang seolah-olah ‘rumah kedua’ bagi mereka boleh mendatangkan kesan negatif dan gejala sosial makin berleluasa.

Justeru, restoran mamak 24 jam harus dipantau dan pihak berkuasa wajar benarkan restoran mamak membuka perniagaannya sehingga 12 malam.

Kita wajar mencontohi negara-negara Barat yang memantau dan mengawal serta tidak membenarkan perniagaan beroperasi 24 jam. Menangani masalah gejala sosial memerlukan kerjasama dan kesedaran daripada seluruh masyarakat. Slogan ‘keluargaku, syurgaku’ dan ‘semakin hari semakin sayang’ patut dihayati oleh seisi komuniti kita, supaya melahirkan masyarat madani dan sakinah.


TAKRIL TASUKI
Timbalan Yang Dipertua
Gabungan Pertubuhan
Sukarela Selangor

No comments:

Post a Comment