Sunday, July 29, 2012

Jika Dr Mahathir Perdana Menteri,Tunku Dah Masuk Penjara !

Oleh Musli Oli

Ada dua faktor menjadikan Tun Mahathir pemimpin politik yang hebat. Pertama kerana keberaniannya berdebat dan berhujah dengan Lee Kuan Yew ketika mejadi ahli parlimen (1964-1969). Kedua kerana sebuah surat yang ditulisnya mengkritik kepimpinan Tunku Abdul Rahman selepas pilihan raya 1969.

Atas dua faktor diatas, Dr Mahathir diangkat sebagai hero dan pejuang bangsa Melayu. Benarkah begitu?
Dr Mahathir adalah seorang Machiavellian dan political animals dalam ertikata sebenarnya. Bijak mencari isu-isu mengenai bangsa Melayu untuk mendapat publisiti dan menonjolkan dirinya dikalangan kepimpinan bangsawan Melayu ketika itu.

Setelah tewas kerusi parlimen Kota Setar pada pilihanraya 1969, Dr Mahathir tidak menerima kekalahan itu sebagai kelemahan dirinya. Sebaliknya dia menuding jari kearah Tunku Abdul Rahman. Tunku dikatanya seorang pemimpin yang lemah dan tidak layak menjadi pemimpin Melayu. Dalam suratnya kepada Tunku, Dr Mahathir mendesak Tunku meletakkan jawatan Perdana Menteri dan presiden UMNO.

Antara kandungan suratnya, Dr Mahathir menggariskan kelemahan Tunku sebagai punca sebenar kerusi UMNO ditawan parti PAS dan kerusi MCA kalah kepada DAP sehingga Parti Perikatan kehilangan majoriti dua pertiga dalam dewan rakyat.
Surat yang sepatutnya sulit, telah menjadi menjadi surat terbuka. Oleh kerana surat itu mengaibkan Tunku, UMNO telah mengambil keputusan menggantung keahlian Dr Mahathir. Mahathir kemudiannya menulis The Malay Dilemma. Buku itu telah diharamkan tetapi pengharamannya menjadi buku itu mendapat sambutan dan Mahathir menjadi seorang yang popular.

Saya selalu berhujah, jika Dr Mahathir pada ketika itu Perdana Menteri dan yang mengkritik dan menulis surat mendesaknya letak jawatan adalah Tunku, sudah tentu Dr Mahatir akan mengarahkan polis menangkap dan memenjarakan Tunku tanpa perbicaraan dibawah ISA atau mana-mana undang-undang warisan penjajah yang ada. Tetapi Tunku bukan Dr Mahathir.

Tunku seorang pemimpin Melayu yang berjiwa besar!

No comments:

Post a Comment