Abang Daing rasa, sejak tsunami politik 2008 dulu, BN dah banyak berubah, lebih-lebih lagi Najib Razak. Dia kini rajin benar ke hulu-ke hilir, siang dan malam mencari rakyat susah untuk ditolong. Sekejap ke selatan, sekejap ke utara, sekejap ke timur dan sekejap ke barat. Pendek kata, PM kita ni dah macam Pegawai Daerah yang merayau meninjau kawasannya. Hebat betul.
Lepas BN hilang majoriti dua pertiga kerusi di Parlimen, hilang pula Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Perak selain terus gagal menawan Kelantan pada 2008, telah membuatkan BN bagai bangkit dari lena yang panjang. Eh, betul ke?
UMNO-BN baru terasa nak sedar…
Rupa-rupanya, selama 54 tahun mereka memegang kuasa politik, mereka hanyut dengan nikmat yang tuhan beri. Dan rupa-rupanya, selama 54 tahun ini juga, kita rakyat Malaysia kena tipu dek permainan politik UMNO dan BN.
Bayangkanlah, nak dapat BR1M sebanyak RM500, kena tunggu 54 tahun. Nak dapat baucar buku pelajar juga kena tunggu 54 tahun. Tiba-tiba ada macam-macam lagi, segalanya dengan 1Malaysia. Apa ni?
Katanya lagi, semua ini dibuat adalah demi rakyat. Kata Najib, inilah bukti dia menunaikan janji. Itulah slogannya ke hulu-ke hilir dengan tema ‘Janji ditepati’. Ibarat kata, Najib guna sehabis-habisnya modal yang dia ada untuk memastikan rakyat terus jatuh hati padanya dan BN.
Berita tentang bonus hari raya setengah bulan gaji kakitangan awam dan RM500 untuk pesara kerajaan adalah hadiah terbaru dari Najib kepada rakyat. Jumlah semua ini sekitar RM2.2 billion. Jika dikira jumlah wang yang BN tabur sejak Najib ambil alih dari Pak Lah, sudah hampir RM4 billion dihabiskan dalam tempoh tiga tahun Najib sebagai PM, purata BN berbelanja RM 1.2 billion setahun! Mak datuk, banyaknya.
Katanya lagi, bila dicampur tolak darab dan bahagi, kita jangkakan Najib dan BN akan berhabis-habisan berbelanja kepada rakyat menjelang pilihanraya umum yang akan datang ini. Entah berapa ratus juta lagikah wang rakyat akan dikembalikan kepada rakyat dalam bentuk one off atau sekali beri.
Bukan duit dia pun, itu wang rakyat juga
Tetapi, jangan sesekali kita lupa, wang dari cukai rakyat yang dikembalikan ini telah digunakan atas nama Najib dan BN, mereka nak tunjuk bahawa merekalah yang beri dan hanya mereka yang mampu beri. Macam duit simpanan mereka pula gayanya.
Maka, satu kepastian telah kita dapat bahawa, semua pemberian ini termasuk pemberian yang pemandu teksi tak minta, yakni tayar ganti, adalah kesan tsunami politik 2008. Tanpa adanya Pakatan Rakyat, tanpa pencapaian pentadbiran kerajaan PR di Pulau Pinang dan di Selangor, pasti UMNO dan BN tidak akan berbelanja sebegini besar, gara-gara mahu menyaingi apa yang telah kerajaan Pakatan Rakyat buat.
Malah katanya lagi, dengan desakan dan tekanan dari Pakatan Rakyatlah maka BN terpaksa jadi proaktif dengan melakukan perkara yang tidak pernah dilakukan selama 54 tahun mereka memerintah. Maknanya, kena tunggu 54 tahun, kena tunggu adanya PR maka barulah BN nak bekerja untuk rakyat. Penipuan mereka selama ini terbongkar sudah.
Semua yang Najib buat ini amat berbeza dengan apa yang PR tawarkan. Najib hanya mampu beri duit tanpa apa-apa perubahan sistem yang lebih bersih dan telus sepertimana yang telah PR laksanakan di Selangor, Pulau Pinang, Kedah dan Kelantan.
Dia bagi duit sikit, rakyat tetap tak bebas masih dikongkong
Najib beri duit, kata dah tunai janji sedangkan janji nak mansuhkan ISA terus sunyi, mereka yang ada masih merengkok dalam tahanan?
Najib beri baucer buku RM 200, tetapi AUKU masih belum dimansuhkan.
Najib nak transformasi, tapi SPR, Polis, SPRM masih di takok lama, masih layan kerajaan UMNO-BN dan bukannya rakyat. Malah banyak lagi janji untuk ubah sistem masih tak berubah.
Jadi, dengan semua pemberian ini, rakyat harus ambil. Rezeki jangan ditolak. Tetapi untuk membalas jasa dengan mengundi BN, itu cerita lain. Malah kita kenalah tolak BN sebab dah terbukti BN menipu, tidur dan rasuah selama 54 tahun. Dah di hujung tanduk, sekarang baru terhegeh-hegeh nak berbakti kepada rakyat.
Bak kata pepatah, tak ada orang nak masuk ke lubang ular yang mematuknya – dua kali. Jadi, jom Ubah Malaysia, sokong dan undilah Pakatan Rakyat – DAP, PAS dan PKR. – Roketkini.com
No comments:
Post a Comment