ALOR SETAR – Kerajaan negeri Kedah menghargai jasa dan pengorbanan guru-guru Al-Quran sukarela serta bidan-bidan kampung di seluruh negeri ini dengan memberi sumbangan pada setiap tahun.
Menyedari jasa dan keringat yang dicurahkan, kerajaan negeri melalui Yayasan Islam Negeri Kedah menghulurkan sumbangan kepada mereka sempena hari raya yang bakal menjelang nanti.
Sumbangan ini telah dimulakan sejak tahun 2008 yang diperuntukkan oleh Pejabat Menteri Besar dan Yayasan Islam Negeri Kedah. Maka, saban tahun Menteri Besar Kedah, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak pergi ke setiap daerah bagi menyampaikan sumbangan ini.
YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan berkata, kedua-dua golongan amat berperanan dalam membentuk masyarakat mengenal Islam serta berpegang kepada ajaran Islam.
“Sebagai orang Islam, Al-Quran satu perkara yang penting, terutama sekali dalam mendirikan solat, maka peranan guru Al-Quran penting dalam mendidik anak-anak kita mengenal ayat-ayat suci ini, manakala bidan kampung pula merupakan orang yang pertama menyambut kelahiran anak kita.
“Segala kerja buat mereka adalah sukarela tanpa mengaharap apa-apa bayaran, jadi jasa dan pengorbanan mereka amat bermakna kepada kita semua,” ujar beliau pada Majlis Sumbangan Guru Quran Sukarela dan Bidan Kampung Daerah Kota Setar.
Tambah beliau, sumbangan yang diberikan oleh kerajaan ini tidak setimpal dengan pengorbanan mereka, tetapi ianya sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri.
“Apa yang kita sumbangkan ini tidak setimpal dengan peranan dan jasa yang telah berikan kepada kita, tetapi sebagai tanda ikhlas dan penghargaan kerajaan negeri di atas jasa mereka yang tidak ternilai kepada masyarakat.
“Sepanjang Ramadan bagi setiap tahun, kita (kerajaan) akan bersama-sama guru-guru Quran dan bidan kampung di setiap daerah untuk beri sumbangan ini serta berbuka puasa bersama-sama, dengan ini saya dapat melihat sendiri golongan ini,” ujar beliau.
Bagi tahun ini, jumlah penerima sumbangan di seluruh negeri Kedah meningkat kepada 7086 berbanding tahun lepas.
Untuk daerah Kota Setar, seramai 713 guru Al-Quran dan bidan kampung menerima sumbangan ini dan diraikan pada majlis berbuka puasa yang diadakan di Masjid Assalam Alor Semela, di sini.
No comments:
Post a Comment