ALOR SETAR - Kerja-kerja pembalakan di Hutan Simpan Gunung Inas, Baling dihentikan sejak tiga minggu lalu, ekoran arahan terbaru Jabatan Alam Sekitar (JAS) supaya Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed) menyediakan laporan penilaian kesan alam sekitar (EIA) baru.
Pengarah Perhutanan Kedah, Ku Azmi Ku Aman berkata, ia melibatkan kawasan ladang hutan yang akan dibangunkan projek Ladang Sejahtera meliputi keluasan 5,000 hektar.
“Kita tangguh sementara aktiviti pembalakan bagi keluasan 3,000 hektar lagi, setakat ini, 2,000 hektar sudah ditebang,” katanya, ketika dihubungi.
Menurutnya, projek terbabit mendapat kelulusan pada tahun 2007 namun laporan EIA ketika itu belum siap.
“PMBKed serahkan laporan EIA pada tahun 2010 tetapi tidak diluluskan ekoran tidak memenuhi syarat ditetapkan. Dalam perbincangan dengan JAS kelmarin, PMBKed diarahkan untuk menyediakan laporan EIA baru,” katanya.
Ku Azmi berkata, sementara menunggu laporan EIA siap, pihaknya mengarahkan aktiviti pembalakan di Gunung Inas dihentikan ekoran laporan JAS menunjukkan berlaku pencemaran alam sekitar di kawasan terbabit.
“Pencemaran yang dikenalpasti babitkan air sungai yang digunakan beberapa buah kampung sekitar tercemar, manakala hakisan dalam kawalan ekoran dibina teres termasuk spesifikasi jalan hutan dipatuhi,” katanya.
Menurutnya, pihaknya menunggu arahan selanjutnya daripada Kerajaan Negeri sama ada perlu meneruskan projek berkenaan atau menunggu sehingga laporan EIA baru siap.
“Anggaran untuk menyiapkan laporan EIA baru mungkin mengambil masa enam bulan atau lebih, dan setakat ini semua pihak memberi kerjasama baik termasuk syarikat konsesi balak terbabit,” katanya.
Sementara Ketua Pegawai Eksekutif PMBKed, Datuk Shahabudin Shafie berkata, pihaknya kini dalam proses menyediakan laporan EIA baru yang dikendalikan oleh sebuah syarikat perunding yang dilantik.
“Kawasan itu belum diserahkan kepada PMBKed, selepas balak dikeluarkan, barulah kita akan bangunkan Ladang Sejahtera,” katanya.
Kelmarin, dalam suatu kenyataan dikeluarkan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar menegaskan kegiatan pembalakan di Hutan Simpan Gunung Inas sudah dihentikan, sehingga laporan EIA lengkap dikemukakan kepada JAS.
Menurut kenyataan itu, EIA diperlukan untuk dua jenis pembukaan tanah seperti untuk kegiatan pembalakan atas tanah 500 hektar dan lebih manakala kes membabitkan pertukaran status penggunaan tanah, EIA diperlukan bagi projek-projek membabitkan kawasan lebih daripada 500 hektar.
Sebelum ini, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, 5,000 hektar tanah di Baling dibuka sejak pertengahan 2011 bagi memberi laluan kepada skim Ladang Sejahtera bagi penanaman getah balak.
Menurutnya, kegiatan pembalakan itu dijalankan mengikut peraturan dan hasil jualan balak akan dipulangkan kepada rakyat.
No comments:
Post a Comment