Wednesday, May 30, 2012

Terus asak airtime TV semasa kempen PRU13

Ahmad Lutfi Othman, 28 Mei 2012

Di waktu banyak pihak meramalkan Pilihan Raya Umum Ke-13 mungkin mencipta tragis sebagai "medan terburuk" bagi pertarungan menagih mandat baru rakyat, saya melihat beberapa reaksi awal -- yang mungkin dilihat sudah terlewat tetapi tetap dianggap positif dalam proses pendemokrasian -- yang agak mengembirakan.

Semua maklum bahawa PRU13 paling kritikal, sama ada buat Pakatan Rakyat dan juga BN. Ia pertempuran hidup atau mati. Bagi sesetengah individu bertaraf VVIP, kalah bukan sekadar bererti menjadi pembangkang tetapi bakal berdepan tindakan yng cukup mengaibkankan. Maka, untuk mengharapkan pertandingan ini dijalankan secara adil, telus dan bersih, serta menurut etika yang sihat, ia seolah-olah hanya ilusi.

Semua maklum, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada awal lagi dilihat bukan sahaja memihak kepada elit penguasa, malah telah dijadikan perkakas utama BN untuk menang secara tipu-muslihat. Buktinya, senarai daftar pemilih yang kotor dan meragukan, terutama di Selangor. Bukti ini sebenarnya lebih panjang lagi.


Bagaimanapun, sebagai pengamal media yang prihatin dengan tuntutan proses pilihan raya yang adil dan bersih, saya mengharapkan reaksi awal kerajaan terhadap isu akses media dan tempoh minimum kempen perlu disambut tetapi hendaklah diperhalusi agar situasi "padang permainan sama rata" dapat dijelmakan.

Apabila saya agak kerap menimbulkan hal ini, terutama melalui program Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) dan kenyataan akhbarnya, ramai yang memandang sinis dan melihat usaha itu sebagai sia-sia sahaja.

Ya, masakan Umno-BN yang berada di tepi jurang curam dan dalam, masih mahu berbicara soal mewujudkan proses pilihan raya yang benar-benar demokratik dan bebas daripada sebarang penipuan dan manipulasi?

Kita tidak dapat membayangkan kegerunan pemimpin Umno-BN, terutama yang bergelumang dengan pelbagai skandal dan dosa politik, berdepan dengan hukuman rakyat nanti. Tanpa kuasa -- khususnya buat pertama kali di peringkat persekutuan -- segala imuniti dan kekebalan tertanggal seluruhnya.

Apa pun, saya kira Najib Razak tidak mempunyai banyak pilihan. Misalnya, beliau terpaksa memansuhkan ISA, tentunya bukan kerana kejujuran dan keikhlasan untuk memartabatkan keadilan, tetapi disebabkan sudah "diasak ke dinding".

Malah kerajaan sememangnya tidak lagi dapat memperalatkan ISA sesuka hati untuk memenjarakan musuh atau seteru politiknya, disebabkan kesedaran merata rakyat terhadap isu-isu hak asasi dan sebagainya. (Mungkin agak sukar kita mengingati siapa mangsa ISA terakhir daripada kalangan tokoh-tokoh politik; ia lebih membabitkan aktivis yang dikaitkan dengan keganasan dan militan ....)

Begitu juga dengan janji-janji untuk memulihkan demokrasi terpaksa dilafaz Najib semasa malam Hari Malaysia tahun lalu, pastinya bukan disebabkan keikhlasannya untuk menamatkan amalan zalim turun-temurun regim BN. (Secara peribadi saya tidak gemar dengan istilah "ikhlas dan jujur" dalam politik; ia perlu terus diasak dan ditekan secara konsisten).

Ia didorong oleh tindakan politik penguasa bagi merebut kepercayaan dan keyakinan rakyat, yang semakin terbuka dan terdedah dengan proses pendemokrasian sejagat, seperti ditandai oleh Arab Spring dan seumpamanya. Pilihan agar dilihat lebih terbuka dan demokratik hanya merupakan antara talian hayat terakhir yang masih tinggal.

Sang diktator yang mengawal ketat setiap pergerakan rakyatnya pun tidak mampu mengepung wilayah negara daripada "wabak pendemokrasian" ini, apatah lagi teknologi ICT dan fenomena langit terbuka sudah merata serta tidak mampu disekat lagi.

Dan saya melihat penubuhan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) berhubung penambahbaikan proses pilihan raya adalah kemenangan moral buat Bersih 2.0. Kerajaan akhirnya terpaksa tunduk dengan aksi protes jalan raya. Manakala beberapa rumusan awal, seperti penggunaan dakwat kekal, merupakan "keputusan terpaksa" bagi melunakkan kemarahan rakyat dan pembangkang.

Hinggakan, Pengerusi SPR, Abdul Aziz Mohd Yusof terpaksa meluahkan rasa kecewanya apabila beberapa langkah pembaharuan, misalnya dakwat kekal, tidak disambut dengan lafaz terima kasih oleh pemimpin Pakatan Rakyat.

Apabila membaca kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Dr Rais Yatim, pada 22 Mei lalu, bahawa kerajaan akan meneliti saranan SPR agar parti-parti politik di negara ini termasuk pembangkang diberikan akses siaran televisyen secara bebas dan adil, saya menarik nafas lega.

Kata Rais, kertas kabinet mengenai hal itu sudahpun disiapkan. Semestinya ia dibincangkan dengan semua parti yang bertanding serta NGO media yang prihatin dengan isu ini, khasnya Bersih.

Sekurang-kurangnya isu akses media ini terpaksa juga disambut kerajaan. Sebelum itu, Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar memberi jaminan akan mempertimbangkan tempoh kempen lebih lama dalam PRU13 nanti. (Alasan bertulis SPR sebelum ini untuk meremehkan tuntutan tempoh minimum kempen 21 hari adalah dangkal dan tidak diasaskan kepada fakta).

Saya dan KAMI kerap menekankan dua tuntutan penting Bersih itu, yang agak dipandang remeh, iaitu akses media yang adil dan saksama, serta tempoh kempen minimum 21 hari, termasuk melalui Konvensyen Akses Media Dalam PRU13 pada 12 Mei lalu, di Hotel Nouvelle, Sri Kembangan.

Rais berkata, ia bagi membolehkan parti-parti berkenaan menyampaikan manifesto mereka kepada rakyat. "Kerajaan telah menerima permohonan SPR supaya memperuntukkan masa kepada parti-parti politik berkempen di televisyen. Sebenarnya kita telah menyediakan satu kertas cadangan yang akan dibentangkan ke Kabinet tidak lama lagi," tambahnya.

Ia susulan permohonan SPR agar kerajaan memberikan masa siaran televisyen kepada semua parti politik ketika kempen PRU13.

Ya, kerajaan BN terpaksa melakukan sesuatu bagi menampakkan, sekurang-kurangnya, ia tidak berada pada tahap lebih buruk berbanding kerajaan junta Myanmar, yang bersedia memberi airtime saluran TV kerajaan kepada pejuang demokrasi Aung San Suu Kyi, dalam pilihan raya kecil negara itu baru-baru ini.

Kerajaan autoritarian Singapura juga memberikan akses kepada pembangkang untuk muncul di kaca TV yang dikawal kerajaan, khususnya untuk menjelaskan manifesto kepada pengundi. Difahamkan transkrip ucapan itu kemudiannya disiarkan dalam akhbar harian esoknya.

Saya kira SPR juga wajar mengendalikan debat politik di TV, membabitkan tokoh-tokoh utama parti-parti yang bertanding, seperti dimulakan oleh Sinar Harian, yang mempertemukan Khairy Jamaluddin dan Rafizi Ramli, baru-baru ini. Apa pun, seperti saya tegaskan di awal tadi, isu akses media ini perlu diperdebat dan perhalusi lagi.

Antara Menteri Kuat Ampu Najib mamat nie laa...

Rais Yatim tidak bersetuju debat Najib-Anwar di RTM

Meskipun debat "Perdana Menteri - Ketua Pembangkang Parlimen" semakin dinanti-nantikan, tatkala langkah PRU 13 yang menghampiri, namun Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Rais Yatim hari ini menyatakan pendiriannya bahawa beliau tidak bersetuju untuk mengadakan debat politik antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim di Radio Televisyen Malaysia (RTM).

"Kalau kita berdebat 50 jam pun, kita tidak dapat apa-apa.  Tetapi kalau kita sumbang kepada rakyat, rumahnya, jambatannya, jalannya, ini lebih baik daripada lain," kata Rais Yatim (gambar kiri).  Malah, beliau menyifatkan debat antara Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin dalam isu PTPTN yang diadakan sebelum ini sebagai "mainan politik".

Beliau berkata sedemikian ketika ditanya wartawan MerdekaReview, yang mengajukan soalan apakah debat Rafizi Ramli dan Khairy Jamaludin tidak memberi makna?  Untuk Rais Yatim, debat tersebut hanya "mainan politik, dua-dua pun mainan politik."

"Saya mengatakan mainan politik yang mungkin disalahtafsir oleh pihak-pihak tertentu.  Bagi BN, mereka akan mengatakan kita menang.  Bagi pihak pembangkang, juaranya hebat."  ulas selanjutnya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya wartawan dalam program "1Malaysia Prihatin: Sentuhan Mengubah Kehidupan di Indian Settlement di Ladang Kam Seng, Batu 8, Gombak Utara", hari ini.

Minggu lalu, penonton menyahut cadangan moderator debat antara Rafizi dengan Khairy dalam isu PTPTN, iaitu Dr. Maszlee Malik yang mahu melihat perdebatan antara PM Najib Razak dengan Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim.  Malah Timbalan Menteri Pelajaran Saifuddin Abdullah juga bersetuju dengan cadangan tersebut, pada masa yang sama berpendapat debat antara Najib dengan Anwar akan mencipta sejarah tanah air.
*Lu Wei Hoong ialah wartawan MerdekaReview, edisi bahasa Cina. Disedut dan diterjemah dari teks asal.

BERSIH - Dalam jalur sejarah kebangkitan anak muda

Anak muda adalah aset negara yang bakal mencanai masa depan bangsa. Persis, kudrat anak muda bukan sahaja untuk menolak kereta mogok, apabila kereta sudah bergerak dan meluncur kerapkali mereka ditinggalkan begitu sahaja.  Demikianlah yang selalu terjadi dalam kehidupan ini dan begitulah yang sering menimpa nasib anak-anak muda sepanjang sejarah.  Acapkali mereka diketepikan dan jasa mereka dilupakan begitu saja.

Hari ini kita memerlukan tenaga dan intelek mereka bagi mengembalikan erti demokrasi dan kedaulatan rakyat, menghidupkan kembali sistem kehidupan masyarakat yang kian punah kerana rasuah, penipuan dan salahguna kuasa oleh pemerintah.

Harus diingat tanpa perjuangan dan jasa anak-anak muda suatu ketika dulu negara kita tidak akan merdeka.  Tanyalah orang-orang tua yang masih ada seperti Pak Samad (A.Samad Said, gambar kiri), Pak Said Zahari  yang telah mula berjuang dan menulis sejak 1950-an lagi berapa usia pemimpin-pemimpin ketika menentang Inggeris sebelum merdeka dulu - kesemuanya adalah belia-belia yang kebanyakannya berusia antara 17 hingga 25 tahun.

Sejak sebelum Perang Dunia Ke-II lagi, malah jauh sebelum itu, perjuangan anak muda tidak pernah putus-putus demi mengembalikan keadilan.  Perjuangan menentang Inggeris di Pahang oleh gerila pimpinan Bahaman, penentangan terhadap tentera fasis Jepun 1942-1945, beratus ribu lasykar rakyat yang terdiri dari anak-anak muda telah digerakkan.  Sebelum dan selepas perang tamat tenaga dan keberanian mereka telah mengisi pelbagai gerakan. KMM, PKMM, API, AWAS, GERAM (Gerakan Angkatan Muda pimpinan Aziz Ishak dan A. Samad Ismail) dan sebagainya. Termasuk juga ketumbuk dari bukan Melayu seperti MDU, MIC, dan MPAJECA (Malayan People’s Anti - Japanese Ex-Comrades Association) dan sebagainya.  Seluruh gerakan ini telah dipimpin oleh anak-anak muda yang sedar tentang tanggungjawab mereka terhadap rakyat tertindas.

Sejak Darurat pada 20 Jun 1948 pemimpin gerakan anak-anak muda ini telah dilumpuhkan oleh Inggeris serta puak reaksioner (UMNO) kerana mereka dianggap berbahaya.  Beribu-ribu anak muda yang progresif telah ditangkap dan dipenjara.  Di dera dan dan tahan tanpa bicara.  Ramai juga telah mati tanpa mereka tahu apa kesalahan mereka kerana mereka tidak pernah dibicarakan seperti Dr. Burhanudin al-Helmy, Ahmad Boestamam serta kawan-kawan yang lain.  Dari kalangan wartawan dan penulis seperti Said Zahari (gambar kanan) bekas Ketua Editor Utusan Melayu yang berjuang demi kebebasan akhbar juga telah ditahan dan dipenjara tanpa bicara selama 18 tahun di bawah ISA.  Yang tua lebih mudah menjadi boneka - untuk hidup enak sendiri berselindung di sebalik pelbagai topeng termasuk agama.  Kepada kelas ini janganlah disandarkan sebarang harapan untuk perubahan.

Hampir 55 tahun idealism perjuangan anak muda telah dibongsaikan.  UMNO telah mengguna pelbagai strategi dalam bentuk undang-undang untuk mengawal pengaruh dan peranan mereka.  Mereka dipaksa menelan dogma bahawa orang tua yang makan garam lebih dulu adalah lebih bijak dan berhak menentu semua perkara termasuk peranan mereka.

Kebangkitan anak-anak muda hari ini justeru doa para pejuang muda dulunya.  Doa yang mereka lafazkan di antara dinding dan tembok penjara.  Doa pemimpin-pemimpin yang luhur seperti Ahmad Boestamam dan Dr. Burhanudin al-Helmy yang pernah dikurung hingga mati oleh pemerintah.

STRATEGI MELUMPUHKAN ANAK MUDA OLEH UMNO

Sepanjang hampir 55 tahun UMNO tampak terus ingin menggenggam jiwa anak-anak muda menerusi pelbagai akta - ISA 1960, AUKU 1971, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 dan Akta Hasutan 1948, yang menghalang perbincangan yang boleh ditafsir sebagai menghasut dianggap suatu jenayah.  ISA sejak 1960 telah membidas beribu-ribu anak muda ketika mereka sedang nyenyak tidur.  Mereka ditahan tanpa bicara hingga hari ini masih ada yang merengkok di pusat tahanan di Kamunting walaupun akta ini telah dihapuskan pada 12 Mac 2012 lalu.  Demi kebebasan mereka juga melancarkan mogok lapar baru-baru ini.

Penghapusan ISA ini bukanlah kerana UMNO ingin menghapuskannya tetapi kerana perjuangan anak-anak muda Malaysia di bawah GMI (Gabungan Menghapuskan ISA). Akta Perhimpunan Aman 2012 adalah wajah baru ISA yang sedang mensasarkan matlamatnya untuk melumpuhkan musuh politik mereka di samping cuba menakut-nakutkan yang lainnya.  Pun begitu anak-anak muda yang bijak, cekal dan berani hari ini tetap mampu membolosi kawat duri yang tajam dan bermata songsang ini untuk terus membebaskan mereka.

Melalui Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1948, pelbagai akhbar dan majalah telah ditahan permitnya sekiranya cuba melayani selera dan idealism anak muda.  Majalah Panji Masyarakat contohnya hanya berjaya menemui pembaca selama tiga keluaran.  Begitu juga dengan Detik dan al-Wasilah, telah mengalami nasib yang sama.  Sebuah akhbar Cina - Oriental Daily yang diterbit pada 29 September 2002 telah dibatalkan permitnya pada hari yang sama yang berjaya mencecah 200,000 naskah cetakan.  Begitu juga "KEADILAN" yang menjadi lidah rasmi PKR, permitnya telah dibatalkan sebelum tamat tempoh dan banyak lagi.  Daripada angkara akta ini, banyak penerbit mengalami kerugian.  Ada yang hilang pekerjaan dan ada juga yang muflis.

Strategi UMNO untuk terus menguasai media utamanya dan melancarkan perang propaganda yang dahsyat melalui saluran Utusan Malaysia, Siaran media elektronik khususnya TV3 hanya akan menjadi sia-sia kerana ia tidak lagi menjadi pilihan mereka.  Anak-anak muda hari ini bertemankan media baru.

ANAK MUDA SUDAH DI GARIS DEPAN

Daripada 300,000 yang hadir dalam BERSIH 3.0 baru-baru ini, 80% adalah anak-anak muda, melaung suara rakyat bukan parlimen, mendesak sebuah pilihan raya yang bersih dan adil.  Mereka sekarang sedang menjulang harapan rakyat untuk melihat sebuah bangsa yang benar-benar demokratik dan merdeka.

Mereka adalah anak semua bangsa - Melayu, Tiong Hua, India dan lainnya meraikan demokrasi dan hak kebebasan bersuara sebagai suatu bentuk penyertaan politik yang aman, berkumpul secara sah di bawah peruntukan perkara 10 Perlembagaan Malaysia.  Dunia ini sebenarnya milik mereka - Lihat pada internet, broadband serta segala perkakas dan perisiannya.  Lihat juga pada rangkaian sosial facebook, twitter, blog yang menjadi diari peribadi mereka, segalanya adalah dicipta oleh anak muda untuk anak muda.  Ia lebih mesra dengan mereka berbanding orang tua.

Dalam perhimpunan BERSIH pada 28 April 2012 yang lalu masing-masing membawa telefon bimbit berkamera canggih, mereka merakamkan semua peristiwa dalam sekelip mata dan dalam sekelip mata juga telah dimuat naik ke Facebook, Twitter yang dikongsikan dengan ribuan anak muda yang lain di seluruh dunia.

Dengan ilmu dan maklumat yang mereka boleh akses dengan cepat daripada internet hari ini mereka semakin gagah.  Anak-anak muda yang tidak mengikut perkembangan media baru dan rangkaian sosial telah dianggap sebagai mayat yang bergerak.  Kini terdapat 9.276 juta pengguna facebook dan 1.056 juta twitter di seluruh negara dengan kadar penembusan setinggi 88.4% daripada kadar penembusan internet 64.4%. (Ooi Heng : Media, Teknologi Maklumat dan Cabaran Semasa: 42). 【Baca: Gelombang internet sebelum BERSIH 2.0 dan 3.0

DEWAN KULIAH

BERSIH sebenarnya telah menjadi dewan kuliah yang telah mengajar ilmu politik buat mereka.  Tentu sekali mereka akan lebih faham tentang hak mereka untuk memilih wakil dalam PRU 13 nanti.  Begitu juga mereka semakin faham melihat gelagat kelakuan pemuda-pemuda haprak (meminjam istilah Mahathir) yang semakin tidak tentu arah yang menetas di bawah inkubator UMNO.  Mereka juga akan tentu lebih faham bahawa segala tindakan dungu pemuda-pemuda haprak itu hanya akan mempercepatkan keruntuhan regim UMNO-BN.
Dengan gangguan dan kekacauan yang mereka lakukan terhadap Ambiga (gambar kiri) yang berketurunan India sebenarnya bukan sahaja menyebabkan UMNO-BN akan kehilangan sokongan orang-orang India yang lebih banyak dalam PRU 13 nanti malah turut menimbulkan kemarahan seluruh rakyat sekaligus mampu menobatkan Ambiga sebagai "Woman of the year".  Begitu juga dengan keganasan pemuda-pemuda haprak ini terhadap ceramah-ceramah Pakatan Rakyat sebenarnya akan merugikan UMNO dan mereka sendiri.  Orang yang mengikut nafsu akhirnya akan tewas dalam apa jua pertarungan.

Nukilan ~ Tongkat Bahaman

Tuesday, May 29, 2012

Siapa seniour lanie...?

Oleh depakata.co.cc

Nampaknya ada cakap cakap rumah kenduri dalam kubu umno di bakaq bata sekarang bahawa senior umno kedah merangkat ketua perhubungan bahawa beliau masih lagi mempertikaikan siapa yng cuba menafikan akan taraf seniourity dalam umno kedah sekarang ini...

Depa nie dok kata dato bashah dah bagi kata dua kepada sesiapa yg masih nak buka cerita pasai mukhriz jadi mb kedah beliau akan pastikan orang tersebut tidak akan menjadi calon di dun kat kedah....

Pasai apa dato bashah marah sangat isu mukhriz jadi mb kedah nie pun tak tau pasai apa....mungkin beliau merasa tercabaq kot dimana beliau yg jd adun merangkap ketua perhubungan last depa mai dok angkat mukhriz yg tak ada kawasan dun untuk bertangding....


Jadi nak tau detail lagi bab nie biaq kami pie makan kenduri 2,3 buah rumah lagi...insyaallah dapat laa kot korek cerita apa yg depa dok kata lagi sehari dua nie......

Nurul cabar Raja Nong Chik berdebat

Jawapan Datuk Raja Nong Chik (gambar bawah) terhadap isu "Malam Berdarah di Lembah Pantai" membuktikan wujud percubaan untuk mengalih perhatian dan memutarbelit fakta kejadian.

Tidak boleh dinafikan telah berlaku keganasan yang mengakibatkan kecederaan kepada seorang warga emas yang wajib dihormati dan kepada seorang anak kecil yang wajib dilindungi.  Malangnya, serangan keganasan ini bukan hanya satu serangan terhadap rakyat yang tidak bersalah tetapi juga merupakan satu serangan terhadap demokrasi.

Pertama, keganasan yang berlaku dipupuk melalui suasana intimidasi dan politik samseng yang diwujudkan UMNO Lembah Pantai, seperti yang telah disaksikan pada malam itu dan juga kejadian-kejadian sebelumnya.  (Seperti dalam kes 1) protes Pekida di Masjid al-Ikhlasiah, Pantai Dalam; 2) kes Adam Adli ditumbuk di Flat PKNS 4 Tingkat Kg Kerinchi oleh ahli UMNO Lembah Pantai yang dikenalpasti; 3) ceramah TIBAI-UMNO yang dibuat di Kg Kerinchi baru-baru ini.)
Kedua, usaha lemah untuk mengalih pandangan umum dengan membuat spekulasi dan menyalahkan KEADILAN kerana menjemput "orang luar" menghadiri program politik setempat adalah tidak lain tidak bukan satu usaha merendahkan martabat demokrasi yang langsung merugikan penduduk Lembah Pantai.

Sebagai Ahli Parlimen Lembah Pantai saya mengalu-alukan kehadiran pemimpin nasional seperti Najib Razak, Muhyiddin Yassin, Daim Zainuddin dan mana-mana lagi menteri kabinet yang telah turun ke Lembah Pantai dalam beberapa bulan kebelakangan ini.  Saya tidak melihat tindakan UMNO ini sebagai usaha membawa masuk "orang luar" ke dalam "politik tempatan tetapi ianya adalah satu pengiktirafan bahawa KEADILAN telah melakukan banyak perkara dengan betul untuk layak menerima layanan sebegini.

Tambahan pula, layanan luar biasa dalam bentuk dana dan perhatian yang dicurahkan ke Lembah Pantai berbanding kawasan-kawasan parlimen lain di Kuala Lumpur oleh Raja Nong Chik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, serta seorang datuk bandar yang tidak dipilih, adalah bukti kerajaan persekutuan harus bekerja dua kali ganda lebih keras apabila sokongan majoriti di Kuala Lumpur bersama Pakatan Rakyat.

Ketiga, berkaitan dakwaan tidak cukup bukti mereka yang bertanggungjawab terhadap keganasan di Pantai Permai, saya jemput Raja Nong Chik untuk bersama saya mengecam semua bentuk politik keganasan dan bersama-sama saya menjemput Polis Di-Raja Malaysia dan SUHAKAM untuk menyiasat kejadian ini secara adil pada Khamis ini.

Akhir sekali, untuk memupuk semangat demokrasi dan membuktikan politik keganasan tidak boleh diterima segenap lapisan masyarakat, saya sekali lagi menyatakan kesediaan saya untuk berdebat dengan Raja Nong Chik, dua minggu dari sekarang di Pantai Permai, tempat sama seperti ceramah saya minggu lalu.  Saya nantikan sama ada beliau mampu menterjemah percakapan menjadi realiti oleh sebab beliau percaya bahawa semua politik itu bersifat setempat.

*Kenyataan media oleh Nurul Izzah Anwar (gambar kiri) selaku ahli parlimen Lembah Pantai merangkap Naib Presiden KEADILAN.

Pilihan di antara Beyonce dengan Whoopi Goldberg

 Oleh Aspan Alias

Dr Mahathir tetap dengan pandangan bahawa Najib sedang memimpin kerajaan yang lemah dan wajar melupakan untuk mengadakan pilihanraya dalam masa yang terdekat ini. Mahathir mengakui hakikat ini semasa ditemuramah oleh media antarabangsa baru-baru ini.

Mahathir menyarankan pilihanraya mesti ditangguhkan kerana keadaan lemah kerajaan akan hanya membawa Najib berhadapan dengan masalah yang sudah hendak diselesaikan semasa menghadapi rakyat dalam PRU ini.

Saya percaya dengan pandangan Mahathir yang kerajaan sekarang terlalu lemah. Kalau tidak masakan Presiden MCA, Chua Soi Lek menyarankan supaya kerajaan memberikan sekali lagi bantuan rakyat 1Malaysia sebelum pilihanraya diadakan. Nasihat CSL ini menguatkan pandangan yang BN dalam keadaan ‘desperate’ dan terpaksa membeli perasaan rakyat dengan duit sejemput seorang.

Ada baiknya dan ada buruknya jika Najib menangguhkan PRU ini bagi kedua-dua pihak, kerajaan dan pembangkang. Bagi BN, pihaknya akan ada masa untuk menunjukkan kebaikan daripada berlaku tidak senonoh terhadap rakyat dengan budaya samseng dan kerja-kerja tidak bermoral dari pihaknya (BN).

BN jika benar-benar hendak menunjukkan kebaikan mesti menunjukkan sikap ‘gentleman’nya dengan membersihkan senarai nama-nama pendaftar pengundi daripada mendiamkan diri tidak berani menafikan keadaan itu berlaku. Najib masih ada masa untuk menggugurkan Menteri-Menterinya yang rasuah dan menyalahgunakan kuasa untuk menunjukkan yang beliau serius untuk memberikan pilihan yang terbaik untuk rakyat.

Tetapi untuk melakukan ini Najib mesti pastikan yang beliau sendiri tidak terlibat dengan apa bentuk rasuah sekali pun. Mampukah beliau melakukannya? Benar-benar bersihkah Najib ini? Jika masa masih ada, Najib mesti bersihkan imej negara dari masalah ‘2R’, iaitu Rasuah dan Rosmah, yang menjadi bualan rakyat yang mengundi. Sejarah akan memberi pertimbangan ke atas isu rasuah untuk menilai kerajaan BN ini, kerana rasuah dan UMNO itu begitu sinonim yang tidak dapat dibuang lagi.

Walaupun BN sedang melakukan perang saikologi yang besar terhadap rakyat, rakyat sebenarnya sudah menetapkan pendirian mereka dan kedua-dua belah pihak hanya mempunyai peluang untuk mempengaruhi pengundi di atas pagar yang tinggal tidak seberapa lagi jumlahnya. Akhir-akhir ini ada pemimpin-pemimpin besar mendabik dada yang kali ini BN akan kembali memerintah dengan majoriti dua pertiga.

Jika keadaan itu benar kenapa Najib tidak berani membubarkan Parlimen untuk mendapatkan ‘endorsement’ pimpinannya dari rakyat. Barang diingat hanya Najib sahaja diantara PM-PM yang sebelumnya yang masih belum mengadakan pilihanraya untuk mendapatkannya (endorsement rakyat).

Kali ini BN tidak semudah dahulu lagi untuk menafikan kemampuan PR memerintah Kerajaan Persekutuan kerana bukti-bukti dan dalil-dalil yang baik yang ditunjukkan oleh PR dalam negeri-negeri tadbirannya. Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan telah menunjukkan ketinggian akhlak kepimpinan mereka jika dibandingkan dengan akhlak kepimpinan BN khususnya UMNO.

Kerajaan–kerajaan pimpinan BN yang menempelkan agama Islam sebagai asas pentadbiran mereka terbukti telah melakukan pertentangan dengan syariat dan nilai Islam itu sendiri, Rasuah dan salahguna wang dan ‘resources’ kepunyaan rakyat itu adalah elemen pertentangan dengan Islam dan ia amat jauh dari apa yang mereka (UMNO) laungkan yang Islam itu sebagai cara hidup.

Jika Najib mendengar nasihat Mahathir supaya pilihanraya ditangguhkan, PR juga mempunyai banyak ‘advantages’nya. Bagi PR samada dipercepatkan atau menangguhkan PRU kali ini tidak menjadi apa-apa padanya. Bagi PR yang perlu dilakukannya ialah untuk terus mentadbir negeri-negeri tadbiran mereka dengan baik seperti yang sedang mereka lakukan pada hari ini.

Sesungguhnya Pakatan Rakyat tidak terdesak untuk mengadakan pilihanraya ini. Yang terdesak ialah BN kerana BN terlalu banyak ‘cover up’ yang terpaksa mereka lakukan. UMNO terutamanya terlalu banyak yang putus yang hendak disambung dan yang koyak yang perlu mereka tampal.

BN adalah seperti seorang seniwati tua yang hendak muncul di pentas, ia terlalu banyak perkara yang terpaksa dilakukan untuk menonjolkan imej muda dan bertenaga. “Cosmetics’nya terpaksa lebih tebal dan lubang-lubang dan kedut terpaksa disumbat dengan ‘foundation’ yang mahal-mahal. Hendak mengenakan pakaian pun susah kerana sudah gemuk gedempul, dan untuk mencari pakaian yang sesuai memakan masa yang lama.

Sebaliknya, PR diibaratkan seperti seniwati yang masih muda dan tidak payah melakukan ‘make up’ yang ‘elaborate’ terhadap mukanya yang masih cantik dan menawan itu. Seniwati muda (PR) ini masih bertenaga kerana tubuh badannya masih genit dan ringan, mudah untuk menari dan menyanyi di hadapan penonton yang ramai di hadapan. Penyanyi muda boleh mengenakan apa-apa jenis pakaian. Pakai jeans dan baju-t pun cantik dan kalau pakai pakaian kebaya lagilah cantik. Nak pakai cheong sam dan sari pun senang kerana tubuh masih langsing dan cantik.

Pendeknya, pemilihan kali ini adalah pemilihan di antara seniwati tua dan seniwati yang muda. Pihak yang tua ini terpaksa melakukan banyak persediaan untuk menjadi ‘competitive’ dengan artis muda yang serba baik dan cantik itu. Begitu ramai penonton yang bersedia membeli tiket untuk menonton mereka.

Dalam kata-kata yang lain pertandingan di antara BN dan PR kali ini ibarat pertandingan di antara Whoopi Goldberg dengan Beyonce. Saya sudah pastilah memilih Beyonce bersama ramai yang lain kerana kecantikannya. Tetapi masih ada yang memberikan sokongan kepada Whoopi Golberg walaupun tidak berapa ramai seperti penyokong Beyonce.

Najib Ketepi Pemimpin UMNO, Ezam Bakal MB Selangor?

oleh Shahbudin Husin

Selain mahu mempertahankan Putrajaya, Najib juga ghairah untuk merampas Selangor daripada Pakatan Rakyat. Antara sebab kenapa Selangor menjadi sasaran sudah tentulah kerana negeri itu merupakan negeri yang paling kaya dalam Malaysia. Keghairahan Najib mahu menawan Selangor bukan saja disandarkan kepada kesediaannya menjadi Pengerusi UMNO Selangor tetapi juga melalui kekerapannya turun ke negeri itu.

Walaupun berasal dari Pahang tetapi Najib dilihat lebih kerap turun dan mencurahkan wang yang banyak untuk Selangor berbanding negeri kelahirannya sendiri. Berjaya mempertahankan Putrajaya dan menawan Selangor sekaligus adalah impian politik Najib dalam pilihanraya umum ini.

Tetapi sebagaimana kata bekas Presiden MCA, Tun Ling Liong Sik, cabaran Najib untuk menawan Selangor ialah imej kerajaan dan pimpinan negeri itu yang diketuai oleh Khalid Ibrahim yang dilihat mempunyai imej lebih baik, bersih dan telus berbanding UMNO dan BN.


Dalam masa yang sama imej UMNO Selangor tetap tidak menunjukkan peningkatan kerana wajah-wajah pemimpin yang ada adalah wajah yang langsung tidak meyakinkan rakyat seperti Noh Omar atau Zin Mohamed dan lain-lain Ketua UMNO Bahagian. Wajah pemimpin muda dan pelapis yang membanggakan langsung tidak ada dalam barisan kepimpinan UMNO Selangor sekarang ini.

Bercakap soal kualiti kepimpinan di Selangor, bukan saja Ling Liong Sik tetapi sebahagian besar penduduk Selangor sendiri tidak yakin UMNO mampu merampas kembali negeri itu jika bersandarkan wajah pemimpin yang sedia ada. Bahkan ramai pula yang tidak mahu memberikan UMNO kemenangan jika wajah-wajah yang ada ini dikekalkan.

Dalam soal pemilihan calon pilihanraya di Selangor, Najib sendiri memahami keadaan itu. Meletakkan calon-calon dari kalangan pemimpin UMNO semata-mata mungkin akan menyebabkan kekalahan diketahui lebih awal lagi. Mahu tidak mahu, Najib terpaksa meletakkan calon yang dianggap "winnable" dan bukan dari kalangan kepimpinan UMNO Bahagian bagi merealisasikan hasratnya menawan negeri itu.

Bagi Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO dan menggantikannya dengan calon "winnable" adalah jalan terbaik untuk mencapai kemenangan serta lebih mudah untuk meyakinkan pengundi, terutama pengundi muda dan atas pagar. Lagi pula dalam setiap kali kunjungan Najib ke Selangor, beliau sering menekankan faktor "winnable" dan ikrar daripada pemimpin UMNO bahagian-bahagian bahawa mereka akan akur dengan sesiapa saja calon yang dipilih oleh pucuk pimpinan juga sudah pun diperolehi.

Malahan Tun Mahathir sendiri dalam perjumpaannya dengan jentera BN Selangor turut menekankan betapa pentingnya mengutamakan parti melebihi kepentingan peribadi. Kata Mahathir, kemenangan UMNO lebih penting dari kemenangan peribadi.

Saranan Najib dan Mahathir itu pada asasnya adalah bagi memudahkan calon-calon yang bermasalah atau mereka yang memegang jawatan dalam UMNO tetapi tidak diyakini boleh menang, untuk diketepikan. Dari segi politiknya, Najib sudah ada kebebasan untuk memilih calon tanpa terikat dengan kehendak UMNO Bahagian-bahagian.

Oleh itu, difahamkan lebih daripada 50 peratus calon pilihan Najib untuk mewakili UMNO di Selangor dalam piliharaya akan datang ini bukan terdiri daripada kepimpinan UNMNO Bahagian. Sebahagian mereka yang dipilih ialah kalangan pemimpin NGO, tokoh motivasi, tokoh pengguna dan kalangan profesional yang terdiri daripada arkitek, jurutera, akauntan dan pegawai bank. Bagi kalangan profesional yang dipilih, mereka ini tidak memegang jawatan yang penting dalam UMNO tetapi disenangi di kalangan penduduk tempatan manakala bagi pemimpin NGO pula pemilihan mereka lebih kepada kekerapan muncul di dada-dada media yang pada Najib menunjukkan kesungguhan mereka membantu perjuangan politiknya.

Calon Menteri Besar pilihan Najib ialah Ezam Mohd Nor yang kini merupakan seorang Senator dan penasihat Tibai, sebuah NGO yang berperanan menghentam Anwar berkaitan isu-isu seks dan moral. Beliau difahamkan akan diletakkan bertanding di DUN Sri Muda untuk berhadapan dengan Ketua Penerangan PKR Selangor, Suhaimi Shafie.

FD Iskandar, Bendahari UMNO Selangor dan Rozali Ismail, pemilik Puncak Niaga yang sebelum ini turut disebut-sebut sebagai bakal Menteri Besar jika UMNO kembali berkuasa, didapati tiada dalam senarai calon pilihanraya. Calon tunggal Menteri Besar hanyalah Ezam Mohd Nor.

Turut dicadangkan untuk dipilih sebagai calon di Selangor ialah beberapa tokoh NGO seperti Pengerusi Gerakan Anti Penyelewengan Selangor atau GAPS, Hamidzun Khairuddin, tokoh pengguna Dr Maamor Othman, tokoh motivasi Fadzillah Kamsah, Pengerusi Jati, Dr Hassan Ali, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baru, Zulkifli Nordin dan beberapa lagi daripada kalangan profesional yang sedang berkhidmat dengan sektor swasta.

Hamidzun difahamkan akan diletakkan bertanding di Dun Sementa, Dr Maamor di Ampang dan Fadzillah Kamsah dijangka diletakkan di DUN Bukit Antarabangsa untuk menentang Azmin Ali.

Bagi Dr Hassan Ali dan Zulkifli Nordin pula, kedua-dua mereka akan melalui ranjau "kamikaze" dalam piihanraya kali ini kerana Najib lebih berminat untuk meletakkan kedua-duanya bertanding di peringkat Parlimen dengan Hassan Ali dijangka diletakkan di Gombak untuk berhadapan dengan Azmin Ali manakala Zulkifli Nordin pula di Shah Alam untuk menentang Khalid Samad.

Daripada sudut yang lain, Najib nampaknya benar-benar mahu membuatkan Azmin Ali begitu sibuk dan menghadapi cabaran paing sengit kali ini. Jika Azmin bertanding di Gombak, musuhnya ialah Hassan Ali manakala jika bertanding di DUN Bukit Antarabangsa pula, cabarannya ialah Dr Fadzillah Kamsah.

Bersandarkan kepada asas "winnable" juga, calon daripada kalangan pemegang jawatan dalam UMNO hanya akan dipilih sekiranya mereka itu benar-benar boleh membawa kemenangan dan bersih daripada sebarang masalah, selebihnya kouta itu akan dipilih daripada kalangan AJK Bahagian atau pun golongan profesional yang diketahui mirip kepada UMNO.

Bagi Noh Omar dan Zin Mohamed pula, walaupun mereka tidak begitu disenangi oleh ramai penduduk Selangor tetapi berasaskan jawatan sebagai Timbalan Pengerusi UMNO Selangor dan Penyelaras BN Selangor serta hubungan akrab dengan Najib, kedua-duanya dijangka akan dikekalkan untuk bertanding di kerusi Parlimen sedia ada iaitu di Tanjung Karang dan Sepang.

Persoalan yang menarik untuk dilihat ialah sama ada tindakan Najib mengetepikan sebahagian besar pemimpin UMNO ini akan menyebabkan berlakunya sabotaj ketika pilihanraya atau sebaliknya. Jika berlaku sabotaj oleh mereka yang tidak terpilih itu, harapan Najib untuk mencapai kemenangan pasti menjadi bertambah sukar. Kiranya sabotaj dapat dielakkan dan pemimpin UMNO yang tidak terpilih itu dapat memberikan kerjasama sepenuhnya, UMNO dan BN mungkin mampu memberi cabaran sengit kepada Pakatan Rakyat.

Apakah UMNO Selangor sedia menerima Ezam menjadi Menteri Besar? Mahukah mereka melihat kalangan yang pernah rapat dengan Anwar dan kini berdiri atas pelbagai NGO dan hanya bermodalkan isu-isu seks dan moral yang dikaitkan dengan Anwar tetapi tidak memegang apa-apa jawatan dalam UMNO, mengambil alih pula kedudukan sebagai Yang Berhormat.

Apakah juga pemimpin UMNO Selangor sentiasa patuh dan berpegang kepada ikrar yang mereka lafazkan kepada Najib bahawa mereka akan akur sesiapa saja calon yang dipilih?

Tetapi mengenali kebanyakan yang bergelar pemimpin dalam UMNO yang hanya mengutamakan kepentingan peribadi melebihi segala-galanya, formula Najib di Selangor ini mungkin membawa kekalahan yang lebih parah lagi.