Sunday, February 20, 2011

PR Tetap pertahan Kedah

Tetap pertahan Kedah

KOTA SARANG SEMUT - Pakatan Rakyat (PR) Kedah berikrar mempertahankan kuasa pemerintah dan tidak akan memberi peluang mudah kepada Barisan Nasional (BN) merampas kembali negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata, sekiranya UMNO kini sedang giat memperkemas dan membuat penyusunan peringkat parti untuk merampas Kedah kembali, PR juga mengatur strategi sama untuk mengekalkan kuasa.

“Kita sedang bagi tumpuan pada 295,000 yang belum daftar sebagai pengundi di Kedah. Kita akan pastikan mereka daftar kerana undi kita bergantung pada daftar pemilih baru.

"Walaupun saya masih tidak puas hati dengan daftar pemilih sedia ada, namun kita akan cuba mempertingkatkan dengan segera,” katanya selepas merasmikan Himpunan Pemuda Pas 30K peringkat kebangsaan, semalam.

Menurutnya, tidak dinafikan terdapat ahli Pas yang masih belum mendaftar dan pihaknya meminta semua pihak memberi kerjasama.

“Cawangan kena lipat ganda usaha lebih kuat, dan saya serah pada Cawangan untuk buat semakan daftar pemilih,” katanya.

Azizan berkata, tumpuan juga diberi kepada pengundi luar bandar termasuk proses pemutihan dengan membuat semakan daftar pemilih sedia ada supaya tidak wujud pengundi hantu.

“Saya lihat sekarang UMNO dalam dilema mengatur pelbagai strategi tetapi gagal. Mungkin sebab itu mereka cari masa sesuai untuk umum bila PRU-13 supaya mereka boleh menang.

"Namun PR akan tetap pertahan apa yang diperjuangkan pemimpin terdahulu dan tidak akan menyerah kalah,” katanya.

Menurutnya, sokongan pemuda juga penting untuk mengekalkan kemenangan kerana generasi inilah yang akan menjadi pencetus perubahan untuk mendukung gagasan baru yang dilahirkan oleh pemimpin parti.

“Kita perlu pupuk semangat juang tinggi, kuatkan azam untuk hancurkan kezaliman dan ketidakadilan.

"Jika kita pegang tampuk pemerintahan di Putrajaya, inilah yang akan kita buat,” katanya.

Berikutan itu, pihaknya kini sedang memperkemas setiap Cawangan parti di setiap daerah bagi memastikan kemenangan kekal bersama PR.

1 comment:

  1. mestilah pertahankan.......Allahhuakbar...




    http://koleksi-lirik-melayu.blogspot.com/

    ReplyDelete