Tuesday, February 1, 2011

Umno Tipu Mangsa Banjir Di Kedah!

oleh: ZULKIFLI YAHAYA

Kedatangan Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kedah 19 Januari lalu adalah road show biasa dibuat oleh mana-mana Pengerusi BN menjelang pilihanraya umum. Rakyat dihimpunkan oleh jentera kerajaan Pusat kononnya untuk majlis ramah mesra dengan Perdana Menteri, tetapi apa yang dihidangkan kemudiannya ialah ucapan politik pemimpin utama BN; berkempen supaya rakyat menyokong BN, mencaci dan memfitnah pembangkang. Termasuk yang menjadi sasaran fitnah ialah kerajaan negeri Kedah.

Sewaktu semua ceramah politik terbuka diharamkam di negeri ini, BN diberi kelonggaran berceramah oleh pihak polis. RTM menyiarkan secara langsung program Presiden Umno bertemu rakyat yang diadakan di Sungai Petani itu.

Radio Malaysia Kedah FM melaporkan kehadiran orang ramai mencecah 25 ribu. Sejurus selepas itu Pengerusi Perhubungan Umno Kedah Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah memaklumkan bahawa kehadiran orang ramai adalah di sekitar 15 ribu. Najib yang bangun berucap menyebut bahawa kehadiran orang ramai pada petang itu ialah 10 ribu orang. Yang Mana satu betul?

Kecelaruan yang berlaku itu adalah muqaddimah terhadap kecelaruan selanjutnya yang dibuat Najib hingga menyebabkan pemimpin BN Kedah yang menanggung padah. Dalam ucapannya Najib beritahu, kerajaan negeri langsung tidak bantu rakyat dalam peristiwa banjir yang melanda Kedah. Sebaliknya BN yang memberi pelbagai bantuan. Selain wang tunai RM500 untuk setiap keluarga, Pusat katanya telah memberi sumbangan tilam dan dapur gas kepada setiap mangsa banjir. Ucapannya didengar oleh seluruh rakyat Kedah.

Sekarang Mat Bashah, wakil rakyat BN dan JKKK sudah pening untuk menjawab setiap mangsa banjir yang tidak dapat tilam atau dapur gas. Isu tilam menjadi hangat sebulan lepas banjir apabila Umno mengagihkan bantuan hanya untuk menyokong terpilih mereka sahaja. Penyokong PAS tak dapat biasa, tetapi apabila ramai penyokong Umno sendiri yang tak dapat mereka buat protes.

Tilam bukan isu besar tapi, bagi Umno apa saja habuan duniawi boleh jadi asas untuk mereka bergasak sesama sendiri. Lebih 90 peratus punca pertikaian dalam Umno berpunca dari isu fulus. Mereka berkelahi merebut jawatan pun kerana di situ ada sumber kewangan.

Ekoran ucapan Najib itu juga ramai kalangan mangsa banjir yang rasa tertipu dengan janji-janji manis BN kerana mereka belum merasa sesen pun wang ehsan banjir. Memang ada yang telah dapat, RM500 untuk sebuah keluarga, tetapi kebanyakan ahli-ahli Umno. Ramai mempertikaikan tindakan ‘kerajaan kedua’ di Kedah yang tidak bersikap professional dalam agihan bantuan banjir, walhal sumber kewangan dana banjir adalah dari wang kerajaan Pusat hasil cukai yang dikutip dari rakyat jelata.

Pada 23 Januari lalu, sebahagian mangsa banjir yang terdiri dari orang-orang Cina dari beberapa buah taman perumahan sudah hilang sabar akibat beberapa kali tertipu dalam isu banjir ini. Mereka hadir beramai-ramai ke Pusat Khidmat Ahmad Bashah yang menumpang di pejabat penghulu Mukim Mergong.

Pengerusi Umno Kedah itu tiada di pejabat, maka kakitangan pejabatlah yang menjadi sasaran kemarahan. Masing-masing bersingsing lengan, mujurlah pihak polis segera menghantar anggota-anggotanya mengawal keadaan. Dari pejabat Ahmad Bashah mereka bergegas pula ke pejabat Ahli Parlimen Alor Setar, Datuk Chor Chee Heung. Ramai anggota polis dihantar ke situ pula untuk mengawal keadaan. Kasihan pihak polis, malam sibuk mengawal ceramah pembangkang tanpa permit, siang sibuk pula mengawal pejabat wakil rakyat BN. Tapi cerita-cerita seperti ini digelapkan oleh media-media talibarut BN.

Menurut seorang mangsa banjir yang membuat protes itu, borang pendaftaran mangsa banjir telah diisi olehnya dan diserahkan melalui wakil MCA. Namanya tercicir kononnya kerana kegagalan mendapat pengesahan di borang tapi ada juga yang tersenarai.

“Bila ditanya nak cop di mana?, mereka suruh minta di pejabat UMNO,” ujar mangsa. Pihak pejabat Umno pula didakwa menyuruh borang itu dirujukkan kepada JKKKP. Mangsa banjir ditendang ke sana sini macam bola.

Menurut seorang mangsa banjir mendedahkan, beratus-ratus slip pendaftaran mangsa banjir tidak disahkan walaupun tarikh akhir untuk berbuat demikian adalah 6 Januari lalu.

Peristiwa banjir besar di Kedah hampir tiga bulan berlalu, tapi Pusat masih gagal menangani isu bantuan terhadap mangsa. Puncanya ialah kerana mereka tiada keikhlasan untuk membantu, sebaliknya semata-mata kerana politik.

Masa BN dulu semua bantuan Pusat disalurkan melalui jentera Negeri. Negeri mempunyai struktur birokrasi yang lengkap sehingga ke akar umbi. Ia berbeza dengan keupayaan Pusat di negeri-negeri. Selayaknya Pejabat Daerah dan penghulu diberi tanggungjawab, tetapi Pusat memilih rangkaian parti BN yang lemah dan langsung tidak boleh diharap.

Surat jemputan kepada mangsa untuk menerima bantuan pun menggunakan kepala surat Umno, walhal guna duit Kerajaan Pusat. Tempat menerima bantuan adalah pejabat Umno dan tukang hulur cek pun pemimpin Umno. Harapan mereka rakyat anggap itu sumbangan Umno/BN dan terus beri mandat pada BN.

Zaman ICT ini rakyat bukan boleh diperbodohkan semudah itu. Generasi yang ada hari ini umumnya bersekolah dan cerdik. Kedatangan Najib ke Kedah diharap membawa gelombang ‘BN Menang, Kedah Senang’. Rupanya selepas beliau pulang, pemimpin BN pula yang pening kepala hadapi kerenah rakyat, gara-gara ceramah politik seorang Perdana Menteri.

No comments:

Post a Comment