Tuesday, March 22, 2011

Pangkalan data penjenayah siber bakal diwujudkan

KUALA LUMPUR 22 Mac – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menubuhkan pangkalan data khas bagi menyimpan maklumat mana-mana individu yang terlibat dalam jenayah komersial dan siber di negara ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, pangkalan data itu dijangka beroperasi mulai selewat-lewatnya Julai depan, sebaik sahaja memperoleh perkakasan yang diperlukan.

Beliau berkata, permohonan untuk membeli perkakasan tersebut sudah diserahkan kepada Jabatan Logistik dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk tindakan lanjut.

“Data-data yang disimpan nanti akan mengambil kira modus operandi penjenayah selain biodata, demografi dan semua maklumat mengenai mereka,” katanya kepada pemberita dalam wawancara sempena Sambutan Peringatan Hari Polis Ke-204 di pejabatnya di Bukit Perdana di sini hari ini.

Menurut Syed Ismail, kesemua data-data pesalah siber dan komersial itu direkodkan hasil maklumat dan risikan pihaknya selain laporan yang diterima daripada pengadu.

Selain pangkalan data, beliau berkata, JSJK turut mengemukakan permohonan untuk mewujudkan pusat sehenti khusus bagi menangani jenayah siber.

“Dalam jenayah siber, masa amat mustahak. Sebagai contoh, dalam kes ‘phishing’ atau mencari mangsa secara rawak melibatkan maybank2u.

“Modus operandi sindiket ialah mangsa akan menerima e-mel amaran keselamatan disertakan dengan alamat laman web kononnya dihantar pihak bank meminta mereka mengemas kini alamat dan maklumat peribadi,” katanya.

Beliau berkata, apabila mangsa percaya dan selesai mengemas kini maklumat tersebut, maka dalam tempoh kira-kira dua minit mereka akan menerima pesanan ringkas (SMS) dari bank memaklumkan berlaku transaksi wang dalam akuan mangsa.

Syed Ismail berkata, pusat sehenti yang dicadangkan itu membolehkan mangsa yang ditipu membuat laporan segera untuk siasatan polis.

Katanya, pusat sehenti bakal diwujudkan ini memilih Taiwan sebagai model memandangkan kejayaan negara itu membanteras jenayah siber menggunakan pusat sehenti seumpama itu.

No comments:

Post a Comment