Tuesday, March 1, 2011

Punca bil air SADA tak boleh bayaq di Pejabat POS kerana depa nak charge mahal..!!

Sada henti khidmat pos

ALOR SETAR - Semua pejabat pos di negeri ini tidak lagi berperanan sebagai agen kutipan bayaran bil Syarikat Air Darul Aman (Sada) berkuat kuasa 1 Mac ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Datuk Adzmi Din berkata, pemberhentian perkhidmatan itu terpaksa dibuat supaya pengguna tidak dibebankan dengan kos bayaran komisen yang dikenakan oleh pejabat pos kepada Sada.

“Isu ini tidak dapat dielakkan dan kita memutuskan hentikan khidmat di pejabat pos kerana ia merugikan Sada.

"Jika diteruskan juga kelak dibimbangi beban itu terpaksa dikongsi dengan pengguna.

"Untuk elak pengguna menanggung kos tambahan, kita tamatkan perkhidmatan itu,” katanya.

Menurutnya, kadar lama sebanyak 70 sen sebelum ini yang ditanggung sepenuhnya oleh Sada menyebabkan pihaknya kerugian hampir RM1.2 juta setahun.

“Bermula Mac juga kadar komisen dinaikkan kepada 90 sen, jadi jumlah kerugian akan bertambah hampir 30 peratus. Kenaikan ini dianggap tinggi dan membebankan Sada dan adalah lebih praktikal untuk hentikan khidmat itu,” katanya.

Adzmi berkata, setiap bulan pihaknya terpaksa memberi subsidi kepada pengguna hampir RM100,000 sebulan, kerana tidak mahu memindahkan kos tanggungan itu kepada pengguna.

“Jika kami setuju dengan kenaikan komisen itu bermakna pengguna perlu kongsi kos itu sebab Sada tidak mahu lagi tanggung kerugian.

"Notis awal sudah pun dikeluarkan di pejabat pos dan walaupun mendapat bantahan orang ramai, Sada akan adakan pilihan lain kepada pengguna,” katanya.

Menurutnya, bagi mengatasi masalah itu, Sada telah membuka kaunter di bandar-bandar utama, antaranya Jitra, Pokok Sena, Pendang, Baling dan Langkawi. Manakala kaunter baru juga sudah mula beroperasi, antaranya di Yan Kecil, Gurun, Sik, Kuala Ketil, dan Serdang. “Kita juga sedang dalam proses membina lebih banyak kaunter dan lokasi dalam perancangan ialah di Jeniang, Changlun, Kota Kuala Muda dan Air Hitam,” katanya.

“Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga adalah agen kutipan Sada dan buat masa ini hanya beroperasi di Alor Setar, Langkawi dan Sungai Petani. Kita sedang dalam perbincangan akhir untuk lantik semua pejabat TNB dan Kedai TNB sebagai agen kutipan pertengahan Mac ini,” katanya.

Adzmi berkata, perbincangan dengan Telekom Malaysia (TM) juga sedang dibuat bagi melantik syarikat itu sebagai agen kutipan.

“Kini pengguna mempunyai lebih pilihan, sama ada bayar di kaunter Sada, TNB, TM atau bayar di bank, antaranya Bank Islam, Bank Rakyat, Eon Bank, Maybank dan BSN. Bayaran secara online juga sedang dibincangkan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya akan menyediakan kaunter bergerak Sada di kawasan yang terpencil, dengan menyenaraikan lokasi pilihan pada bil bulanan.

“Hebahan akan dibuat dari semasa ke semasa. Malah kita juga akan edarkan notis pada Majlis Ketua Kampung (MKK) atau Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) untuk dimaklumkan pada orang ramai,” katanya.

Adzmi berkata, perkhidmatan kaunter bergerak hanya bersifat sementara sehingga pihaknya mendapatkan premis tetap.

Menurutnya, 95 peratus pengguna Sada adalah pengguna domestik, membabitkan 500,000 akaun pengguna.

1 comment:

  1. Baca AloQStaQBlog esok pagi (JUMAAT JAM 10:20AM) untuk berkongsi rasa ... :-) itupun kalau berani laaaa .....

    Jom ke AloQStaQ

    Hehehehe ... Baru Hangpa Ada Akai !!

    ReplyDelete