Tukang rumah dipenjara 30 tahun rogol gadis sunti
ALOR SETAR 24 Mac - Seorang tukang rumah dihukum penjara 30 tahun dan sebatan 12 kali oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini setelah didapati bersalah atas dua tuduhan merogol seorang gadis berumur 14 tahun, dua tahun lalu.
Hakim Mohd. Sabri Ismail memerintahkan Mohd. Salleh Abdullah, 42, menjalani hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman berjalan berturut-turut.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam bela disabitkan bersalah atas tuduhan merogol mangsa di dalam sebuah kereta Proton Saga di Jalan Semiliang, Padang Terap di sini kira-kira pukul 2.30 petang, 2 September 2009.
[ADS] Ingin memasuki tajuk muka depan akhbar? Inilah peluang anda!!!!!!
Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd. Salleh didakwa merogol mangsa kira-kira pukul 2.30 petang, 27 September 2009 di kawasan kebun getah Kampung Kuala Janing, Padang Terap.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(B) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 kali.
Dia pada mulanya dibebaskan di akhir kes pendakwaan pada 18 Ogos 2010 sebelum Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan tertuduh membela diri selepas membenarkan rayuan pihak pendakwa raya.
Terdahulu, tertuduh dalam keterangan bela dirinya telah bersumpah bahawa setiap pertuduhan tidak benar dan memohon agar hakim dapat membuat keputusan yang seadil-adilnya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Rizal Fadzil bagaimanapun memohon agar tertuduh dikenakan hukuman berat kerana gadis tersebut di bawah umur selain sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
No comments:
Post a Comment