Saturday, June 4, 2011

CHANGLUN - Jawatankuasa bebas ditubuh

Jawatankuasa bebas ditubuh

CHANGLUN - Satu jawatankuasa bebas akan ditubuhkan bagi menyiasat berhubung kes seorang lelaki berusia 27 tahun yang mendakwa tidak dapat berjalan dengan baik dan hanya mampu terlantar di rumah selepas mendapatkan rawatan serta suntikan dari sebuah klinik kesihatan di sini.

Bagi pihak Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri Kedah (Kesihatan Awam), Dr Hayati Mohd Radzi dalam kenyataannya di sini memberitahu berikutan aduan yang dibuat, pihaknya telah menjalankan siasatan dan mendapati pengadu telah mendapatkan rawatan di klinik terbabit seperti yang dinyatakan.

Menurutnya, hasil siasatan yang dilakukan mendapati pengadu telah mendapat rawatan lanjut di hospital dan telah dirujuk untuk pemulihan fisioterapi.

“Justeru kami akan menubuhkan jawatankuasa bebas itu bagi menyiasat kes terbabit,” katanya.

Beliau berkata, bagaimanapun keputusan untuk tindakan selanjutnya akan dibuat selepas memperoleh keputusan daripada jawatankuasa bebas berkenaan.

31 Mei lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki dari Taman Seri Changlun, Mohammad Azzumar Mohamed Shukor tidak boleh berjalan selepas disuntik di sebuah klinik kesihatan pada awal Februari lalu.

Difahamkan Mohammad Azzumar pergi ke sebuah klinik kesihatan di sini bagi mendapatkan rawatan selepas mengalami masalah membuang air kecil tidak lawas pada 7 Februari lalu.

Selepas diperiksa dia dimaklumkan oleh penolong pegawai perubatan di situ bahawa mengalami masalah air kencing kotor dan terpaksa diberi suntikan.

Selepas beberapa hari menerima suntikan di bahagian pinggul kiri, dia dikatakan mengalami kebas-kebas bermula daripada tempat disuntik sehingga ke tapak kaki yang sama dan segera ke sebuah hospital di Kangar bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.

No comments:

Post a Comment