GURUN – Penduduk di kawasan sekitar Guar Nenas bimbang apabila simpang tiga yang menjadi laluan utama bagi pengguna tidak dilengkapi kemudahan asas seperti lampu jalan.
Penduduk di kawasan berhampiran, Mohd Rodzi Senapi, 50, berkata, keadaan simpang ini yang sentiasa sibuk membuatkan dia dan beberapa penduduk sekitar tidak senang duduk memandangkan kemudahan asas tidak disediakan pihak yang bertanggungjawab.
“Simpang ini adalah laluan utama bagi pekerja kilang berhampiran kerana jaraknya lebih dekat berbanding jalan besar, namun apa yang membimbangkan saya ialah keadaan jalan yang tidak dilengkapi kemudahan asas seperti lampu jalan.
“Malah apa yang menjadikan simpang tiga ini semakin berisiko tinggi untuk terjadinya kemalangan ialah di simpang ini tiada garisan garisan berkembar bagi memberi amaran kepada pengguna dari arah Gurun ke Jenun dan Jenun ke Gurun bahawa tidak dibenarkan memotong,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.
Menurutnya, jika pengguna daripada luar yang melalui jalan itu, sudah pastinya mereka tidak mengetahui bahawa terdapat dua simpang tiga yang berhampiran dan kemungkinan besar menyumbang kepada kemalangan.
“Waktu yang paling sibuk ialah pagi apabila kesemua pekerja kilang berhampiran hendak masuk kerja, tengah hari iaitu waktu rehat dan di sebelah petang di mana kesemua mereka akan balik dari kerja.
“Apabila malam sahaja, simpang tiga ini menjadi bertambah bahaya apabila lampu jalan tidak ada. Empat tahun lepas lampu jalan memang ada, namun setelah kilang kayu berhampiran simpang itu ditutup, lampu jalan juga tidak di pasang,” katanya.
Rodzi berkata, kemalangan juga sering berlaku, namun setakat ini masih belum ada yang menyebabkan maut.
“Keadaan jalan ini bertambah sesak apabila jalan utama ditutup kerana projek menaik taraf jalan kereta api sedang dijalankan dan sekarang jalan ini menjadi laluan utama bagi kenderaan berat seperti lori.
“Bukan itu sahaja, lori yang melalui jalan ini pula kebanyakannya di pandu laju dan ia membahayakan pengguna terutamanya yang ingin keluar daripada simpang tiga Guar Nenas ini,” katnya.
Dalam perkembangan sama, Jurucakap Jabatan Kerja Raya (JKR) Kuala Muda berkata, pihaknya akan membuat pemantauan berkenaan masalah yang dihadapi penduduk.
“Dalam masalah ini, pihak kami akan turun untuk membuat pemantauan berkenaan masalah jalan yang terpaksa dihadapi penduduk dan kita sendiri akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah mereka,” katanya.
Salam
ReplyDeleteMinggu lepas saya lalu gurun untuk ke kenduri arwah yang dianjurkan oleh sedara saya. Malam tu saya lalu susur jalan Kg Sungai Ibor dan keluar ke jalan utama melalui pekan lama Gurun. Lepas kenduri, balik ke rumah melalui Jalan Guar Nenas untuk ke Lebuhraya Utara Selatan.
Daripada pengalaman saya, memang saya akui rungutan orang Gurun memang ada benarnya. Tapi yang saya hairan, macam mana MPSPk boleh biarkan perkara ini terjadi.
Syarikat kontraktor yang buat projek landasan keretapi berkembar ni bukannya syarikat cap ayam. Apabila mereka tutup jalan Jeniang di persimpangan pekan Gurun, takkan perkara ini tak dirancang dengan teliti.
Jikalau terpaksa menggunakan Jalan Kg Sg Ibor sekalipun, sekurang-kurangnya besarkanlah jalan tersebut. Pasanglah lampu isyarat sementara di persimpangan pekan lama Gurun tu. Ini termasuk jugalah persimpangan Jalan Guar Nenas dengan jalan utama Sg Petani-Alor Setar. Takkan nak tunggu ada kemalangan atau ada kematian baru nak buat.
YB-YB yang ada tolonglah pantau sikit projek di kawasan tuan ni. Kalau MPSPk lena, EXCO-EXCO yang bertanggungjawab tak kan nak lena jugak. Kalau penggundi lena dengan hangpa PRU 13 ni jangan pulak hangpa meloncat itu dan ini.
Yang lagi satu saya heran, JKR ni nak pantau apa lagi. Takkan kontraktor tak dapat kelulusan hangpa untuk tutup jalan tu. Bila hangpa lulus atau sokong untuk diluluskan, takkan hangpa tak tengok apa benda yang patut kontraktor tu kena buat sebagai alternatif sementara?
Pelik betul saya dalam hal ni. Kalaulah ada pegawai-pegawai JKR atau MPSPk bagi syarat kat kantraktor untuk lakukan sesuatu apabila jalan ni ditutup, kalau kontraktor tak lakukan juga, issue la stop work order. Hangpa kat Alor Setar nak sangat kuasa. Bila ada kuasa hangpa buat apa? Ni dah 11 hari jalan tu ditutup. Takkan hangpa tak sedar-sedar lagi?
PRU 13 dah dekat. Benda-benda macam ni lah yang akan menjadi bukti hangpa kat Alor Setar sana pentadbir yang berkemampuan ataupun tidak. Kalau setakat nak mengaku melayu atau mengaku islam saja, orang melayu lain pun melayu dan islam jugak. Fikir-fikirkanlah.
Kalau MPSPk ada masalah, takkan hangpa kat Alor Setar tak boleh buat apa-apa. Janganlah masalah pentadbiran sesuatu majlis perbandaran turut menyusahkan rakyat dan orang ramai. Kena ingat, kuasa daripada rakyat....
Wallahualam.
assalam,
ReplyDeletekadang kita terlalu memikirkan masalah nasional hingga terlupa masalah domestik. Seperti MP Jerai sendiri atau Adun Gurun boleh dikatakan setiap hari melalui jalan situ mungkin tidak perasan juga adanya simpang tersebut. Setahun lalu berdekatan simpang tersebutlah sebuah kereta viva terpelanting pintu dilanggar oleh lori roti.
Itu salah satu simpang dan banyak lagi masalah domestik yang gagal diselesaikan oleh pihak bertanggungjawab. Ini kerana apa jika tiada kematian, makanya tempat tersebut tidaklah perlu dikisahkan.
Contohnya simpang di hadapan Taman Ria Mesra, dulu mana ada lampu isyarat tetapi setelah melibatkan kematian nyawa, barulah diletakkan lampu isyarat.
Kekadang ada lampu pun tidak berguna juga, ada orang tidak nampak lampu merah, terus jalan. Ini masalah apa ni?
Kepada mereka-mereka yang diberi tanggungjawab untuk memikul tugas berkenaan, silalah pasang-pasang mata telinga untuk bertindak menyelesaikan masalah berbangkit.
Jika hendak diungkitkan,banyak lagi dan kemungkinan tandas awam di perhentian bas express Guar Chempedak masih tidak berubah begitu juga surau. Itu antara dua elemen yang penting kerana keduanya berkaitan dengan kebersihan luaran dan dalaman.
Silalah bertindak segera kepada perkara-perkara tersebut dan lain2 perkara yang memberi kebaikan kepada semua.