Sunday, June 12, 2011

Kuala Sala - Dana surau tidak cukup

KUALA SALA – Seramai 500 penduduk Kampung Seberang Jaya memohon dana tambahan bagi membina semula Surau Nurul Ehsan.

Imam Surau Nurul Ehsan Kampung Baru Seberang Jaya Kuala Sala, Ahmad Shafie berkata, surau itu dibina sejak 1996.

“Surau ini memang wujud sejak 14 tahun lalu, namun kerana mengikut perkembangan semasa dan saiznya yang agak kecil dan tidak dapat menampung jumlah makmum yang ramai, pihak kami mengambil keputusan untuk memperbesarkannya,” katanya ketika ditemui Sinar Harian.

Menurutnya, pembinaan surau itu berjalan selama dua bulan dan ia terpaksa dihentikan buat sementara waktu kerana jumlah dana yang tidak mencukupi.

“Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral Datuk Seri Jamilkhir Baharom memberi sumbangan kepada surau berkenaan sebanyak RM5,000 untuk kerja-kerja pembinaan.

“Di samping itu, pihak surau juga membuat kutipan daripada penduduk kampung bagi menambah dana membina surau dan setakat ini kerja pembinaan memakan belanja sebanyak RM20,000,” katanya.

Ahmad berkata, pembinaan surau terpaksa dijalankan memandangkan surau sebelum ini terlalu rendah dan kecil dan apabila tiba solat Sunat Aidiladha dan solat berjemaah ia tidak dapat menampung jumlah penduduk.

“Setakat ini, kami hanya mampu menyiapkan lantai dan dinding surau sahaja, pernah suatu ketika sedang solat berjemaah hujan turun, kami tetap meneruskan solat sehingga selesai walaupun pada ketika itu habis baju basah,” katanya.

Menurutnya, bagi menyiapkan pembinaan surau itu pihaknya memerlukan sejumlah dana lagi iaitu sebanyak RM40,000.

Jika sesiapa yang ingin menyalurkan bantuan dana bagi membina Surau Nurul Ehsan bolehlah berhubung terus Iman Ahmad Shafie di talian 013-4565262.

1 comment:

  1. Minta maaf dulu sebelum pandangan di teruskan.
    Nak buat surau memang bagus tapi seeloknya hentikan budaya meminta dan memohon derma dari luar kawasan kawasan.
    Kalau ubahsuai rumah hingga rm 50,000.00 bolih dibuat,tak kan seribu dua tak bolih disumbang untuk surau sendiri,kecualilah surau tersebut "Surau Office Hours".
    Ujudkan perasaan kasih dan sayang pada surau kita dan anggap macam rumah kita.Bila ini terjadi,perasaan untuk berkorban pada surau akan datang dengan sendiri.
    Bukan nak dabik dada,surau kami "Surau Al Firdaus Taman Desa Aman Sungai Lalang"(alfirdaus.blogspot.com) didirikan tanpa satu duit pun bantuan dari orang luar (+-rm120,000.00)kerana semua jemaah tau,inilah rumah kedua kami yang setiap waktu akan kami kunjungi.Ubahsuai pembesaran pula dibuat secara gotng royong dengan kepakaran yang ada pada jemaah.

    ***apabila apa yang kita bangunkan itu dari wang titik peluh kita,akan ujudlah perasaan kasih sayang dan ianya tidak akan kita tinggalkan berkunci setiap masa seperti yang telah terjadi kepada beberapa buah surau dan masjid.
    (kami cakap kami buat)

    ReplyDelete