Monday, June 6, 2011

Misi IPD Kota berjaya ALOR SETAR -

Misi IPD Kota berjaya

ALOR SETAR - Lima kes melibatkan kecurian motosikal telah berjaya dibongkar oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar setelah berjaya menahan lima suspek berusia sekitar 13 hingga 19 tahun.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Adzaman Mohd Jan berkata, tangkapan pertama yang dilakukan pada 26 Mei lalu kira-kira jam 3.15 pagi di kawasan Anak Bukit telah berjaya menahan seorang lelaki berusia 14 tahun.

Menurutnya, setelah siasatan dijalankan ke atas suspek pertama yang ditahan, empat lagi suspek telah berjaya ditahan dan sekaligus berjaya membongkar lima kes curi motosikal.

“Kita percaya aktiviti yang dijalankan didalangi oleh suspek pertama yang ditahan dan kegiatan ini dilakukan sejak awal tahun.

“Suspek menjadikan kawasan semak dan tali air sebagai tempat untuk menyembunyikan motosikal yang telah dicuri,” katanya kepada media, semalam.

Adzaman berkata, hasil tangkapan yang dilakukan, pihak polis telah berjaya merampas satu rangka dan dua rim motosikal bagi kes pertama, satu rangka motosikal berjenama Honda C70 untuk kes kedua dan kes ketiga melibatkan satu enjin motosikal jenis Honda EX5.

Beliau berkata, satu rangka motosikal jenis Honda EX5 bagi kes keempat dan satu lagi rangka motosikal EX5 telah dirampas bagi kes kelima.

Kesemua mereka kini masih dalam siasatan dan kes ini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan.



21 kes pecah rumah dibongkar



Selain itu, Adzaman berkata, IPD Kota Setar turut mencatatkan kejayaan apabila menyelesaikan 21 kes melibatkan pecah rumah dan satu kes curi dalam bangunan apabila tertangkapnya seorang lelaki berusia 26 tahun pada 17 Mei lalu.

Menurutnya, kegiatan yang dijalankan sejak awal tahun ini membolehkan suspek memperoleh keuntungan sekitar RM30,000.

“Suspek menggunakan modus operandi yang sama apabila barang yang dicuri dijual kepada pengedar dadah, digadai di pajak gadai dan dijual di kedai beli dan jual emas di sekitar bandaraya Alor Setar, Butterworth, Seberang Jaya serta Shah Alam, Selangor.

“Setelah menjalankan siasatan ke atas suspek yang ditahan, pihak polis berjaya menahan empat lagi rakan suspek,” katanya.

Adzaman berkata, suspek yang merupakan seorang penagih dadah mempunyai rekod jenayah termasuklah mencuri motosikal dan kes dadah.

Beliau berkata, mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.



Kenalan mangsa kemalangan dicari



Sementara itu, Adzaman berkata, pihaknya juga mencari ahli keluarga ataupun kenalan seorang mangsa yang terlibat dengan satu kemalangan kira-kira jam 12.15 tengah malam, semalam di Kilometer 52.5, Lebuh raya arah Utara.

Menurutnya, mangsa menunggang motosikal jenis Modenas Kriss berwarna hijau dengan nombor pendaftaran KBY 1221.

“Mangsa yang meninggal dunia di tempat kejadian berusia lingkungan 30-an dan kini berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

“Mangsa berkemungkinan warganegara asing dan bekerja di sini, kita berharap sekiranya pihak yang mengenali mangsa sila tampil,” katanya.

No comments:

Post a Comment