PENDANG – Penduduk di Taman Setia dekat sini memuji tindakan segera yang diambil syarikat E-Idaman yang membersih dan memotong rumput di kawasan perumahan dan taman permainan di kawasan terbabit.
Pengerusi Majlis Ketua-ketua Kampung (MKK) Taman Aman dan Taman Setia, Jaafar Rawan berkata, tindakan segera yang diambil pihak berkenaan begitu dipuji dan ia meredakan rasa ketidakpuasan hati penduduk sebelum ini.
Menurutnya, tindakan itu menyelesaikan masalah taman permainan yang terbiar kerana dipenuhi rumput yang membahayakan kanak-kanak di kawasan itu untuk bermain di situ.
“Saya mewakili penduduk mengucapkan terima kasih dengan tindakan segera yang diambil setelah aduan ini dilaporkan Sinar Harian.
“Saya berharap masalah seperti ini tidak akan berulang lagi dan pihak berkenaan dapat menjalankan tugas mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya kepada Sinar Harian.
Sementara itu, Ketua Jabatan Komunikasi Korporat E-Idaman, Afzainizam Ab Rahim berkata, syarikatnya tidak menerima sebarang aduan daripada penduduk sepertimana yang didakwa mereka sehingga menyebabkan masalah berkenaan tidak diselenggarakan.
Menurutnya, tindakan segera diambil setelah melihat laporan melalui Sinar Harian dan kemungkinan aduan yang dimaklumkan itu dilaporkan kepada Majlis Daerah Pendang (MDP) sahaja.
“Jadual kutipan sampah yang sebenar adalah tiga kali seminggu bukan enam kali seminggu sepertimana yang tercatat pada papan tanda di taman itu manakala pembersihan perparitan dilakukan setiap satu bulan sekali manakala pemotongan rumput dilakukan mencukupi tempoh 21 hari.
“Saya sedar banyak pihak yang tidak mengetahui kepada pihak mana untuk membuat aduan menyebabkan banyak aduan tidak diterima pihak syarikat,” katanya.
No comments:
Post a Comment