Sunday, June 19, 2011

Setiap manusia manusia adalah ‘pengembala’ - MB Kedah

Setiap manusia manusia adalah ‘pengembala’
Ditulis oleh MUSLIM ABDUL RAZAK

ALOR SETAR – Setiap manusia mempunyai tanggungjawab masing-masing, bermula dari peringkat pemimpin sehinga ke peringkat pelajar, semuanya akan ditanya tentang tanggungjawabnya di akhirat nanti.

Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, setiap manusia adalah gembala, maka apabila jadi seorang pengembala mestilah menjaga gembalaannya supaya sentiasa selamat.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis suai kenal kepada pelajar-pelajar baru di Kolej Universiti Insaniah (KUIN).

“Sesiapa yang menjadi ketua maka dia mesti bertanggungjawab atas jagaannya.

“Penjaga yang pertama adalah adalah pemimpin kepada rakyat, ia perlu bertanggungjawab tentang hal ehwal rakyat, ekonomi dan keselamatan rakyatnya,” ujarnya.

Tambah Dato’ Azizan, yang keduanya adalah suami, ia bertangungjawab terhadap rumah tangganya, isterinya, akhlak anak-anaknya dan ia juga perlu memastikan anak-anaknya dapat belajar dengan baik supaya akhlak anaknya tidak menyeleweng di masa hadapan.

Yang ketiganya adalah isteri, apabila suaminya bekerja dia bertanggungjawab menjaga rumahnya dan tidak membenarkan orang yang tidak dikenali datang ke rumah semasa ketiadaan suaminya.

“Dan yang seterusnya adalah pelajar, pelajar adalah bertanggungjwab terhadap pengajiannya dan seorang pelajar perlulah menghormati ibu bapanya kerana ia menggunakan duit ibu bapanya untuk belajar.

“Selain itu, kerajaan juga turut memberikan pinjaman. Jika pelajar tersebut tidak belajar dengan bersungguh-sungguh dan masa dihabiskan sehingga tiga dan empat tahun. Akhirnya pelajar tersebut mendapat keputusan peperiksaan tidak memuaskan, maka akhirnya dia akan menjadi seorang yang tidak tentu arah,” terangnya.

Katanya lagi, kedatangan pelajar-pelajar tersebut ke KUIN bukanlah atas jemputan tetapi atas permintaan mereka sendiri maka mereka perlulah mengetahui tanggungjawab sebagai seorang pelajar. Jika ditakdirkan mereka tidak berpuas hati setelah belajar di KUIN selama sebulan maka mereka boleh membuat permintaan untuk berhenti, dan pihak KUIN turut berjanji akan kembalikan duit pelajar tersebut.

“Selain itu, jika ditanya masa paling indah kepada saya, maka saya akan jawab, masa yang paling indah adalah semasa belajar.

“Jika kita menjadi pelajar yang cemerlang maka nama kita disanjung sebagai pelajar terbaik semasa hari konvokesyen yang dihadiri oleh ibu bapa kita,” ujarnya.

Beliau berkata lagi, sesiapa yang mahukan dunia, maka dia perlukan ilmu, sesiapa yang mahukan akhirat juga perlukan ilmu dan jika mahukan kedua-duanya sekali pun, turut memerlukan ilmu.

Pepatah ada mengatakan jika manusia mengejar akhirat, dunia akan datang dan apabila manusia mengejar dunia, akhirat akan lari darinya.

“Oleh itu, sesiapa yang belajar disini, tunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar, barulah dapat melahirkan sebuah institusi yang cemerlang untuk membina ummah yang berakhlak supaya dapat menjaga maruah diri dan institusinya.

“Syair Arab ada mengatakan nilai ummah itu dapat dilihat pada akhlaknya dan nilai sesebuah bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut mengekalkan akhlak mereka tetapi jika sesebuah bangsa itu tidak mempunyai akhlak maka bangsa tersebut tidak lagi mempunyai nilai.

“Oleh itu, pelajar-pelajar KUIN haruslah keluar bersaing dengan dunia luar dan kamu perlu buktikan kepada masyarakat bahawa kamu adalah insan yang beracuankan Islam dan seorang yang professional. Selain itu, kamu juga perlu menjadi insan yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau juga turut berharap agar warga KUIN dapat belajar dengan bersungguh-sungguh dan semoga Allah memberkati mereka.

No comments:

Post a Comment