Wednesday, July 20, 2011

Demokrasi di Malaysia makin pincang

Mohd Syahid

Ahli parlimen merupakan wakil yang dipilih oleh rakyat untuk menyampaikan pandangan dan masalah mereka. Konsepnya wakil yang dipilih ini adalah pekerja untuk rakyat dan rakyat adalah tuannya. Seharusnya wakil yang dipilh oleh rakyat ini memainkan peranan penting dalam membawa isu-isu dan masalah-masalah rakyat.

Namun ada sesetengah wakil rakyat ini membalas pengharapan rakyat dengan mengkhianati amanah yang diberi. Mereka membolot harta rakyat sesuka hati mereka demi kepentingan peribadi. Membina mahligai berjuta-juta ringgit di saat ramai rakyat di sekeliling rumah mereka menanti saat rebah ke bumi. Berbelanja kelengkapan peribadi ribuan ringgit di saat ada rakyat menjadi peminta sedekah yang mencari sesuap nasi untuk anak di rumah.

Kos kehidupan yang meningkat dan kenaikan harga barang lebih menghimpit golongan miskin ini. Kajian yang dilakukan mendapati pendapatan isirumah di bawah RM 2000 boleh dikatakan sebagai golongan miskin.

Dalam keghairahan mengejar status negara maju namun Malaysia masih mempunyai jurang pendapatan yang besar. Ibarat pepatah Melayu menyebut ‘menang sorak kampung tergadai’. Lebih parah apabila budaya rasuah dan ketirisan wang telah menyebabkan negara rugi berbilion ringgit. Malah rasuah juga berlaku kesan daripada demokrasi yang cacat. Demokrasi Malaysia masih bersifat sempit dan belum matang sepenuhnya.

Menyentuh tentang isu 6 orang termasuk seorang Ahli Parlimen Sungai Siput (U), Dr Jayakumar yang ditahan dibawah Seksyen 3(1) Ordinan Darurat (Ketenteraman Awam dan Pencegahan Jenayah) 1969. Ordinan Darurat hampir sama dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri yang membenarkan polis menahan seseorang suspek sehingga 60 hari tanpa perbicaraan. Sebelum itu, beliau ditahan kerana didakwa melawan Yang di-Pertuan Agong dan mahu menghidupkan fahaman komunisme.

Saya berpandangan kalau benar beliau bersalah sepatutnya beliau dibawa ke mahkamah untuk dibicarakan, Biarkan mahkamah yang menentukan bersalah atau tidak. Adalah tidak adil jika beliau ditahan berhari-hari tanpa belum dibuktikan bersalah lagi. Malah penahanan beliau membantutkan tugas beliau sebagai ahli parlimen.

Keruntuhan demokrasi juga turut menjalar ke Kolej Universiti Insaniah Kedah (KUIN) apabila pentadbiran KUIN telah bertindak menggunakan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) menggantung pengajian lima orang pelajarnya kerana didakwa mengadakan demontrasi berhubung bantahan pembukaan Sekolah Insan Bestari menggunakan bangunan tahfiz.

Di Mesir pula seorang mahasiswa Mohd Firdaus Madzlan telah dibuang daripada universiti adalah disebabkan beliau menganjurkan Bersih 2.0 di Mesir baru-baru ini. Tindakan ini adalah bertentangan dengan perlembagaan negara, iaitu hak setiap warganegara untuk bersuara dan berhimpun secara aman.

Oleh itu, saya mengharapkan supaya pemimpin negara lebih serius dalam menagani rasuah dan mengamalkan kehidupan yang lebih bersederhana.

Selain itu, berdasarkan prinsip keadilan dan hak asasi manusia saya juga berharap pihak yang bertanggungjawab terutamanya Kementerian Dalam Negeri dapat mempertimbangkan semula penahanan mereka selaras dengan status Malaysia sebagai anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB dan mengkaji semula mana-mana akta yang melanggar nilai demokrasi di Malaysia seperti AUKU, Ordinan Darurat dan ISA.

No comments:

Post a Comment