Friday, August 5, 2011

Adakah kami tidak layak mohon rumah KEDA?

Masih tunggu bantuan rumah

PADANG PELIANG – Adakah kami tidak layak? Itulah pertanyaan sebuah keluarga di Kampung Baru dekat sini mengenai permohonan bantuan rumah yang dimohon keluarga itu lebih 11 tahun.

Norma Mat Isa, 45, berkata, sudah banyak surat permohonan dihantar kepada pelbagai pihak antaranya pejabat daerah, Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (Keda) dan UMNO bahagian namun, sehingga kini belum menerima sebarang jawapan.

“Selama 23 tahun saya menumpang di rumah bapa saudara yang serba kekurangan memandangkan bapa saudara saya menetap di Kuala Lumpur namun, saya bimbang akan kehilangan tempat tinggal jika bapa saudara saya pulang untuk menetap di sini.

“Tambahan pula bumbung rumah ini banyak bocor dan saya tidak mampu untuk membaikinya berikutan menghadapi masalah kewangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, dia sudah beberapa kali bertanya mengenai status permohonan itu kepada pemimpin kampung kawasan itu namun, dimaklumkan pihak berkenaan masih belum menerima sebarang peruntukkan.

“Saya tidak berpuas hati mengenai permohonan rumah ini memandangkan saya sudah lama memohon bantuan itu namun, orang lain yang baru memohon sudah memperolehnya.

“Saya hairan pelbagai alasan yang diberikan pihak berkenaan kepada saya setiap kali ditanya mengenai permohonan itu sedangkan sudah banyak gambar rumah ini yang diambil pelbagai pihak,” katanya.

Norma berkata, permohonan terbaru dibuat pada 17 April lalu melalui permohonan kepada pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tiang untuk dipanjangkan kepada pihak berkenaan kerana dia tidak tahu cara untuk memohon rumah.

Sementara itu, Norma yang baru menjalani pembedahan payu daranya terpaksa bekerja sebagai pembantu sebuah kedai runcit memandangkan suaminya tidak mempunyai pekerjaan tetap untuk menampung perbelanjaan keluarga.

“Suami saya kadangkala melakukan kerja memotong rumput, meracun ketika musim padi dan turun ke sungai menangkap ikan serta pendapatan yang diperoleh hanya RM20 sehari.

“Gaji saya di kedai runcit itu hanya RM2.50 sejam namun, saya tidak mampu bekerja dalam tempoh masa yang lama kerana baru menjalani pembedahan,” katanya.

Walaupun mereka mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah itu RM170 sebulan namun, tidak cukup untuk menampung perbelanjaan persekolahan tiga anaknya.

Berikutan itu, mereka sekeluarga mohon supaya pihak berkenaan segera meluluskan permohonan rumah itu.

No comments:

Post a Comment