Friday, August 5, 2011

Kedah komited jadi ‘Belanda Timur’

ALOR SETAR - Selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Kedah sebagai Belanda Timur, sebanyak RM13.05 juta diperuntukkan untuk membangunkan projek pertanian sepanjang tahun ini, berbanding tahun sebelumnya, RM12.5 juta.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Ir Amiruddin Hamzah berkata, Kerajaan Negeri melalui beberapa anak syarikatnya, antaranya Kedah Agro bawah Perbadanan Menteri Besar (MBI) dan Syarikat Kumpulan Ladang Berhad, melalui Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK) giat membangunkan projek pembangunan pertanian dan pengeluaran makanan.

“Setakat enam bulan pertama tahun ini, peruntukan bawah Jabatan Pertanian Negeri Kedah itu telah dibelanjakan sekitar RM1.5 juta berbanding peruntukan RM13.05 juta. Perbelanjaan akan menjadi lebih rancak apabila kerja-kerja pembangunan infrastruktur projek dilaksanakan bermula pertengahan tahun ini, diikuti kerja penanaman sekitar Ogos hingga September,” katanya.

Menurutnya, Kedah Agro memperuntukkan RM500,000 untuk projek ladang nanas di Laka Temin, manakala ladang nanas di Bukit Tangga sebanyak RM450,000, selain projek pembangunan tanah terbiar di Teluk Sera RM121,000.

“Mada juga memberi tumpuan pada projek berkaitan sektor pertanian. Pada 2010, bagi melaksanakan projek pertanian, Mada memperoleh peruntukan bawah Projek Rancangan Malaysia ke-9 (RMK-9) dan Program Dasar Jaminan Bekalan Makanan Negara (DJBMN),” katanya.

Amiruddin berkata, jumlah peruntukan yang diperoleh bagi kawasan Muda di negeri ini adalah RM68.196 juta, iaitu RM11.562 juta bagi projek bawah RMK-9 manakala RM56.634 juta bawah program DJBMN.

“Mada tidak memperoleh peruntukan bawah RMK-10 bagi Rolling Plan Pertama bagi 2011 hingga 2012,” katanya.

Antara projek pertanian yang dilaksanakan oleh Mada di negeri ini pada tahun lalu ialah, projek pembangunan pengurusan estet padi (RM3.128j), pembangunan rangkaian jalan ladang (RM3.2j), pembangunan sistem tersier (RM1.216j), projek pengeluaran benih padi berkualiti (RM1.873j), dan projek pemprosesan berasaskan buah-buahan (RM700,000).

Projek bawah DJBMN pula termasuk peningkatan kesuburan tanah (RM32.453j), kawalan makhluk perosak (RM16.019j) dan penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran (RM5.810j).

“Semua projek pertanian bawah Mada memberi impak terus kepada petani dalam kawasan Muda. Bagaimana pun terdapat beberapa projek bukan pertanian seperti pembangunan rangkaian jalan ladang dan penyelenggaraan infrastruktur pengairan dan saliran, turut memberi impak secara tidak langsung kepada pembangunan pertanian,” katanya.

Amiruddin berkata, Mada turut melaksanakan Program Latihan Kemahiran Golongan Sasar dengan menganjurkan kursus dan latihan berteraskan sektor pertanian bagi meningkatkan tahap kemahiran golongan sasar.

“Ada beberapa syarikat bawah Kerajaan Negeri terlibat dalam pembangunan tanaman makanan. Jabatan Pertanian Negeri Kedah sendiri sebagai antara agensi pelaksana juga menerima peruntukan negeri bagi tujuan itu,” katanya.

1 comment: