Wednesday, January 25, 2012

JIKA POPULAR, KENAPA TAKUT BERDEBAT?

http://1.bp.blogspot.com/-GzXu9Rx3Uls/TqI8uSQqnkI/AAAAAAAAGd0/lvOGgYEkHkw/s1600/2_1.jpg

02 Rabi'u al-Awwal 1433 bersamaan 26 Januari 2012

Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan cadangan diadakan perdebatan antara Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dicadangkan oleh banyak pihak. Ini menunjukkan banyak pihak sedang ternanti-nanti kedua-dua pemimpin utama negara itu bersemuka di atas satu pentas bagi melihat hujah yang dikemukakan oleh pemimpin tersebut.

Bagi DPPM, debat adalah suatu dimensi politik baru yang perlu diterokai oleh kedua-dua pemimpin negara ini. Jika selama ini, rakyat terbelenggu dengan hanya maklumat dari sebelah pihak sahaja. Dengan cengkaman media yang berat sebelah, ditambah pula dengan propaganda yang memburukkan imej pemimpin pembangkang di negara ini sejak sekian lama, wacana debat adalah perlu bagi menilai pandangan kedua-dua tokoh terbabit.

Dengan suasana sudah berubah, rakyat sudah semakin terbuka dan bijak dalam menilai sesuatu maklumat yang diterima. Rakyat memerlukan suatu saluran bagi mendapatkan suatu informasi berharga bagi menajamkan pemerhatian mereka terhadap politik negara dan debat terbuka adalah langkah terbaik untuk semua.

Tambahan pula, populariti Datuk Seri Najib Tun Razak dikatakan semakin baik dan mengalahkan populairiti Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti yang dinyatakan oleh Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek. Dengan populariti yang baik dan meningkat naik, tidak wajar Datuk Seri Najib melepaskan peluang ini untuk menerima pelawaan debat yang sangat ditunggu-tunggu oleh semua rakyat Malaysia. Mungkin debat yang bakal dianjurkan ini pula bakal menjadi suatu peristiwa bersejarah kerana pemimpin negara berjiwa besar sanggup duduk semeja dan berhujah dengan Ketua Pembangkang.

Oleh itu, Datuk Seri Najib tidak perlu risau dan gentar bagi menghadapi Datuk Seri Anwar Ibrahim di atas pentas perdebatan. Yang diadili bukan siapa menang atau kalah, yang penting siapa yang benar dan siapa yang salah. Jika Datuk Seri Najib di pihak yang benar, apa yang perlu ditakutkan?

Apa yang DPPM harapkan, wacana politik yang bakal dianjurkan nanti perlu dibuat secara terbuka dan jika dapat, disiarkan secara langsung supaya setiap rakyat boleh melihat hujah perdebatan tersebut. Perdebatan ini pastinya penting sebagai usaha bagi membangunkan negara dan masa depan rakyat di negara ini.

Disediakan oleh;


RIDUAN MOHD NOR
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

No comments:

Post a Comment