Tuesday, January 24, 2012

Betoika nie..??? Air tercemar sebab tebang balak tak terkawal... Azizan hang pie cek sat..!!!

Terpaksa guna air tercemar
Wartawan Sinar Harian
January 24, 2012
air-tercemar
BALING - Lebih 2,000 penduduk di Mukim Siong kecewa berikutan terpaksa berdepan dengan bekalan air yang kotor dan tercemar sejak beberapa bulan lalu sehingga menjejaskan kesihatan mereka.
Bekalan air masyarakat (air bukit) dalam keadaan kotor dan berkelodak terutama ketika waktu hujan sehingga menimbulkan perasaan kurang senang penduduk sekitar yang hanya bergantung kepada bekalan berkenaan.
Bekas Pengerusi Bekalan Air masyarakat Kampung, Weng Ibrahim Ahmad, 63, mendakwa masalah itu berlaku berikutan kesan pembalakan yang tidak terkawal sehingga memberi kesan kepada kualiti air sungai.
“Sebelum ini air jernih. Bila ada pembalakan, air semakin keruh dan berkelodak. Kami tidak menyalahkan mereka yang mengambil balak, itu hak mereka. Tetapi kami kecewa kerana masalah ini tidak dipandang serius oleh pihak sepatutnya.
“Walaupun ramai yang sedia maklum mengenai masalah ini, tiada tindakan sewajarnya yang diambil untuk membedung masalah ini dari terus menghantui penduduk. Sampai bila kami perlu berdepan dengan masalah air kotor ini,” katanya.
Menurutnya, walaupun keadaan air tidak bersih, mereka terpaksa menggunakannya termasuklah untuk bekalan minuman berikutan tidak mempunyai pilihan lain.
“Kualiti air memang jauh berbeza selepas wujudnya aktiviti pembalakan yang tidak terkawal. Penduduk tiada hak untuk menghalang mereka menghentikan penebangan balak. Mereka ada hak untuk mengutip hasil, tetapi tidak seharusnya memandang remeh dengan masalah yang dihadapi penduduk.
“Kami tidak dapat bertahan lagi kerana ia melibatkan bekalan air penduduk, sampai bila kami harus berhadapan dengan masalah ini,” katanya.
Weng Ibrahim berkata, sebelum berbangga dengan hasil balak, pihak berkenaan seharusnya memikirkan soal rakyat yang merana akibat kesan pembalakan melampau.
“Saya menyeru kepada pihak sepatutnya datang ke sini dan lihat sendiri masalah bekalan air kotor ini dan menilai sendiri apakah sebenarnya yang berlaku kepada penduduk di daerah ini. Saya percaya, bukan di kampung ini sahaja, penduduk kampung lain turut berhadapan masalah sama.
“Kebanyakan penduduk kecewa dengan keadaan ini. Sehubungan itu, kami (penduduk) memohon agar masalah ini mendapat perhatian pihak berwajib. Hasil balak yang melonjak tidak membawa makna sekiranya rakyat yang menanggung derita,” katanya.

No comments:

Post a Comment