Sunday, January 29, 2012

ALOR SETAR - "Bacul kalau saya tinggalkan pasukan Kedah sekarang."



Demikian kata-kata pengurus pasukan Kenari, Datuk Khazali Din, yang bertegas tidak akan meninggalkan skuad Hijau Kuning itu selagi prestasi mereka gagal mencapai tahap terbaik.

Walaupun dicemuh kira-kira 1,000 penyokong yang berhimpun di luar Stadium Darul Aman kelmarin selepas Kedah tewas 1-3 kepada Johor FC dalam aksi Liga Super, namun Khazali tidak sesekali berniat untuk berundur.

"Saya tak rasa apa-apa bila dikutuk oleh penyokong dan ini langsung tidak melemahkan semangat saya.
"Bacul kalau saya tinggalkan Kedah ketika pasukan lemah, kalau Kedah sudah kembali ke prestasi terbaik saya tak kisah kalau nak tinggalkan skuad," ujarnya di Stadium Darul Aman kelmarin.

Kedah langsung gagal meraih sebarang kemenangan dalam tiga perlawanan di tempat sendiri, musim ini.
Dalam aksi perlawanan, bekas gergasi bola sepak tempatan itu sekadar seri tanpa jaringan dengan Lions XII, sebelum tumpas 0-3 kepada Kelantan dan terbaru, diaibkan 1-3 oleh Johor FC.

Pada perlawanan kelmarin, tiga gol pasukan pelawat dihasilkan oleh Azi Shahril Azmi, Riduwan Ma'on serta Muhd. Khaironizam Shahbudin.

Gol saguhati tuan rumah, yang juga gol sulung mereka musim ini dijaringkan oleh Mohd. Khyril Muhymeen Zamri.
Menurut Khazali, Kedah perlu melakukan satu reformasi untuk mengembalikan kehebatan mereka dan meningkatkan prestasi pasukan.

"Kita kena buat reformasi secepat mungkin dan tidak boleh melengah-lengahkan masa lagi.
"Dulu kita salahkan penjaga gol bila kalah, tetapi malam ini semua pemain salah," ujarnya.
Tambahnya lagi, kekalahan kelmarin juga amat menyedihkan kerana pemain langsung tidak mempamerkan permainan bermaya.

"Langsung tidak ada serangan berbahaya daripada pasukan kedah dalam perlawanan hari ini.
"Moral pemain juga dalam keadaan yang tidak stabil kerana mereka sedang tertekan mengejar kemenangan," jelasnya.

Sementara itu, disebabkan kegagalan Kedah meraih sebarang kemenangan setelah mengharungi lima perlawanan memaksa jurulatih sementara skuad Hijau Kuning, Mohd. Nidzam Adzha Yusof, meletakkan jawatan berkuat kuasa serta merta.

Keputusan itu dibuat selepas skuad Kenari mengalami kekalahan ketiga musim ini.
Nidzam yang kecewa dengan prestasi anak buahnya sepanjang lima saingan itu menyifatkan aksi semalam sebagai persembahan terburuk.

''Saya melepaskan jawatan sebagai jurulatih skuad utama Kedah dan menyerahkannya kepada Radzi (Mat Din)," katanya.

sumber: Utusan online

1 comment:

  1. askm semua kawan2...sudah la, tak takut tuhan ke ,askm semua sekali lagi...dah la kalah, team bola ni pakai lak seluar pendek. satu dunia jantan pompuan nampak paha org dok main bola ...dosa woi.


    dunia ni semua dah tau hanya sementara akhirat kekal abadi, hukum tetap hukum le, azizan dgn amirudin ir dan fakrurazi dll sebenarnya dok TANGGUNG DOSA dan satu kabinet kedah yg kononnya kepimpinan ulama , tanggung dosa, ni nasihat harap faham, wssslm.

    ReplyDelete