Sunday, January 29, 2012

Bazar Sinar malam di Pekan Rabu mula 5 Februari

ALOR SETAR - Kerajaan Negeri di bawah pembangunan usahawan dengan kerjasama Pekan Rabu akan mengadakan Bazar Sinar Malam di Pekan Rabu bermula 5 Februari 2012.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Penerangan dan Pembangunan Usahawan, YB. Abdul Ghani Ahmad, bazar tersebut akan didirikan di sekeliling Pekan Rabu bermula dari Sungai Raja hingga bangunan Arked Empayar yang dianggarkan kira-kira 200 meter.

Beliau memberitahu, jika dilihat sekarang Pekan Rabu hanya beroperasi sehingga 7 malam sahaja, jadi ada setengah pelancong tidak berkesempatan membeli barang pada waktu tersebut disebabkan urusan tertentu.

“Dari situlah kita mahu mewujudkan Bazar Sinar Malam untuk memberi peluang kepada pelancong untuk menjalankan aktiviti membeli belah sehingga lewat malam di Pekan Rabu,” ujarnya.

Abdul Ghani berkata, pihaknya menyediakan sebanyak 100 tapak perniagaan untuk bazar tersebut.

Beliau menjelaskan, pihaknya menyasarkan 1,000 pengunjung setiap malam datang ke bazar yang turut mengadakan pelbagai aktiviti berjadual itu.

“Selain itu, bazar yang beroperasi pada hari Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad itu turut memberi peluang kepada usahawan muda serta usahawan yang belum memiliki lesen perniagaan untuk menjalankan perniagaan dengan konsep santai,” katanya.

Tambahnya, mereka yang berminat hanya perlu ke Koperasi Pekan Rabu mengambil borang dan membayar deposit RM50 dan RM5 untuk kos penyelenggaraan pada hari beroperasi.

“Sekiranya Bazar Sinar Malam itu mendapat sambutan, ia mungkin akan dibuka di beberapa kawasan lain yang dilihat berpotensi untuk mengadakan bazar sama,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment