PENGAMBIALIHAN QSR DAN KFCH OLEH JCORP PENGKHIANATAN UMNO TERHADAP AGENDA BUMIPUTERA
Pada 21 Disember, 2011, Lembaga Pengarah KFC Holdings (M) Bhd. dan QSR Brands Bhd. telah bersetuju menerima tawaran yang dibuat oleh Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) untuk mengambilalih keseluruhan perniagaan KFC dan QSR termasuk semua aset dan liabiliti. Kos pengambilaihan ini adalah RM5.2 bilion dengan pertimbangan RM4 bagi saham KFCH dan RM6.80 bagi saham QSR.
MESB adalah syarikat tujuan khas (special purpose vehicle) yang 51% saham dimiliki oleh Johor Corporation (JCorp) dan 49% dimiliki oleh CVC Capital Partners, sebuah firma ekuiti persendirian dan perunding pelaburan antarabangsa. Setelah proses pengambilalihan, MESB mengeluarkan KFCH dan QSR dari senarai Bursa Malaysia dan akan diubah status menjadi "syarikat persendirian".
JCorp memiliki 53% saham di dalam Kulim (M) Bhd. manakala Kulim Bhd memiliki 57.5% saham di dalam QSR Brands Bhd. QSR pula memiliki 50.6% saham di dalam KFCH. QSR melalui KFCH memiliki dan mengendalikan 640 Restoran KFC di Malaysia, Singapura, Brunei, Cambodia dan India. KFCH juga menguruskan 29 Restoran RasaMas di Malaysia dan Brunei disamping 55 Kedai Ayamas di Malaysia.
Implikasi pengambilalihan KFCH dan QSR oleh JCorp melalui Massive Equity Sdn. Bhd. (MESB) adalah seperti berikut;
1) Proses pengambilalihan ini akan menyebabkan 49% saham dalam KFCH dan QSR akan terlepas kepada warga asing/bukan bumiputera melalui pemilikan 49% saham oleh CVC Capital Partners dalam MESB. CVC Capital Partners adalah firma ekuiti persendirian dan perunding pelaburan asing yang ditubuhkan di London pada tahun 1981 sebagai firma modal teroka kepada Citigroup (Citigroup Venture Capital-CVC) yang dipercayai mendapat sokongan kuat dari Yahudi. Pada tahun 1993 CVC telah diambilalih oleh pihak pengurusannya daripada Citigroup dan ditukar nama kepada CVC Capital Partners.
2) Persoalan yang belum terjawab adalah kenapakah pengambilalihan KFCH dan QSR oleh JCorp perlu melalui pihak ketiga iaitu MESB yang 49% sahamnya dimiliki oleh CVC Capital Partners. Kenapakah JCorp tidak bekerjasama dengan banyak lagi agensi bumiputera yang berkemampuan dari segi kewangan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), FELDA, Lembaga Tabung Haji (LTH), UDA, MARA atau syarikat koperat berkepentingan bumiputera. Cara begini akan memastikan saham KFCH dan QSR tidak akan terlepas kepada warga asing/bukan bumiputera.
3) Kenyataan JCorp yang dikeluarkan pada 19hb. Disember, 2011 dengan menyatakan pengambialihan tersebut akan menjadikan JCorp mempunyai wang secukupnya bukan sahaja untuk menjelaskan hutang tetapi juga menjana pulangan secara langsung membayangkan bahawa kemungkinan saham 51% yang dimiliki oleh JCorp dalam KFCH dan QSR akan dijual kepada pihak lain.
Kemungkinan ini juga berdasarkan kepada keenganan pengurusan JCorp sekarang ini untuk mengikuti perancangan asal JCorp semasa dibawah bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Tan Sri Dato' Ali Hashim iaitu untuk menjual ladang kelapa sawit di Papua New Guinea yang bernilai RM6 bilion yang dimiliki melalui anak syarikatnya Kulim (M) Bhd. bagi membayar hutang JCorp.
Apabila tidak menjual ladang kelapa sawit di Papua New Guinea, maka JCorp terpaksa menjual aset-asetnya yang lain seperti Menara Pejabat Kotaraya dengan 100 tempat letak kereta beharga RM27 juta kepada Iskandar Investment Berhad (IIB), 13,687 hektar ladang kelapa sawit kepada Kulim (M) Bhd. pada harga RM700 juta.
JCorp juga bercadang untuk menerbitkan bon baru sebanyak RM2.5 bilion bagi menyediakan sejumlah RM3.58 bilion bagi menebus bayar bon yang akan matang pada 31 Julai, 2012 yang telah diterbitan pada tahun 2002. Jika mengharapkan dividen RM100 juta setahun dari pelaburan JCorp dalam KFCH dan QSR ianya akan memakan masa yang lama bagi membayar balik tambahan hutang RM2.652 bilion (51% dari kos keseluruhan RM5.2 bilion) yang perlu ditanggung oleh JCorp dalam proses pengambilalihan ini.
Keadaan ini akan dijadikan alasan kukuh oleh pengurusan JCorp sekarang ini untuk menjual sebahagian daripada 51% saham JCorp dalam KFCH dan QSR. Jika ini berlaku maka insiden "terlepasnya Pulau Batu Puteh" akan berulang kembali kerana KFCH dan QSE boleh dikatakan lubuk emas dari aspek pelaburan dengan jualan kasar setahun melebihi RM4 bilion.
Itulah juga rahsianya kenapa MESB mengeluarkan KFCH dan QSR dari senarai Bursa Malaysia untuk menjadi status "syarikat persendirian" supaya pindahmilik saham boleh dilakukan dengan lebih mudah tanpa pengetahuan orangramai dan juga terlepas daripada syarat-syarat dan peraturan yang ketat yang dikenakan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Akhirnya majoriti saham KFCH dan QSR akan dikuasai oleh individu dan syarikat asing serta penguasaan bumiputera ke atas KFCH dan QSR akan terlepas.
4) Majoriti pelanggan rangkaian resoran KFC, Ayamas dan Rasamas adalah orang-orang Melayu Islam. Apabila majoriti saham KFCH dan QSR terkepas kepada warga asing dan bukan bumiputera maka isu halal ayam KFC akan timbul semula sebagaimana pernah timbul satu masa dahulu.
Bagaimana nasib ratusan kontraktor bumiputera yang selama ini dibimbing oleh JCorp sebagai pembekal kepada rangkaian restoran KFC, Ayamas dan Rasamas? Bagaimana nasib penternak-penternak ayam bumiputera yang dibimbing selama ini bagi membekalkan ayam kepada rangkaian restoran KFC, Ayamas dan Rasamas? Bagaimanakah penguasaan 30% ekuiti ekonomi oleh Bumiputera jika agenda sebegini masih ada pada pimpinan UMNO/BN?
5) Apakah peranan YAB Dato' Abdul Ghani Othman, Menteri Besar Johor yang juga merupakan Pengerusi JCorp? Adalah mustahil beliau tidak mengetahui agenda yang tersirat disebalik yang tersurat.
Apakah ada tangan "superman" yang dikatakan oleh Tan Sri Dato' Ali Hashim yang menyebabkan Dato' Abdul Ghani Othman terpaksa berdiam diri dan hanya bersetuju dengan apa yang telah dinasihatkan oleh "penasihat" atau mungkinkah Dato' Abdul Ghani telah dijanjikan dengan habuan politik untuk terus menerajui Negeri Johor sebagai Menteri Besar bagi tempoh sepenggal lagi.
Persoalannya siapakah pemegang watak "superman" dan "penasihat" dalam filem ini. Kalau mengikut teori filem 3 Abdul, yang pasti Tuan Penasihatnya adalah Kassim Pantalan yang terkenal dengan panggilan "20 percent". Setiap nasihat yang diberi mesti ada bahagian untuknya.
Dalam proses pengambilalihan, siapakah agaknya Kassim Pantalan yang sentiasa beroleh keuntungan. Sadiq Sigaraga atau 'supermannya' dipercayai adalah orang atasan UMNO/BN, manakala Abdul Wahab adalah Pengerusi JCorp iaitu YAB Menteri Besar Johor dan Abdul Wahib adalah Presiden atau Ketua Eksekutif JCorp sekarang iaitu Kamaruzzaman Abu Kasim.
6) Semasa JCorp di bawah pentadbiran Tan Sri Dato' Ali Hashim, beliau bersungguh-sungguh memastikan bahawa JCorp dan anak-anak syarikatnya tidak dipengaruhi oleh orang politik khususnya di dalam membuat keputusan pelaburannya. Pada masa beliau hanya seorang sahaja ahli politik yang terlibat iaitu YAB Dato' Abdul Ghani Othman sebagai pengerusi JCorp.
Bagi menjayakan filem ala 3 Abdul ini, UMNO telah memasukkan beberapa kuda tunggangannya dalam Kulim (M) Bhd.
Sebagai pengarah iaitu Datuk Ahmad Zaki Zahid (44 tahun, berasal dari Kedah, Ketua Pemuda Putrajaya & EXCO Pemuda UMNO Malaysia), Natasha bte Kamaluddin (39 tahun, Pengarah Ethos & Company), Wan Mohd Firdaus Wan Ahmad Fuaad (28 tahun, berasal dari Kelantan, bekas Pegawai Khas kepada Menteri Besar Johor) dan Edward Leung Kok Keung (44 tahun, dipercayai wakil Dato' Lim Kang Hoo, pemilik Ekovest dan Danga Bay).
Kesemua mereka kecuali Natasha adalah juga dilantik sebagai Lembaga Pengarah Damansara Realty Bhd. anak syarikat hartanah Kulim (M) Bhd. Akhirnya, JCorp hanyalah dijadikan alat bagi pihak-pihak tertentu untuk memuaskan nafsu politik dan nafsu business mereka.
Selamatkan Johor
Sudah sampai masanya untuk rakyat Negeri Johor untuk sedar dari buaian mimpi rekaan UMNO/BN. Jangan ditunding jari kepada DAP, PKR ataupun PAS yang menyebabkan terhakisnya agenda Bumiputera! Jangan ditunding jari kepada golongan bukan Bumiputera sebagi penyebab gagalnya golongan Bumiputera menguasai 30% ekuiti dalam ekonomi negara!
Selagi negara mempunyai pemimpin yang mempunyai agenda tersendiri untuk memuaskan nafsu politiknya maka selagi itulah negara dan khazanah negara berada dalam keadaan bahaya. Bukan sesiapa yang menjadi pengkhianat kepada agenda Melayu dan Bumiputera tatapi realitinya membuktikan UMNOlah sebenarnya yang menghakis agenda Bumiputera dahulu, kini dan selamanya.
Rakyat Negeri Johor hanya mempunyai satu pilihan iaitu memenangkan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihanraya Umum ke-13 bagi melahirkan Abdul Wahub yang akan menyelamatkan aset atau harta milik khazanah negeri dan rakyat Negeri Johor daripada terus digadaikan oleh pimpinan UMNO/BN bernafsu seperti Sadiq Sigaraga.
"MEMBANGUN NEGARA BERKEBAJIKAN"
Sr. Hj Dzulkefly Hj Ahmad
Timbalan Pesuruhjaya PAS Johor
No comments:
Post a Comment