Tuesday, January 24, 2012

Macam mana dia jadi PM?

– Oleh Asi Dani@Cerpen

Mata aku semakin kuyu, sudah menjadi kelaziman waktu tengah hari di hujung minggu, aku cukup mudah mengantuk. Biasanya sebelah pagi, masa aku akan dihabiskan dengan mencuci kereta, laman rumah dan tandas. Menjelang zohor, beginilah keadaannya.

Terdengar bunyi pintu pagar besi rumah dibuka, aku tak menjengah kerana sudah mengagak Sofea akan pulang dalam waktu-waktu begini. Mata yang kuyu tadi bertukar cerah.

“Salam baba,” sapa Sofea sambil membuka pintu.

“Awal Adik balik hari ni,” aku menyapa anak gadis ku tanpa menjawab salamnya.

Anak perempuan kesayangan ku yang sudah berumur empat belas tahun ini cukup lincah. Hari ini dia ke sekolah untuk bersukan, sebelah petang dia akan bersama ibunya akan ke taman untuk bersenam. Begitulah rutinnya setiap hujung minggu.

Dia menghulurkan tangan dan mencium pipi aku. Terus melabuhkan punggungnya di tepi sofa tempat aku berbaring.

“Baba tengok cerita apa? Muka macam tak nak tidur aje,” dia bertanya mesra.

“Tengok berita,” malas sekali jawapan aku.

“Mama mana?” dia menyoal sambil matanya menyorot tv buruk yang sedang terpasang.

“Di atas agaknya. Pergilah naik, tukar baju lepas tu turun teman Baba makan,” jawab ku tanpa memandang mukanya.
Najib tu Perdana Menteri kita kan…

Dia diam, matanya terus terpaku di depan TV. Aku juga ralit dengan berita yang sedang disiarkan. Tiba-tiba, Sofea bersuara, “Najib tu Perdana Menteri kita kan, Baba?”

“Yelah, tak kan Adik tak tahu,” jawab aku ringkas.

Dia cukup suka bertanya ketika menonton apa jua rancangan TV yang disiarkan. Kadangkala aku jadi letih dengan pelbagai soalan yang ditanyakan.

Pernah juga aku mengeluh pada ibunya tentang hal ini, tetapi aku sedar bahawa inilah proses dia membesar, lebih baik banyak bertanya tanda akalnya sentiasa aktif, daripada diam tanpa apa-apa soalan. Itu akan lebih merisaukan aku tetapi jika dia banyak bertanya tanda akal dan fizikalnya membesar dengan seiring.

Kali ini soalanya tentang berita yang sedang dipaparkan tentang lawatan Perdana Menteri Najib Razak ke Johor Bahru.

“Tapi Baba, macam mana dia boleh jadi Perdana Menteri?” soalnya kembali.

“Dia jadi sebab dia dipilih la,” ringkas aku menjawabnya.

“Siapa yang pilih dia?” dia bertanya lagi.

“PM yang sebelumnyalah, namanya Pak Lah.”

“Oh… jadi, kalau kita nak jadi PM kena dipilih oleh PM juga?” soalannya membuatkan aku bingkas duduk, terasa rimas.

“Kalau seseorang tu nak jadi PM, dia kenalah masuk politik, jadi ahli parti politik dan lepas tu kena bertanding dalam parti dia untuk jadi pemimpin, dan kemudian bertanding pilihan raya. Kalau parti dia menang besar, baru dia boleh jadi PM. Faham?” kata aku dengan mata memandang ke mukanya.

“Ok, ” pendek jawab Sofea sambil mencebik bibir, tanda tak senang dengan jawapan aku.

Anak gadis ku ini cukup sensitif. Kalau tak jawab, dia merajuk, kalau jawab dengan nada yang lain sedikit pun dia akan merajuk juga. Memang susah nak melayan anak perempuan yang satu ini.

“Tapi tadi Baba kata nak jadi PM kena masuk pilihan raya, orang ramai pilih. Tapi PM Najib tu jadi PM sebab Baba kata Pak Lah yang pilih, macam mana tu Baba? Tak fahamlah,” cukup panjang soalannya.

Aku membetulkan punggung di kerusi. Mata yang kuyu tadi bertukar jingga.

“Ya, betul. Nak jadi PM kena bertanding pilihan raya, Najib tu pun memang menang pilihan raya. Jadi dia jadilah PM. Faham tak, sayang?” jawab aku sambil tersenyum memandang wajahnya.

“Habis tu, Baba kata Pak Lah pilih dia?” Sofea kembali menyoal, entah dia tahu siapa itu Pak Laha atau tidak, dia nampaknya lebih ingin tahu cara bagaimana sesuatu itu boleh berlaku.

“Yang itu memanglah. Pak Lah kan dah berhenti jadi PM, jadi Najiblah gantikan dia,” jawab aku dengan harapan dia akan berhenti menyoal.

Jadi bukan orang ramai yang pilih dia jadi PM…

“Oh, maknanya, bukan orang ramai yang pilih dia jadi PM kan?” sambungnya, kali ini dia sudah duduk bersebelahan dengan aku.

Memang Sofea ini manja, dia tahu dengan soalannya buat aku rimas, jadi bila sudah banyak menyoal, dia akan duduk dekat-dekat dengan aku sambil bermanja-manja agar semua jawapannya aku jawab. Begitulah cara dia memujuk, aku faham benar dengan perangainya itu.

“Ya, kita tak pilih dia, tapi Pak lah yang pilih,” jawab aku ringkas.

“Oh, kalau macam tu dia bukan PM pilihan kita semua la, kan Baba?” Sofea bingkas bangun dan berjalan naik ke rumah atas sambil meneriak nama ibunya tanpa menunggu jawapan aku.

“Ya,” sepatah saja jawapan aku. Mata terjegil memandang dia berlalu.

Aku rasa cemburu dengannya. Dalam masa beberapa minit sahaja, dia rasakan dia sudah faham politik negara. Sedangkan aku yang bertahun-tahun berbahas, berdebat dan berborak di kedai kopi pejabat dengan kawan-kawan masih tidak faham dengan intrik dan hipokrasi politik semasa. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment