Oleh Lanh
PEMIMPIN Umno-BN, khasnya PM Najib Razak begitu kemaruk merampas Selangor sehinggakan pada satu majlis bersama rakyat di negeri terkaya itu, Najib antara lain berkata: "Apabila BN memerintah semua masalah selesai." Beliau berlagak bagaikan Raja Midas dalam cerita dongeng kanak-kanak; apa saja yang disentuhnya akan menjadi emas.
Apabila Umno-BN kembali memerintah Selangor, apa saja disentuh pemimpinnya akan menjadi - masalah peniaga di Kompleks PKNS Shah Alam akan selesai, masalah sampah akan berakhir, pendeknya semua masalah akan selesai. Demikianlah bagaikan Raja Midas, Najib Razak dan pemimpin Umno-BN berlagak.Tetapi masalahnya di sini, mengapa menanam tebu di bibir mahu selesai semua masalah di Selangor sedangkan masalah-masalah yang melanda negeri-negeri ditadbir BN malah di peringkat kerajaan Pusat gagal diselesaikan? Ambil contoh mudah; satu isu yang membabitkan kepentingan rakyat bawahan iaitu pengangkutan awam.
Apa sudah jadi dengan pengangkutan awam negara yang baru-baru ini memerlukan suntikan RM400 juta apabila pengusaha bas mengugut memberhentikan perkhidmatan mereka termasuk di negeri-negeri dikuasai BN seperti Negeri Sembilan, Pahang dan Melaka? Ramai pengguna tersadai, jadi selesaikan masalah ini dulu sebelum menguar-uarkan kata-kata bagaikan perbuatan Raja Midas itu. Kanak-kanak pun tahu kisah Raja Midas ini hanya dongeng saja; jadi adakah pemimpin Umno-BN mahu melagukan dongeng yang sama di Selangor atau di peringkat Pusat?
Di peringkat Pusat, lihatlah isu Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) terus menjadi masalah, sekali gus mencetuskan perasaan marah sesetengah kakitangan awam sehingga terpaksa ditangguhkan pelaksanaannya. Kenapa tidak menjadi Raja Midas, sentuh saja masalah ini, semuanya akan selesai? Demikianlah betapa tidak selari antara janji dan cakap-cakap pemimpin berlidah bercabang dengan hakikat sesuatu perkara itu. Walaupun demikian, perlu disedar bahawa pemimpin satu hal, rakyat pula satu hal juga. Persoalannya jika pemimpin bercakap 'merapu', mengapa rakyat beriya-iya mahu menyakininya? Fikir dan fikirlah akan logik sesuatu perkara itu.
Bagaimanapun dalam permasalahan ini, kita tidak tidak menyalahkan rakyat 100 peratus kerana orang awam sekarang ini diasak oleh media massa tali barut Umno-BN yang berterusan mempropagandakan apa saja yang dianggap kebaikan Umno-BN sehingga perkara tidak masuk akal seperti "BN memerintah semua masalah selesai", sebaliknya menghujani pihak lawan dengan peluru berpandu yang juga kadang-kadang tidak masuk akal seperti "DAP yang cauvanis perkauman akan terajui negara" sedangkan parti itu hanya bertanding kira-kira 40 daripada 222 kerusi Parlimen sekali gus tidak memungkinkan hal itu berlaku.
Berhubung perkara ini, kita percaya adalah penting untuk rakyat didedahkan ilmu dan informasi agar mereka tidak diperbodohkan pihak yang berlagak bagaikan Raja Midas itu. Kita bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan dengan kemajuan teknologi informasi dan komunikasi (ICT) sekarang ini, media massa pengampu boleh dikesampingkan peranannya, sebaliknya media baru mengambil tempatnya. Bagi kita, kejayaan kebangkitan rakyat di negara-negara Arab seperti Mesir, Tunisia dan Libya yang turut disemarakkan oleh media baru sewajarnya menjadi panduan dalam kita menangkis propaganda murahan pihak terbabit.
Tentunya usaha ini memerlukan kerja keras kerana tidak semua rakyat terutama mereka yang tinggal nun jauh di kawasan pedalaman termasuk tanah rancangan Felda dapat mengakses terus media baru ini. Namun jika orang China pada zaman lampau dapat membangkitkan semangat rakyat melalui nota-nota yang dimasukkan dalam kuih bakul atau bulan yang kemudian diseludupkan bagi menjatuhkan maharaja korup, maka sempena perayaan Tahun Baru ini, marilah kita giatkan usaha memperilmu rakyat dengan informasi berguna agar mereka tidak termakan janji tak masuk akal Raja Midas seperti "jika Umno-BN memerintah semua masalah selesai"!
No comments:
Post a Comment