Wednesday, January 25, 2012

Kedah sedia isytihar harta

ROSLINDA HASHIM
January 25, 2012
Phahrolrazi

ALOR SETAR - Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Kedah belum membincangkan isu sama ada wakil rakyat perlu mengisytiharkan aset dan harta milik mereka, namun bersedia berbuat demikian sekiranya diarahkan oleh pimpinan Pusat.

Timbalan Pesuruhjaya I Pas Ke­dah yang juga Exco Kanan Kerajaan Negeri, Datuk Ir Phahrolrazi Zawawi berkata, pihaknya tiada halangan untuk menyenaraikan harta milik setiap wakil rakyatnya, kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Buat masa ini kita belum bin­cang mengenai perkara ini. Jika ianya menjadi arahan Pusat, kita akan lakukan,” katanya.

Menurutnya, pengisytiharan harta oleh Kerajaan PR Pulau Pinang membuktikan keprihatinan kerajaan yang berjiwa rakyat dan telus, ter­masuk kepimpinan Ketua Men­terinya, Lim Guan Eng yang berani mendedahkan aset kesemua wakil rakyatnya kepada umum.

Hasil pengisytiharan itu, Exco Kebajikan, Kesihatan dan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh menjadi Exco paling kaya iaitu memiliki tanah dan rumah di New Zealand bernilai RM1.39 juta, kereta Alphard bernilai RM169,000 dan beberapa unit saham.

Manakala Exco paling tidak berharta ialah Exco Agama, Perda­gangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Abdul Malek Kassim yang hanya mempunyai sebuah ke­reta Proton Tiara bernilai RM36,000 dan Honda CRV 2.0 berharga RM130,000 yang baru dibeli meng­gunakan pinjaman kerajaan negeri.

Sejurus itu, Ketua Hakim Negara, Tan Sri Arifin Zakaria turut membayangkan semua hakim juga akan dikehendaki berbuat demikian.

Baru-baru ini pula, Pengerusi Lem­baga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Puan Sri Zaitun Zawiyah Puteh mencadangkan kera­jaan mewajibkan semua anggota Kabinet dan ahli keluarga terdekat ter­masuk anak dan pasangan masing-masing menyerahkan salinan doku­men pengisytiharan harta kepada SPRM bagi meningkatkan integriti kerajaan.

No comments:

Post a Comment