Friday, January 27, 2012

Hadi lahir hasrat mahu berundur, tidak mahu bertanding dalam PRU-13

January 28, 2012


KUALA LUMPUR, 28 Jan — Disebalik persiapan dan harapan Pakatan Rakyat menawan Putrajaya, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang melahirkan hasrat mahu berundur daripada bertanding pada pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

Kata Hadi, keputusan itu dibuat berdasarkan kepada khidmatnya yang disifatkan sudah terlalu lama menyandang jawatan sebagai Yang Berhormat.

“Sudah lebih 30 tahun saya bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu bermula pada 1982 dan sudah berbelas tahun sebagai Ahli Parlimen,” katanya dipetik Sinar Harian hari ini.

Beliau (gambar) berkata sekiranya tidak bertanding mana-mana kerusi, beliau boleh bergerak ke seluruh negara untuk memantapkan parti.

Bagaimanapun Adun Rhu dan Ahli Parlimen Marang ini menawarkan bertanding satu kerusi sahaja sekiranya dipilih sebagai calon dalam pilihan raya ke-13.

“Terpulang kepada parti untuk menilai kerusi mana yang sesuai untuk saya sama ada Dun atau Parlimen,” katanya menambah menyerahkan kepada parti untuk membuat keputusan.

Jelas Hadi, ramai pemimpin pelapis dalam parti Islam itu yang boleh diberi peluang untuk membawa hala tuju parti di masa depan.

Katanya, penglibatannya dalam arena politik sezaman dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya kebetulan mengikuti parti sejak zaman Tun, zaman generasi kedua (Tun Abdullah Ahmad Badawi) sampailah kini.

“Saya diberi amanah kepimpinan dan kerusi pada usia terlalu muda, saya menjadi naib presiden semasa berusia 30-an, sudah terlalu lama,” katanya.

Hasrat Hadi ini mungkin akan memberikan rasa kurang senang dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP.

Sejak bergabung di bawah Pakatan Rakyat, parti perikatan ini telah mencipta sejarah pada pilihan raya umum 2008 apabila berjaya menawan Kedah, Pulau Pinang dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai PAS sejak 1990.

Selain itu Pakatan Rakyat turut menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN) di Parlimen.

1 comment:

  1. "Hasrat Hadi ini mungkin akan memberikan rasa kurang senang dalam Pakatan Rakyat yang turut dianggotai PKR dan DAP" appa plak, bkn org lg seronok?

    ReplyDelete