Wednesday, January 25, 2012

Darah cina dalam diri saya

NORDEN MOHAMED
January 25, 2012

Saya mula tertanya mengenai identiti diri sebaik sahaja melangkah ke darjah satu. Kawan-kawan sekelas hairan bila saya fasih berbahasa Melayu. Mereka menyangka saya anak Cina kerana raut wajah saya seperti orang Cina. Pulang ke rumah, barulah emak menceritakan sebenarnya nenek saya adalah anak perantau Cina yang dijaga oleh orang Melayu. Setelah berkahwin dengan orang Melayu, tentu sekali zuriatnya mempunyai genetik Cinanya. Ayah saya berwajah kecinaan dan begitu jugalah saya.

Hampir separuh daripada rakan-rakan di sekolah adalah dari kaum Cina. Di sekolah rendah, saya biasa bermain kejar-kejar, teng-teng dan belon acah bersama mereka. Di sekolah menengah, saya bermain badminton, bersukan dan belajar secara study group bersama mereka. Malah, saya punyai lebih ramai rakan-rakan sekolah daripada kaum Cina berbanding bangsa Melayu.

Di zaman remaja, cabaran mula sampai. Ketika kawan-kawan mula ada girlfriend, saya pun teringin. Malangnya, saya tidak dapat seorang pun kerana wajah saya. Bila saya hendak tackle budak Melayu, mereka tidak layan kerana wajah saya. (Berbeza dengan budak-budak Melayu sekarang kerana ada yang suka budak lelaki Chinese, Japanese atau Korean look). Bila saya hendak tackle amoi Cina, senyuman yang dihulur akan berbalas. Namun, cebikan akan saya terima sebaik sahaja saya mula berbicara. Saya yang disangkakan Cina rupa-rupanya orang Melayu!

Setelah tamat belajar, saya pernah menceburi bidang kejurujualan. Persoalan wajah saya timbul lagi. Saya teringat insiden di kawasan Petaling Jaya, tempat saya berjual dari rumah ke rumah. Salam saya di rumah orang Melayu tidak dibalas. Malah ada yang enggan membuka pintu. Sebaliknya, apabila berkunjung ke rumah orang Cina pula, mereka akan menyambut kedatangan saya. Hanya setelah saya mula bertutur baharulah mereka mengubah fikiran. Kata-kata saya hanya disambut dengan gelengan hingga saya terpaksa angkat kaki.

Begitulah. Semakin saya dewasa, wajah kecinaan saya lama-lama bukan lagi sesuatu yang perlu saya ambil pusing lagi. Saya perlu hidup dengan wajah ini. Ia adalah fizikal saya, malah identiti saya. Namun, semangat saya pula adalah semangat orang Melayu. Saya berasa hebat berketurunan darah pahlawan Laksamana Bentan di sebelah ibu. Dan saya berasa bangga mempunyai darah pengembara orang Cina di sebelah bapa.

Di peringkat awal hidup sendiri, saya banyak belajar petua perniagaan daripada orang Cina bila berniaga dengan mereka. Saya teringat Teh Kim Seng, tuan punya sebuah syarikat pengeluar baju di Melaka, tempat saya mendapatkan bekalan pakaian. Dia hanya mengambil 20 sen untung daripada setiap baju yang saya tempah. Tindakannya menghairankan saya kerana sepatutnya dia ambil untung lebih daripada saya.

Suatu hari saya bertanya kepadanya, mengapa dia ambil hanya 20 sen untung daripada setiap helai pakaian yang saya beli. Katanya, ‘Memang betul saya untung 20 sen dari awak. Tapi ini lebih baik daripada duduk tepi jalan dan minta wang 20 sen daripada orang.’ Maknanya, untung yang sedikit lebih mulia daripada meminta-minta.

Ketika berniaga dalam bidang percetakan pula, saya punyai masalah hutang dengan Mr Lam. Saya akan minta dia panjangkan terma kredit apabila saya punyai masalah kutipan. Suatu hari, selepas puas dia bahasakan saya, dia berkata sesuatu yang membuatkan saya terkedu. Katanya, ‘Kalau awak tak ada wang, jangan berniaga. Lebih baik kerja dengan orang. Berniaga hanya untuk orang yang ada wang!’ Meskipun kata-katanya pedas, ia menyedarkan saya supaya mengumpul secukup wang sebelum berniaga.

Seorang kenalan saya, bernama Lim yang berniaga char kue teow, menyimpan RM10 setiap hari di dalam sebuah tin biskut yang buruk. Saya bertanya, mengapa dia berbuat begitu dan tidak menyimpan kesemua wangnya di dalam bank? Katanya, ‘Ini adalah duit mati. Saya tak akan gunakan wang ini sampai bila-bila. Tapi kalau perniagaan saya mati dan terpaksa tutup, wang inilah yang akan saya pakai untuk buka bisnes baru.’

Ya, di sebalik darah Cina yang mengalir di dalam diri, interaksi dan persahabatan, saya menambah pengetahuan tentang minda dan falsafah orang Cina daripada pelbagai buku. Saya kagum dengan daya pengamatan fikiran strategik Sun Tzu, falsafah Confucious, keberanian maharaja Shih Huang Ti serta kekentalan semangat Laksamana Cheng Ho.

Walau apa pun yang mereka lakukan, mereka tetap bertindak dengan tangkas, bukannya cepat. Mereka mahukan kesungguhan, bukan kedegilan. Mereka mencongak, bukan berkira. Dan mereka akhirnya mahukan kemakmuran, bukannya kekayaan. Inilah yang saya lihat apa yang ada di dalam diri mereka. Mudah-mudahan, kita memperoleh banyak ilmu daripada orang Cina.

Selamat Tahun Baru Cina kepada semua kaum Cina dengan harapan memperoleh tenaga yang membawa kemakmuran sempena tahun naga air.

Layari http://www.maafcakap.blogspot.com untuk membaca artikel-artikel sebelum ini.

No comments:

Post a Comment