Persoalan yang patut timbul di minda rakyat Malaysia adalah samada Najib Razak - yang telah mengumumkan azamnya untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mempunyai "sistem demokrasi yang terbaik di dunia" - akan mengaku kalah dengan berhemah seperti Sarkozy jika pengundi memutuskan demikian dalam pilihan raya umum yang akan datang?
Atau, adakah Najib (gambar kiri) akan masih menegakkan pendiriannya dalam ucapan yang amat dikesali dalam Perhimpunan Agung UMNO dua tahun yang lepas apabila beliau berjanji "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa" semasa menekankan kesediaan UMNO untuk mempertahankan kuasa dengan apa cara sekalipun di Putrajaya?
Adalah sangat dikesali apabila Najib mengeluarkan tuduhan melulu bahawa perhimpunan aman "duduk bantah" BERSIH 3.0 adalah satu percubaan pihak pembangkang untuk menggulingkan kerajaan.
Boleh dikatakan Najib kian paranoid sehingga sanggup mempercayai kewujudannya percubaan untuk menggulingkan kerajaan oleh rakyat Malaysia yang hanya mahukan keamanan. Walaupun berpuluh ribu rakyat telah berhimpun, mereka adalah bersepakat dalam menuntut pilihan raya yang bersih, dan hanya "bersenjatakan" garam dan botol air untuk "melindungi diri" masing-masing daripada gas pemedih mata dan semburan air kimia yang digunakan oleh pihak polis.
Najib wajib menjelaskan kepada rakyat Malaysia sekiranya pengundi dalam pilihan raya umum ke-13 memilih untuk mengubah pucuk pimpinan kerajaan persekutuan di Putrajaya - samada beliau berani menerima keputusan pengundi seperti Sarkozy atau adakah beliau akan berdalih kepada ancaman yang dibuatnya di Perhimpunan Agung UMNO yang berbaur "walau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa" untuk mempertahankan kuasanya di Putrajaya dengan apa cara sekalipun?
Bagaimanakah Malaysia boleh mempunyai "sistem demokrasi yang terbaik di dunia" apabila kita masih belum memenuhi prasyarat sebagai negara yang mempunyai kerajaan yang berlandaskan prinsip demokrasi yang asas, di mana peralihan kuasa kerajaan melalui pilihan raya yang sah boleh dianggap sebagai suatu peristiwa yang normal dan bukan luarbiasa?
*Kenyataan media oleh Lim Kit Siang (gambar kanan) selaku Ketua Parlimen DAP dan Ahli Parlimen Ipoh Timur.
No comments:
Post a Comment