Thursday, May 17, 2012

Ladang Sejahtera: Dari rakyat untuk rakyat

PENDANG – “Dari rakyat balik kepada rakyat”. Itulah konsep kewujudan Ladang Sejahtera yang diilhamkan oleh kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar Kedah (PMBKed).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran dan Koperasi, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan, YB Dato’ Mohamed Taulan Mat Rasul berkata, kerajaan negeri sentiasa berusaha menambahkan hasil negeri yang akhirnya dikembalikan kepada rakyat Kedah.

“Sejak kita (kerajaan) takbir Kedah tahun 2008, kita sentiasa cari jalan untuk tambah hasil negeri bagi kesejahteraan rakyat.

“Kita juga agih apa jua pendapatan daripada perusahaan yang diusahakan balik kepada rakyat kerana sebagai rakyat negeri Kedah sewajarnya mendapat habuan daripada hasil yang diperolehi daripada negeri Kedah,” jelas beliau pada Majlis Penyerahan Saguhati kepada peserta-peserta Ladang Sejahtera bagi daerah Pendang, Padang Terap dan Bandar Baharu yang diadakan di Kompleks Rakan Sukan Daerah Pendang.


Seramai 245 yang dipilih menerima saguhati bagi tiga daerah ini. Daerah Pendang seramai 60, Padang Terap seramai 154 dan Bandar Baharu 31 peserta.

Menurut beliau, adalah menjadi dasar kerajaan negeri mengurangkan pembaziran dalam pentadbiran.

“Dalam mentadbir, kita cuba kurangkan pembaziran, kita tak kedekut, tapi belanja ikut kemampuan kita, belanja secara baik dan tak boros.

“Bantuan yang kita berikan ini adalah sebagai satu usaha kita untuk meringankan beban rakyat yang kita rasakan bahawa sekarang ini perbelanjaan sudah tidak mampu kita tanggung dengan kenaikan harga barang dan juga perkhidmatan,” jelas beliau yang mewakili Menteri Besar Kedah.

Hadir sama pada majlis ini adalah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, YB Tan Chow Kang, Ahli Parlimen Pendang, YB Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, Ahli Parlimen Padang Terap, YB Mohd Nasir Zakaria, Ahli Dewan Undangan Negeri Bandar Baharu, YB Yaakub Hussin, Pegawai Daerah Pendang, YBhg Nordin Yahya, Pegawai Daerah Bandar Baharu, YBhg Abd Rahman Salleh dan Ketua Eksekutif PMBKed, YBhg Dato’ Shahabudin Shafie.

No comments:

Post a Comment