Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Alhamdulillah, marilah sama-sama memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah dan izinNya maka dapat kita menyambut Hari Guru bagi tahun 2012 yang diadakan pada tanggal 16 Mei setiap tahun.
Ia adalah sebagai salah satu penghormatan atas segala bakti yang dicurahkan oleh para pendidik kepada masyarakat selama ini.
Bertepatan dengan tema sambutan Hari Guru pada kali ini, “Guru Inovatif Melonjakkan Tranformasi Pendidikan Negara" membuktikan satu tuntutan yang besar disandarkan atas bahu warga pendidik seluruhnya.
Dewasa ini pelbagai pihak akan saling menuding jari apabila timbul pelbagai fenomena yang melanda masyarakat, dan warga pendidik juga tidak ketinggalan dipersalahkan.
Di sinilah pentingnya peranan para pendidik, bercakap sebagai bekas salah seorang tenaga pengajar selama lebih 30 tahun, saya amat merasai perit jerih sebagai orang yang dipertanggungjawabkan untuk memberi ilmu kepada anak bangsa.
Diri kita sendiri mestilah kaya dengan ilmu, beretika serta menghormati semua pihak termasuk menghormati kerjaya sebagai pendidik.
Di bahu seramai 17, 368 guru sekolah rendah dan seramai 11, 897 guru sekolah menengah di negeri Kedah inilah terbeban harapan menggunung ribuan pelajar di luar sana untuk mereka lahir sebagai pelajar yang cemerlang.
Justeru itu, menjadi tanggungjawab warga pendidik membuat persiapan diri bagi menunaikan harapan rakyat.
Akhir kata, marilah sama-sama kita mendoakan agar seluruh warga pendidik khususnya, sentiasa dalam keimanan yang tinggi kepada Allah, sentiasa tenang hati dan fikirannya dalam menghadapi cabaran yang mendatang dan mampu membawa kecemerlangan kepada institusi pendidikan dengan melahirkan modal insan yang harmonis dan seimbang yang akan menjadi tonggak kekuatan negara.
Selamat Hari Guru.
Sekian, Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
YAB. Dato' Seri DiRaja Ustaz Azizan Bin Abdul Razak
Menteri Besar Negeri Kedah.
No comments:
Post a Comment