Monday, June 11, 2012

29 Tahun Kjaan BN Kedah dok berjanji.. Mai Azizan 4 tahun perintah terus bagi Geran Tanah....

370 peneroka Felda Bukit Tangga selepas tunggu 29 tahun 

KUBANG PASU – Terbukti kerajaan negeri Kedah prihatin terhadap masalah peneroka di negeri Kedah apabila menyerahkan geran kepada 370 peneroka Felda Bukit Tangga dan dikatakan peneroka di kawasan tersebut menunggu geran tersebut sejak 29 tahun lepas.

Menteri Besar, YAB Dato’ Seri DiRaja Ustaz Azizan Abdul Razak berkata, proses permohonan geran bagi kawasan Bukit Tangga adalah bersilih ganti daripada generasi pertama hingga generasi ke tiga. Mereka masih tidak tahu hakmilik mereka dan memakan masa sehingga kira-kira 29 tahun sedangkan dasar kerajaan negeri adalah memberikan surat hakmilik ataupun geran kepada peneroka sekiranya dokumen-dokumen yang berkaitan telah ditunaikan oleh mereka.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan majlis penyerahan hakmilik geran kepada peneroka Felda Bukit Tangga di Dewan Pejabat Pentadbiran Daerah Kubang Pasu.

“Kerajaan negeri sehingga hari ini telah mengeluarkan geran kepada sebanyak 1957 peneroka dan yang selebihnya iaitu sebanyak 1228 peneroka lagi akan diberikan geran berdasarkan pembayaran dan penyelesaian oleh Felda.

“Sebelum ini kita telah berikan geran di kawasan Baling, Sik dan Kulim. Manakala bagi Langkawi pula, baru-baru ini kita telah berikan borang 5A kepada 100 peneroka dan selepas itu mereka perlu membuat sedikit bayaran maka barulah mereka akan mendapat geran,” katanya.



Menurutnya, hampir 30 tahun Felda dan peneroka bekerjasama. Oleh itu, Felda telah membayar premium  kepada kerajaan negeri dan selepas menerima bayaran tersebut barulah geran akan diserahkan.

“Lepas ni saya tidak mahu lagi rakyat mengeluh, bila nak dapat geran, bila nak dapat hakmilik. Saya mahu segerakan perkara-perkara seperti ini, jangan tangguh kerja hari ini kepada hari esok. Saya cukup tidak suka benda yang boleh dibuat cepat, dibuat bagi lambat.

“Saya berharap selepas menerima geran ini, gunakanlah tanah tersebut sebaik mungkin,” ujarnya.

Katanya lagi, selain itu, beliau mahu rakyat tempatan mempunyai tanah sendiri. Oleh sebab itu, beliau sangat prihatin mengenai tanah dan mengawal tanah-tanah. Beliau juga risau jika tanah tempatan dibeli oleh orang luar dan akhirnya penduduk tempatan tiada tanah.

Beliau menasihatkan agar rakyat Kedah menjaga tanah dengan baik kerana tanah tidak bertambah dan yang bertambah hanyalah manusia. Rakyat Kedah semakin ramai, mengikut jabatan pendaftaran negara, pada tahun 2008 rakyat Kedah hanya kira-kira 1.8 juta tetapi pada tahun ini rakyat Kedah berjumlah 2.3 juta.

Turut hadir, Exco Kerajaan Negeri, YB Dato’ Ir Amiruddin Hamzah dan Pengurus Besar Felda Wilayah Alor Setar, Abdul Manap Amat.

Geran tersebut disampaikan sendiri oleh Menteri Besar.

No comments:

Post a Comment