Terima kenyataan, bukan salahkan Pak Lah
Riduan Mohd Nor
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) merasa simpati kepada bekas perdana menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang terus menjadi sasaran kritikan dan dipersalahkan oleh pemimpin Umno, termasuk bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir Mohamad dalam suatu kenyataannya menyalahkan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penyebab Umno lemah di bawah pemerintahan beliau.
DPPM menganggap Dr Mahathir masih tidak berpijak di bumi nyata kerana sukar menerima kenyataan bahawa partinya sudah tidak popular lagi. Sebaliknya beliau menyalahkan pula pihak lain sebagai penyebab parti beliau lemah.
Beliau sepatutnya sedar bahawa rakyat sudah muak dengan Umno-BN yang sudah memerintah terlalu lama di negara ini dan melakukan terlalu banyak kepincangan dalam negara ini.
Sudah terlalu banyak kes rasuah, penyelewengan kuasa, ketirisan, pemborosan, dan skandal seks yang didedahkan oleh rakyat. Negara pula telah kehilangan beratus bilion ringgit sepanjang Umno memerintah negara ini.
Rakyat sebenarnya tidak hirau siapa yang berkuasa, sama ada Tun Abdullah mahupun Datuk Seri Najib. Semua pemimpin Umno sama di mata rakyat - rasuah, penyelewengan kuasa, bersikap zalim dan memboros sudah sebati dalam kehidupan mereka.
Jika era pemerintahan Datuk Seri Najib Razak kedudukan Umno menjadi lebih baik, mengapa sokongan rakyat terhadap beliau tetap merudum?
Malah rasuah semakin parah di zaman Najib. Di zaman Najib ini kes rasuah projek lembu nasional NFC yang melibatkan beratus juta ringgit sehingga Datuk Seri Shahrizat Jalil tersingkir.
Malah belum pernah dalam sejarah negara, seorang perdana menteri terlibat dalam tuduhan di mahkamah Perancis kerana didakwa terlibat dengan rasuah komisyen pembelian kapal selam Scorpene.
Sebaiknya Dr Mahathir sedar diri bahawa Umno sudah tidak relevan di zaman ini. Rakyat mahukan perubahan setelah terlalu lama ‘dijajah' oleh rejim Umno yang sudah terlalu rosak untuk diperbetulkan.
Bukankah Mahathir juga pernah menyebut bahawa "Umno sudah busuk sehingga ke ususnya"?
RIDUAN MOHD NOR ketua penerangan Pemuda PAS.
No comments:
Post a Comment