Wednesday, June 6, 2012

Bila McCain memuji Najib....Begitu terdesaknya DIA...

Oleh Adil Mat Selamat

Seperti biasa apabila ada sahaja pemimpin luar negara yang memuji-muji pentadbiran Najib Razak, maka bercananglah media-media kawalan UMNO-BN. Pada ketika ini mereka menjadi media paling waras dalam dunia bila mana isi ungkapan atau kenyataan memuji itu diangkat melangkaui penilaian terhadap nilai individu atau sumber yang mengeluarkan kenyataan tersebut.

Namun kewarasan itu hilang apabila rakyat Malaysia turun padang menyokong gerakan aman BERSIH kerana media yang dikawal UMNO-BN menggembargemburkannya sebagai yang ganas. Putar-belit media ini ialah mahu melupakan tentang ratusan ribu rakyat bersama BERSIH kerana mahu diheboh-hebohkan beberapa samseng yang memecah kereta polis.

Beginilah propagandis UMNO memutar bahan dan fakta menjadi sejarah yang akan dikenang dalam arkib politik Malaysia. Benarlah teori yang mengatakan bahawa sejarah ditulis oleh mereka yang berkuasa, dalam kes Malaysia maka UMNOlah yang menjadi Tun Sri Lanangnya.

Bila McCain memuji Najib

Maka propagandis itu juga cuba menunjukkan dunia memuji Najib. Soal Senator John McCain memuji Najib dengan menganggapnya sebagai reformis ulung atau melihat Najib seorang yang bersih dan tidak korup, itu soal tanggapan John McCain sendiri.

Beliau sebagai tetamu negara, bodohlah jika dia menghina Najib dan akan nampak sangat kedangkalan ahli politik yang tewas di tangan Obama untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat ini jika mengeluarkan kenyataan sedemikian. Maka, apabila beliau memuji Najib, itu bukanlah perkara luar biasa, sebaliknya hanya biasa-biasa saja.

Malah, kita sebagai demokrat yang meraikan kepelbagaian dan perbezaan pendapat, kita tetap menyambut baik kenyataan ini kerana, siapa pun Najib, beliau tetap Perdana Menteri Malaysia yakni PM kepada seluruh rakyat Malaysia. Soal siapa yang suka atau tidak, atau parti mana yang mengangkatnya menjadi PM, itu soal lain.

Justeru itu, siapa Najib di mata senator John McCain hanya akan tinggal sebagai satu nilai yang tidak memberi apa-apa manfaat kepada rakyat dan politik Malaysia amnya. Malah reputasi Najib yang sanggup membayar puluhan juta wang rakyat kepada APCO International untuk menggilap imejnya tidak akan mengejutkan kita dengan kenyataan senator dari Amerika ini menerusi akaun ‘twitter’nya.

Analisa ini akan menjelaskan lagi bagaimana terdesaknya pentadbiran Najib apabila pujian John McCain menerusi akaun percuma ‘twitter’nya diambil, dipuja dan dijulang seolah-olah ia merupakan satu kenyataan rasmi dari pentadbiran Amerika Syarikat!

Mengapa Najib terdesak?

Soalannya, jika benar Najib seorang yang tidak korup, reformis ulung dengan imej dan reputasi politik yang bersih lagi suci, mengapakah beliau kelihatan begitu terdesak untuk menggilap imejnya di mata rakyat?

Atau jika benarlah pujian John McCain ini begitu memberi impak positif, mengapa tidak dibubar sahaja Parlimen untuk diadakan pilihan raya umum sekarang?

Atau, jika kenyataan John McCain ini benar-benar mencerminkan keunggulan pentadbiran Najib, mengapa kesemua lapan tuntutan BERSIH masih gagal ditunaikan? Kita yakin, John McCain sendiri tidak akan ‘tweet’ jawapan ini.

McCain pula tidak datang ke Malaysia berseorangan. Beliau ditemani oleh Senator Joe Lieberman, pembela Israel yang tegas dengan pendiriannya mendesak kerajaan Amerika mengebom Iran jika republik Islam itu enggan menghentikan usaha menghasilkan bom nuklear.

Terpampang di wajah media senyum lebar Najib bertemu dengan dua pemimpin politik Amerika ini yang tegas dengan sokongan mereka kepada Israel. – Roketkini.com

No comments:

Post a Comment